Rabu, 20 Januari 2021

OLD COMPTON STREET

 


OLD COMPTON

STREET LONDON


Tahun 1987 -  aku dalam peralihan – pindah dari Brixton College untuk masuk ke PCL - Polytechnic of Central London.  Di Brixton College aku belajar Asas Seni – Arts Foundation. Aku berpindah  untuk menyambung belajar ilmu filem di Polytechnic of Central London.

Aku juga dalam peralihan tempat tinggal dari 34 Birnam Road North London pindah ke  44 Newmill House   Devas Street Bromley-by-Bow East London.

Rumah pindah. Sekolah pindah. Tempat aku cari makan pun  pindah -  dari Camden Town ke Soho West End.

Arwah nenek aku ada menerangkan : kalau kita pindah randah rumah lebih dari tujuh kali ini tanda kita nak papa. 

Pandangan nenek aku ini  lahir dari budaya  Melayu asli. Arwah  Datuk Sidek peneroka asal membuka Kampong Tengah.  Tok Sidek  membuat sawah, membuat kebun, menanam  kelapa, tanam pokok buah-buahan –  mustahil Tok Sidek  akan pindah.

Sampai ke hari ini  tanah di Kampung Tengah itu menjadi tanah pusaka milik keluarga kami. Cucu cicit Tok Sidek sudah  pindah randah. Kampung asal kami sudah menjadi  kampung tinggal. Sawah pun dah menjadi belukar.

Walau pun aku berada dalam kota kosmopolitan London – budaya   Sakai Biduanda aku masih tebal melekat. Setiap kali aku pindah rumah aku teringat kata-kata arwah nenek aku ini. 

Bila aku hendak pindah dari Finsbury Park ke Bromley-by-Bow  aku mula mengira berapa kali aku sudah pindah sesampai aku  ke kota  London. Ah ! Belum sampai tujuh kali. Aku tersenyum kerana aku masih dalam lingkungan selamat belum menuju papa.

Untuk warga London pindah tempat tinggal  dari  alamat North London ke East London ini menunjukan kemerosatan dalam taraf hidup.  North London – London Utara terutama di wilayah Islington – adalah wilayah paling ‘trendy  dan chic’ dalam kota London.   

Rumah lama aku di Birnam Road  Finsbury Park hanya satu stesen dari Highbury Islington. Ini daerah perkampungan   Mamat dan Minah  Yuppies. 

Minah Feshen, Mamat Media, Mamat TV ,  Mamat dan Minah kaki glamour semua akan mencari tempat tinggal di North London.  Anak muda yang nak jadi ‘rock star ‘ pun perlu alamat di North London.

Sewa bilik, sewa rumah atau flet agak mahal berbanding dari wilayah yang lain.

Awas !  Bukan murah nak jadi trendy dan chic. Jika tak ada modal jangan cuba-cuba. Koyak poket terkehel bahu memikul hutang. Amin.

‘  Wow Isham... you’re from North London...so cool..’ Ini kata kata rakan sekolah  aku di Brixton College.  Kawan aku yang bercakap ini  tak tahu aku duduk ‘free’  bekerja sebagai ‘baby sitter’. 

Entah apa yang cool di London Utara  pada ketika itu aku pun masih belum lagi arif. Aku pendatang baru  - masih  tahap berudu di London. Berudu yang pindah dari Wavre Belgium ke London.

Tapi aku agak  arif tentang Bromley-By- Bow  kampung baru aku. Aku faham maknanya bila aku pindah dari Finsbury Park  North London ke  Bromley By Bow  di wilayah East End London. 

Wilayah East End saperti :  daerah  Whitechapel , Stratford , Bow, Bethnel Green  dan  Bromley adalah wilayah yang dianggap  miskin di London.   

Dari segi sejarah kota London wilayah East End  tempat kesampaian para imigran.  Di wilayah ini ada dua pasar besar  – pasar ikan Billinggate dan pasar daging Smithfield. 

Di East End juga tempat pelabuhan – Dockland. Di  perlabuhan  ini bermulnya kuasa laut imperial Inggeris mengeledah , menjarah dan menjajah dunia. Dari Dockland inilah kapal-kapal lanun Inggeris yang mendapat restu  Raja dan Baginda  Queen memulakan pelayaran  untuk menjarah dunia.

Di awal  kurun 1800  para Yahudi dari Eropah Timur   yang dibantai oleh warga asal Poland, Belanda, Ukraine  dan Rusia telah berbondong-bondong melarikan diri berhijrah ke Whitechapel East End.

Pada tahun 1971 – perang berlaku antara Pakistan Timur dengan Pakistan Barat.  Pada 17 April 1971 Pakistan Timur menjadi Bangladesh – sebuah negara  baru muncul bebas dan merdeka.  Akibat dari perang ini   berbondong-bondong  warga Bangla menjadi orang pelarian masuk ke East London. 

Pendatang baru – Yahudi dan  Bangla ini  semuanya mahu mencari kehidupan baru. Hidup yang lebih baik dari negara asal usul mereka. 

Imigran awal - para Yahudi  akhirnya berjaya kini pindah ke London Utara – ke Golders Green – wilayah kelas menengah. Manakala Bangla masih warga dominan  di East London terutama di wilayah Tower Hamlet. Kini wilayah telah menjadi Bangla Town. 

Ketika aku sampai, East End masih lagi dilihat sebagai wilayah perkampunagn kaum pekerja, kaum buruh dan para imigran.

Wajib aku nyatakan disini East End ini adalah  tempat  ‘daerah rumah merah atau red light district’ untuk kota London. Red light district adalah konsep  sopan yang  digunakan untuk  menggantikan ‘sarang lonte’ atau ‘ rumah pelacur ‘. 

Lampu merah yang terpasang di jendela menandakan kepada bakal pelanggan bahawa dalam rumah ini  ada  penjualan ‘ daging segar’. 

Konsep dan frasa rumah merah ini bermula di perlabuhan Amsterdam 500 tahun  dahulu.  Di pelabuhan Amsterdam para kelasi Belanda mencari nikmat daging hidup sebelum belayar jauh ke Jawa atau ke Surinam.  Kelasi yang pulang dari pelayaran sebelum bertemu isteri akan lebih awal bertemu kekasih lama di rumah merah.

Ini watak pelabuhan di mana sahaja dalam dunia ini. Whitechapel juga tak  jauh dari pelabuhan Dockland. Hakikatnya dimana ada kapal berlabuh disana kita akan temu perniagaan daging segar. Lagi miskin wilayah itu lagi rancak perniagaan daging segar.

Aku pindah ke Bromley By Bow kerana   seorang Minah dari  Malaysia  mahu aku mengambil alih fletnya. Flet ini milik Majlis Bandaran Tower Hamlet. Sewanya   22 pound seminggu.  Minah  ini telah menjadi penduduk tetap  di United Kingdom.  Dia  bekerja sebagai  jururawat.   Jururawat yang bernam See Mee ini berasal dari Perak. See Mee mahu bertukar angin dengan kehidupan baru – dia berpindah ke Australia.  Bila See Mee  memberikan aku kunci fletnya - kecil tapak tangan  beg  kosong aku tadahkan. Amin.

Inilah sejarahnya kenapa aku menjadi warga Bromley- by- Bow di East End. 

Selain dari See Mee yang meninggalkan aku fletnya - aku  juga tidak akan melupakan Anna gadis cun bergetah dari Singapura. Anna yang aku temui  ketika dia sedang  menjaja beg kulit di atas jambatan di Camden Lock. 

‘ You need a job... nak jadi waiter... pergi ke Desaru di Old Compton Street  Soho... jumpa Freedy... dia Pilipina... katakan Anna yang hantar.... tell Freedy you are  my friend....’  Kata-kata Anna yang hingga  ke hari ini tidak akan aku lupakan.

Anna juga mengubah hidup aku.  

Aku ingat lagi petang Rabu itu aku sampai ke Old Compton Road untuk mencari Restoran Desaru. Awalnya – aku  sebagai berudu di London aku tak tahu bahawa Old Compton ini dalam wilayah Soho.  Aku juga tidak tahu bahawa Soho ini dalam wilayah West End.  

Aku menolak pintu gelas  Restoran Desaru. Kosong.  Ada seorang budak India duduk seorang diri di bucu meja belakang. Aku memberanikan hati dan bertanya.

‘ I’ m looking for Freedy...’

‘ Not here...  six oclock.. come..’ 

Aku wajib membunuh satu jam. Lalu aku ngelencong ke China Town yang tidak  jauh dari Desaru dan tak juga jauh dari Leicester Square. Sambil berjalan sambil aku mengenal cam jalan jalan  dan bangunan sekeliling. Ini wilayah baru aku. Jika aku bekerja sebagai pelayan  disini  maka aku wajib tahu semua arah  dan semua lorong.

Kurang lebih satu jam aku muncul kembali ke Desaru. Dua anak muda China berseluar hitam berbaju putih kelihatan duduk di meja belakang. Mereka sedang  menggulung napkin. Seorang anak muda China dalam bar membersih gelas

‘ Yes...  restaurant not open yet... we open at  six...’  Suara lelaki Melayu pertengahan umur muncul dari belakang aku.

‘ I’m looking for  Mister Freedy...’

‘  Why ? ‘

‘ Anna from Camden Town ask me to meet him... for a  job..’

‘ Really... you’re her boyfrend?  Where is Anna now...’

‘ Camden..’ Aku menjawab sambil menggeleng kepala menafikan aku pernah berkasih dengan Anna. Jantan itu ketawa dan menghulur tangan. Kami bersalaman.

Ah! Jantan  yang aku anggap Melayu itu adalah Freedy – lelaki Pilipina yang wajib  aku temui mengikut arahan Anna.  Freedy ialah manager Desaru.

‘ So... can you start this weekend.... black trouser white  white shirt... 11.00 in the morning... full time...ok ? Soo  .. Ah Tan  will teach you...and  Shah ... Our bar man is Mister Chee.. don’t be late be on time....’ Freedy menunjukkan aku kepada tiga orang pelayan yang sedang  menggulung  napkin.

Sabtu sampai. Cuti musim panas  1987 sebelum ke PCL aku memulakan kerja di 50 Desaru Restoran Old Compton Street London.  Kerja  pelayan restoran aku yang pertama. 

Sebulan aku di Desaru aku bukan lagi berudu. Aku  telah menjalar menjadi katak. Aku sudah pandai  meloncat. 

Aku cukup  selesa dan bangga bekerja  di Desaru di Old Compton Street. Mengapa tidak. Aku kini berada betul betul  ditengah tengah wilayah Soho.  

Ha! Akhirnya aku  sampai  ke Soho. Dari zaman sekolah menengah lagi aku telah mendengar nama Soho. Soho dan sex. Sex dan Soho. Ini sahaja yang aku dengar. Dari majalah yang aku baca.  Buku komik yang aku lihat. Majalah   ‘porn’ yang aku curi tengok  – nama Soho akan aku temui.

Satu malam ketika pelanggan kurang  aku memerhati   keluar melintasi dinding gelas  Desaru. Terletak berhadapan dengan  Desaru ialah  Compton – sebuah pub. Dari dinding  gelas Desaru aku  ternampak  pertujukan  - live show -  purtan – perempuan  jantan. Dengan penuh make up purtan  akan menari dan bertandak di atas pentas. 

Oh la la  kata Orang Peanchis – baru  aku sedar  pub Compton ialah untuk ‘Lelaki Gembira – Gay Pub.  

Kerana pelanggan masih belum ramai mata aku memerhati rapi ke  Pub Compton aku ternampak  disebelahnya bilik kecil.  Aku tersenyum. Aku ketawa sendirian.  Kilat dan petir memanah ingatan aku.

Presto! Aku kenal bilik  kecil ini.  Ingatan aku menjadi segar. Mustahil aku akan melupakan sejarah aku dengan bilik kecil ini. Tidak aku sangka - aku dan bilik kecil ini bertemu kembali.

Ingatan aku kembali ketika  aku menumpang di rumah Din Wahab pelajar  School of Feshen London.   Bersama Din Wahab ialah Azahar yang juga belajar ilmu feshen jahit menjahit. Azahar ini agak kecil dan rendah.  Pernah satu kali tuan empunya pub  memaksa Azahar keluar kerana disangka kanak-kanak. 

Satu petang Din Wahab telah  menalipon  kampung. Dia mendapat tahu berita  buruk. Nenek kepada Azahar telah meninggal dunia. Keluarga Azahar meminta Din Wahab menyampaikan  berita  sedih ini kepada  Azahar.

Din Wahab memberi tahu aku berita ini. Din Wahab tahu bahawa Azahar amat rapat dengan neneknya. Bagaimana nak memecahkan berita sedih ini  kepada Azahar.

Jeng, Jeng, Jeng. 

‘ Mari kita belanja dia...makan kat China  Town... lepas itu kita  bagi tahu... ‘ Cadangan Din Wahab.

‘ Nak belanja apa..’ Aku pun hilang akal.

Petang itu kami bertiga keluar ke China Town. Aku dan Din Wahab   menyimpan niat mahu menjamu  Azahar makan di restoran. Tetiba kami tersesat. Kami sampai ke wilayah  yang belum penah kami lalu.

Aku ternampak iklan – Peep Show – wow ertinya  kami tersesat  ke Soho. Aku berbisik pada Din Wahab dia mengangguk kepala.

‘ Azahar... kau pernah tengok perempuan telanjang.. bukan adik kecik kau...’ Aku selamba bertanya.  

Azahar menggelengkan kepala.

‘Kau pernah tengok bulu  buret Mat Saleh... ‘ Aku bertanya sambil tersenyum.

Azahar dan Din wahab terbarai ketawa.

‘ Dalam bilik kecil ini kalau kau masukan duit ...tingkap   akan terbuka... dalamnya ada Minah  Salleh telanjang... lagi banyak kau masuk duit lagi lama kau tengok dia telanjang...’ Aku berlagak sebagai taiko yang tahu semua perkara.

‘ Nak  masuk... aku belanja....’ Sambil aku membuka dompet untuk meyakinkan Azahar.

Azahar mengangguk.  Dia masuk ke bilik kecil seluas dua kabin talipon.  Tapi ada masalah. Azahar pendek.  Kepalanya tak sampai ke pintu gelas untuk mengintai. Maka Din Wabah datang membantu. Satu kaki  Azahar  berdiri di atas  tangan Din Wahab dan satu lagi menekan ke dinding bilik. Sampai juga kepala Azahar ke  pintu kaca untuk mengintai  Minah Salleh telanjang .

Aku di luar memerhati.  Aku risau kalau polis datang. Kami akan dituduh membawa kanak-kanak menonton ‘peep show’  melihat perempuan telanjang.

Empat kali aku masukan duit siling – jumlah empat pound pond. Ertinya Azahar sempat melihat Minah tu bogel menari nari selama 4 minit. 

‘ Bulu... dia merah ke  itam...’ Din Wahab bertanya,

‘ Perang....’  Azahar menjawab. 

‘ Macam dalam gambar ke...’ Din Wahab bertanya.

Aku tak perlu memberi pandangan.

Sekarang aku  dalam Desaru  menjadi pelayan. Bilik kecil dimana  Din Wahab mengangkat  Azahar mengintai Minah Mat Saleh telanjang  betul  dihadapan  tempat aku bekerja. Di sebelahnya ialah Compton - Gay Pub tempat purtan – perempuan jantan – membuat pertujunkan setiap malam.

Semuannya berlaku dengan tidak dirancang.  Ini bkan karma. Ini perjalanan hidup. Bak kata sajak Usman Awang – dewasalah hati seorang lelaki. Lelaki ini bukan lagi berudu. Aku dah mula hidup liar di Soho.

EPILOK 1

Pada tahun 2014 aku membawa teater Bilik Sulit ke United Kingdom. Di London aku menjadi pemandu pelancung. 

Satu petang aku bawa Adam Adly, Hijrah dan Aiman Hakim  ke Old Compton Street dan Soho.  Aku tunjukan pada mereka tempat aku  pernah menjadi pelayan.

Kemudian aku bawa mereka ke lorong kecil yang dulunya  kelab Madam Jojo. Tertiba aku ternampak  Hakim dan Hijrah diperangkap oleh Minah Salleh yang mengajak mereka masuk ke bilik kecil.

‘ Jangan masuk bilik tu....’ Aku meluang kuat dari jauh.  Aku mahu Hakim dan Hijrah berundur dari Minah Saleh ini.  Aku tahu apa yang akan berlaku dalam bilik basement itu. Ini Soho aku amat kenal baik daerah ini.  

EPiLOK 2

Desaru sudah tutup. Kini sebuah Cafe.  Pub Compton masih rancak. Bilik kecil – peep  show - disebelah Compton telah menjadi kedai Fish and Chip. 

Azahar pernah aku temui di Gombak. Ketika itu dia membantu Din Wahab dalam  perniagaan jahit menjahit.  (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN
 DI PORTAL MALAYSIANOW
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/01/20/rumah-merah-di-soho/





1 ulasan:

Unknown berkata...

Tadi Tt ada sebut pasal duduk free dan jadi babysitter. Teringat lagi kisah tu, Tt kene jaga 2 orang budak anak kepada janda yg bekerja kat kasino. Janda ni kene kencing kat laki kaya yg ckap nk menikah dengannya. Cuma yg rase naktau lpas janda tu putus hubungan takde ke dia bg Tt try sebagsi balasan Tt jage anak dia hurmm..