Sabtu, 12 September 2026

FORMULA MELAYU BERSATU CAPAI MENANG

 

FORMULA

PENYATUAN

UMNO & PAS

BAWA MENANG

PADA UMMAH

KHALAS





Umno palu gendang perang 


ketika tanda-tanda kerjasama 


dengan PAS kian jelas


Kehadiran PAS di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 semalam sememangnya antara perkara yang dinanti-nantikan oleh para pemerhati politik tanah air.

Penantian tertinggi orang ramai tentulah kemunculan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, untuk sekali lagi menerima penghormatan berada bersama pemimpin kanan Umno di pentas utama dewan yang menjadi tempat persidangan berlangsung.

Sebelum ini Abdul Hadi sudah mencatat sejarah sempena kelahiran Muafakat Nasional. Tarikhnya hampir tepat dengan semalam. Yang berbeza cuma tahunya – 2019.

Bagaimanapun harapan untuk melihat kehadiran Abdul Hadi tidak kesampaian apabila PAS hanya membalas dengan wakil yang setara ke PAU. Pun begitu sosok yang tiba membawa nama PAS juga bukan sembarangan.

Sebagaimana Umno sebelum ini menghantar setiausaha agungnya, Asyraf Wajdi Dusuki serta beberapa pemimpin kanan ke Muktamar PAS, semalam PAS menghantar Naib Presiden Idris Ahmad; Takiyuddin Hassan (setiausaha agung), Ahmad Fadhli Shaari (ketua penerangan) Ahmad dan Syahir Sulaiman (Setiausaha Politik Abdul Hadi).

Bagaimanapun tiada kelibat pemimpin parti komponen PN lain termasuk Wawasan di sebalik terbukanya lembaran baru di Negeri Sembilan.

Kehadiran pemimpin PAS dan ucapan dasar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, turut memberi isyarat positif mengenai kerjasama antara dua parti gabungan berkenaan.

Bahkan Ahmad Zahid dalam ucapannya memberi "signal" jelas bahawa kerjasama yang diharapkan bakal menjadi kenyataan.

Pun begitu, ia tidaklah boleh berlaku begitu saja. Justeru Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menggariskan beberapa prasyarat tanpa kompromo bagi menjayakan agenda berkenaan.

"Jangan khianat-mengkhianati. Jangan bina persefahaman pada waktu siang tetapi merancang menjatuhkan rakan di malam hari.

“Jangan perjanjian ditandatangani, dalam masa yang sama ia dimungkiri," tegas Ahmad Zahid dalam ucapan dasaranya.

Jika kerbau diikat pada tali, manusia pula diikat dengan janji. Selaras dengan sikap itu Ahmad Zahid memperkenalkan "kolaborasi agung" melalui persefahaman yang perlu mengambil ibrah daripada Perjanjian Hudaibiyah untuk memastikan "tiada lagi dusta".

Mengambil ibrah ataupun pengajaran pembukaan Kota Mekah, dia mahu kerjasama yang bentuk dapat membentuk keyakinan serta menjamin kedudukan Melayu, bumiputera dan Islam serta memastikan kaum lain tidak terpinggir.

Sudah tentu Umno – khususnya Ahmad Zahid – berhak berkata demikian. Dan dia menyatakan perkara tersebut tanpa berselindung. Dia mengucapkan kata-kata tersebut di depan perwakilan PAS.

Meskipun sudah kurang disebut malah seperti mahu dilupakan, sejarah tetap mengingati bahawa kerjasama di antara PAS dan Umno pernah terjalin. Malah ia dibuat secara rasmi, siap dengan acara yang meriah.

Namun hayat Muafakat Nasional yang dimeterai sayangnya tidak panjang. PAS kemudian ‘mendakap’ Bersatu lalu membina ‘rumah’ baru yang kini dikenali sebagai PN. Malah PAS dan Bersatu adalah tulang punggung kepada PN – dulu.

Sementara itu Umno juga membuktikan mereka tidak pernah melupakan Najib Razak. Seperti biasa setiap tahun, PAU akan diawali dengan sesuatu yang mengingatkan parti itu kepada Najib.

Apa pun yang lebih mencuri perhatian hari ini ialah ucapan dasar Ahmad Zahid yang sudah terang lagi bersuluh, serta tanpa berbasa basi mengisytiharkan "perang " terhadap PH.

Mentafsir kata-kata itu, Ahmad Fadhli – yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas – menganggap ia adalah sindiran tajam buat PH, khususnya ungkapan “kita bukan kerajaan yang berjanji, hari ini menang, esok semua masalah selesai."

Begitu juga Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub, turut menyifatkan Ahmad Zahid mengisytiharkan perang dengan melepaskan apa yang terbuku sejak empat tahun lalu.

Lebih mengejutkan lagi, timbalan perdana menteri itu mempersenda pemimpin kerajaan dengan mengambil hasut maya popular media sosial yang kemudian diubahnya sedikit.

“Guru, cukuplah guru!” kata Ahmad Zahid

Dia juga sekali lagi mengulangi pendirian Umno yang mahukan PRU ke-16 diadakan lebih awal.

Zahid menegaskan sudah tiba masanya untuk Umno dan BN kembali mendapatkan mandat rakyat bagi memimpin negara bersama rakan gabungannya yang baru.



Tiada ulasan: