Rabu, 24 Februari 2021

DARI PENDALAMAN

 


DARI PENDALAMAN


Aku ini tidak begitu sedar ketika aku membesar   sebenarnya asal usul aku dari daerah pendalaman yang amat ulu  sekali.  Aku dilahirkan di Kampung Tengah. Kampung yang menghala ke jalan yang tidak  bersambung ke mana-mana – jalan mati. 

Kampung Tengah - di tanah pusaka inilah tempat aku dilahirkan – tempat tumpah  darah aku. Dalam tanah pusaka ini juga tembuni dan tali pusat aku ditanamkan di belakang kepok padi. Bukan saja tembuni aku yang ditanam dalam tanah pusaka ini – datuk aku pun ditanam disini.  Makam datuk  aku di tepi busut  di belakang rumah.  Menanam mayat, tembuni dan tali pusat dalam tanah pusaka adalah adat.

Adat bernegeri memagar negeri
Adat berkampung memagar kampung

Adat orang muda menanggung rindu
Adat tua menanggung ragam

Adat di atas tumbuh
Pusaka di atas tempat
Adat lama pusaka usang

Tanah pusaka  tempat aku dilahirkan ini masih wujud. Pokok manggis, mata kucing, kelapa, kundang dan durian masih hidup meliar tak berjaga.  Jika musim buah sampai ianya menjadi rezeki siapa yang berani mencuri. Bangunan  rumah tempat aku dilahirkan  sudah lama lupus.   Tapaknya  telah membelukar. Tanah pusaka  telah menjadi  kampung tinggal. 

Tanah pusaka ini telah diturunkan untuk menjadi  hak miliki kakak aku. Anak jantan tidak ada hak ke atas tanah pusaka. Ini Adat Perpatih Negeri Sembilan.  Harta dan tanah pusaka dikembalikan kepada anak  perempuan.

Begitu juga darah suku  keturunan. Aku  menerima darah keturunan suku Biduanda  dari emak aku. Ayah aku susur galur  tali perutnya dari Chenor Pahang.  Ayah aku tidak bersuku. Keluarga sebelah ayah aku mengguna Adat Temenggung.

Aku tidak ada hak menumpahkan suku darah   keturunan Biduanda kepada anak aku.  Anak aku akan menerima  darah  suku keturunan   dari emaknya – jika berkahwin dengan orang Negeri Sembilan yang bersuku. Kerana itu  Adat Perpatih melarang berkahwin dengan suku yang sama.  Kahwin satu suku dianggap kahwin  adik beradik.

Adat yang berpanas
Syarak yang berlindung

Adat penuh ke atas
Syarak penuh ke  bawah

Adat di isi 
Lembaga dituang

Adat hidup tolong menolong
Adat mati jengok menjengok

Biar mati anak
Jangan mati anak.

Dari surah sahih yang aku terima ketika aku dilahirkan yang menjadi bidan kepada emak aku ialah   Tok Wan   aku sendiri. 

Surah ini diperawikan  oleh emak aku -   ketika aku dilahirkan abah aku sedang bertugas sebagai  SC – Special Constable - soldadu Orang Putih.  Satelah sihat bersalin emak aku sendiri yang berbasikal 6 batu pergi ke Rumah Pasung Padang Lebar untuk mendaftarkan aku.  

Tuan  D.O Orang Putih  dari Kuala Pilah telah memberi arahan kepada semua orang kampung  agar semua anak yang baru  lahir wajib didaftar di Rumah Pasung untuk mendapat surat beranak. 

‘ Dah bosa.... agaknya  budak ni ...’  Mata-mata memberi ingatan kerana emak aku sendiri yang mendaftarkan aku. Kata-kata ini hanya ingatan kepada emak aku  kerana lewat mendaftar. 

Aku ini  anak ke tujuh dari Rais bin Manaf dan Zaleha  binti Sidek. Anak perempuan pertama  dan ke dua  mereka meninggal dunia. Kemudian lahir dua kakak dan satu abang.  Selepas abang  aku ada  kakak perempuan  yang juga meninggal dunia ketika lahir. Kemudian  aku muncul diikuti oleh dua adik lelaki.  Kami adik beradik enam orang  - dua perempuan  dan empat lelaki. Dari kiraan kelahiran anak Rais dan Zaleha aku  ini anak ke tujuh.

Justeru aku tidak tahu tarikh  sebenar aku dilahirkan. Hakikatnya tarikh yang tertera dalam kad pengenalan resmi  aku bukan tarikh hari aku dilahirkan.  Itu tarikh emak aku bertemu dengan Mata-Mata di Rumah Pasung di Padang Lebar.

Kali pertama ayah dan emak aku datang ke London aku telah meneliti pasport mereka. Aku  ingin hendak tahu  bila tarikh lahir mereka. Apa yang tertulis di ke dua  pasport ialah : Circa 1926.  Aku sedar Melayu jenis kami dari suku sakai  Biduanda  memegang dan merayakan adat . Tapi kami tidak merayakan hari jadi.   

Seingat ingat aku - kesedaran aku bermula di Sekolah Tapak. Ketika itu umur aku mungkin  tiga atau empat tahun.  Aku tidak tahu bagaimana  kampung ini dipanggil Tapak. Tak pernah aku terdengar surahnya.  Tapak apakah yang menjadikan kampung ini dipanggil  Tapak  - walahualaam bissawab.

Kampung Tengah  yang dibuka oleh Tok Sidek -  aku tahu kenapa namanya Kampung Tengah.  Ke hilir  mengarah ke Kampung Majau  dan Kampung Keru. Ke hulu mengarah ke Kampung Tampin dan Kampung Tengkek.  Kampung Tengah  duduk ditengah-tengah. 

Jalan  masuk  ke kampung aku bermula dari   simpang masuk  ke kiri dari jalan besar   Pertang ke Batu Kikir mengarah ke  Kuala Pilah.  Dari simpang pekan Batu Kikir masuk 6 batu hingga sampai ke Padang Lebar.

Padang Lebar ini  pekan kecil – sederet  rumah dan kedai China.   Tak sampai 10 buah kedai papan beratap rumbia. Ada sebuah kedai Malbari. Ada  Rumah Pasung dan sekolah. Kedai sederet ini menghadap padang  sekolah yang agak luas.

Padang Lebar adalah  pekan untuk  orang kampung  dari kawasan ulu pendalaman. Orang  – dari  kampung Majau, Tapak, Keru, Tengah, Tengkek dan akhir  sekali  Guntur. Guntur perkampungan Orang Asli.  Di Guntur jalan berakhir. Orang Peranchis kata cul-de-sac – buntut kerpai. 

Padang Lebar adalah pekan akhir yang boleh didatangi oleh kereta. Dari Padang Lebar ke Guntur mungkin 20 atau 25 batu jauhnya Untuk masuk ke kampung pendalaman – tidak ada jalan besar.  Hanya dua pilihan – jalan kaki atau  naik basikal.   

Orang kampung datang  ke Padang Lebar membawa barang jualan dari hutan.  Mereka berbasikal membawa getah, rotan, manau dan damar.  Ini bahan hutan  yang berharga.

Ingatan aku menjadi cerah – lalu aku teringat ada beberapa tiang lampu jalan  di Padang Lebar.  Ini bukan lampu leterik. Leterik belum sampai lagi.  Lampu jalan  ini menggunakan  minyak tanah. Setiap petang lampu ini  akan dipasang dan dinaikan ke atas tiang dengan menarik tali sama seperti  menaikkan bendera. 

Aku tidak pernah tahu siapa yang menjalankan tugas memasang lampu ini.  Pada hemat aku pastilah  Mata-Mata dari Rumah Pasung kerana ada tiang lampu tercacak  betul -betul di hadapan  Rumah Pasung. 

Sekolah  Tapak tempat emak aku -  Zaleha Sidek  menjadi guru ialah sekolah kampung. Sekolah ini ada  dua bangunan. Satu bangunan papan beratap rumbia dan bertiang  batu tujuh mata tangga. Di sebelah bangunan  ini ada bangunan kayu  juga beratap rumbia dan berlantaikan tanah. Sebuah rumah guru. 

Depan rumah guru sebatang pokok kuinin yang jarang berbuah. Padang  sekolah agak luas . Sebelah padang ialah kolam ikan milik sekolah. Di tengah kolam ini ada pulau kecil dan sebatang pokok pinang.

Di belakang rumah guru ada  bangunan dapur simen bertungku.  Dapur ini digunakan untuk menyediakan minuman susu panas untuk murid sekolah. Semua murid sekolah  diberi minum air susu percuma  ketika masa rehat jam 10 pagi.  Seingat aku yang menyediakan minuman susu panas ini ialah  guru sekolah sendiri.

Susu tepung ini datang dalam tin yang dihantar   oleh   Tuan D.O Orang Putih dari Kuala Pilah. Tin susu ini dibawa naik basikal dari Padang Lebar ke Sekolah Tapak.  Susu tepung dalam tin ini akan disimpan dalam dapur.  Kadang kala ‘berkerak’ kerana cuaca hujan dan panas. 

Di sebelah rumah guru ada kawasan pertanian seluas satu padang bola. Ada batas-batas untuk murid-murid diajar bercucuk tanam  sayur.  Bercucuk tanam adalah sebahagian dari  mata  pelajaran sekolah. Setiap darjah ada memiliki  batas  tanaman masing-masing.

Kawasan sekolah dibersihkan dan dijaga oleh murid dan guru. Sebelum masuk ke bilik darjah murid  akan   menyapu, potong rumput dan membersihkan kawasan sekolah. Menyiram tanaman di kebun sekolah.  

Kebun sayur di sekolah ini sama selari dengan budaya  kampung Melayu. Dalam budaya orang kampung aku ada konsep peraq.  Peraq ialah tempat  menanam sayuran di tepi atau di belakang dapur.  Peraq tidak luas. Dalam peraq ini akan ada sepokok dua  lada, serumpun serai,  dua tiga batang  rumpun kunyit, batas pegaga,  sepohon terung Belanda -  hakikatnya peraq  ini tempat memetik  sayuran segar.

Orang  kampung hanya  perlu membeli garam, gula dan ikan masin. Ini boleh dibeli di Padang Lebar. Sayur mayur semua dipungut dari peraq. Ayam , itik dan telor semua ada di belakang rumah.  Untuk ikan ada ‘tobek’ atau kolam kecil di mana puyu, haruan,  sepat dan sembilang di pelihara.

Sekolah pada ketika ini  hanya  mengajar anak-anak kampung untuk tahu membaca , menulis dan mengira.  Mereka disekolahkan  agar menjadi  Pak Tani yang  boleh mengira boleh  membaca dan  tidak menjadi buta huruf.

Sekolah ada pakaian seragam.  Baju putih seluar hitam untuk lelaki. Baju kurung  putih dan kain sarung biru untuk perempuan. Kasut ‘raba’ putih.  Tapi bukan semua datang dengan pakaian sekolah. Ada yang datang berkaki ayam.  Tidak ada buku. Papan batu dan kalam pun tidak ada.  Mereka hanya duduk mendengar dan ikut mengulang apa kata guru. 

Aku masih ingat lagi. Arwah emak aku  sesekali membawa aku  mencuri-curi masuk ke sekolah. Biasanya   Tok Wan aku menjaga  aku di rumah.  Bila Tok Wan aku ada hal aku dibawa ke sekolah.

Kerana aku ini  anak Cik Gu Leha maka ada murid-perempuan yang bersedia mengambil aku dan duduk di sebelah  mereka.  Aku hanya duduk mencangok melopong  mendengar. Aku tidak tahu apa yang sedang berlaku. 

Sekolah Tapak ini sampai ke darjah enam.  Murid tidak ramai tak sampai 80 orang.   Nama saja sampai darjah enam. Ramai berhenti setengah  jalan. Murid-murid pun dicampur-campurkan dalam satu kelas. Ini kerana cik gu hanya ada tiga orang. 

Orang Kampung Tengah tidak pernah memanggil  emak aku Cik  Gu Zaleha. Mereka memanggil emak aku Buruk. Ini nama yang orang kampung beri kepada emak aku. Ini budaya Melayu. 

Ramai orang di kampung aku  nama ditukar dari nama asal  yang bertulis di surat beranak. Ini kerana nama asal yang diberi dianggap  tidak sesuai dengan badan.  Ketika  kecil selalu deman atau menangis  di  waktu malam. 

Maka nama diganti dengan nama yang lebih sesuai.  Atan,  Dol  atau   Amin  selalu jadi nama gantian anak jantan.  Su,  Yam  atau  Kintan nama gantian untuk anak perempuan.  Nama-nama ini  mengikut  kiraan ajaran  bomoh Melayu. 

Emak aku menjadi Buruk untuk mengelakkan  dari diambil hantu jembalang. Ini kerana hantu  jembalang mengikut ajaran bomoh suka kepada anak perempuan yang cantik. Yang buruk dan hodoh hantu tidak berminat.

Aku sendiri pun ada memakai lebih dari empat nama. Ini bukan kerana aku nak lari dari hantu jembalang.  Tidak. Ini kerana aku nak lepas lari dari mata-mata   suruhan Inggeris.

Emak aku mula menjadi guru di zaman Inggeris. 

Dari surah yang aku dengar emak aku masuk ke  Sekolah Tengkek.  Sekolah ini  kira kira dua batu dari Kampung Tengah.  Emak aku  belajar disini  hingga darjah enam. Kemudian menjadi guru pelatih.

Sekolah pertama emak aku menjadi guru ialah di Seri Menanti mukim  Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan.  Di Seri Menanti anak dara bernama Zaleha binti Sidek   tinggal dengan ibunya  bernama  Rahmah binti Kecik.

Antara murid yang diingati diajar oleh Cik Gu Zaleha Sidek  ialah  Tengku Bahiyah anakanda kepada Tengku Abdul Rahman Yang Dipertuan Agong Pertama. Tengku Bahiyah  kemudian menjadi Pemaisuri Agung. Baginda juga menjadi  Cancelor Universiti Malaya ketika aku aktif dalam UM.  Baginda Permaisuri juga  belajar  melukis dari Ibrahim Husin yang ketika itu menginap di Kolej Ke Lima UM.  Aku dan Ibrahim Husin ketika itu telah mula menjadi kenalan rapat aku.

Tidak jauh dari Seri Menanti ialah Kampung Pelangai . Disini ada  Sekolah Pondok  Lebai Maadah. yang terkenal. Maadah bin Layang  (1895 -1943 ) ialah Datuk Saudara aku.    Lebai Maadah ini membawa ajaran  ‘kaum muda’ . Antara murid Lebai Maadah yang dikenali sejarah ialah  Shamsiah Fakeh ( 1924-2008). Seorang lagi anak murid  Lebai Maadah ialah Rais bin Manaf dari Kampung Chenor Jelebu.

Dua murid dari guru yang sama. Seorang menjadi penentang Inggeris. Seorang lagi menjadi soldadu Inggeris.

Dari  sekolah pondok Lebai Maadah  inilah  Zaleha Sidek jatuh cinta dengan Rais Manaf.

Emak dan abah aku tak pernah bersurah tentang percintaan mereka. Hanya desas desus yang aku dengar dari Tok Wan aku.

Selain dari kesah cinta sendiri - emak aku memang suka bersurah. Malah sebelum aku  tahu membaca menulis emak aku telah  memperkenalkan aku  dengan cerita rakyat.  Cerita dari mulut emak aku inilah yang menjadikan aku ingin membaca.

‘ Masa tu... kalau nak ambil gaji .. Mak kena pergi ke Pilah... . ‘ Emak aku bercerita bagaimana cara mengambil gaji di zaman itu.

‘ Mak pagi pagi naik basikal ke Padang Lebar...tumpangkan  basikal di Kedai Malbari... tunggu dan  cari kereta ke Batu Kikir..  di Batu Kikir  tunggu bas  dari Simpang Pertang... ke Pilah..  depan kedai Tukang Besi Batu Kikir... situ Mak tunggu... sehari suntuk tak ada kerja lain...dari subuh pagi ... malam baru sampai rumah...’

‘ Mak ada kenal Jepun di Kuala Pilah...kedai pinggan mangkuk  tembikar Jepun di Pilah semua orang  tahu.... murah.....’ Ini surah Kedai Jepun yang telah aku dengar dua tiga kali dari emak aku.  

Tanpa diketahui orang kampung  kedai Jepun yang menjual  pinggan mangkuk  murah ini sebenarnya  kedai yang didirikan khas oleh   tim perisik Jepun. Jepun sudah lama merancang untuk menawan  Tanah Melayu.

‘ Mak pernah  masuk  ke kedai  itu... isteri Jepun itu baik...  ada ambil gambar Mak ... dia ada kamera......’

Surah  Kedai Jepun ini akan dibuka oleh Mak aku bila saja  ada perbualan tentang Jepun.  Bila ada sanak saudara  membuka  kesah Jepun masuk ke Tanah Melayu emak aku akan bersurah.

‘ Hari  itu Mak nak pergi ke Pilah... nak ambil gaji... Mak menunggu bas di depan Kedai Tukang Besi... lama Mak menunggu... bas tak datang.. yang banyak  lalu lori askar... lepas satu...satu...’  Surah Mak aku tentang apa terjadi ketika dia hendak  ke Kuala Pilah mengambil gaji.

‘ Tertiba sebuah lori askar berhenti...’

‘ Kak.. kakak ... nak ke mana?  Naiklah... saya nak ke Pilah..’ Pemandu lori askar ini mempelawa masuk.

Emak aku duduk di sebelah anak muda Melayu dua puluhan. Dia memakai baju askar. Emak aku tak tahu apa jenis askar anak muda ini. Emak aku  hanya tahu anak muda ini askar Melayu.

‘ Kakak  tahukan Jepun dah masuk Tanah Melayu....perang pecah...’

Emak aku tak tahu apa-apa tentang keadaan ketika itu. Yang emak aku tahu dia wajib ke Pejabat Tuan D.O di Kuala Pilah untuk mengambil gaji.

‘ Saya ni ... lepas ni ....tak tahu nak ke mana... nak balik kampung... lepas Pilah nanti  saya nak tinggalkan lori ini ..dan lari balik  kampung...’ Anak muda ini bercerita  dengan harapan emak aku bersimpati.

‘ Kakak.. nak ke mana? ‘

‘ Nak ambik gaji Pejabat Tuan D.O...’ Emak aku memberi penjelasan tanda berterima kasih.

Kesah  emak aku naik lori askar  ke Kuala Pilah  ini telah juga berkali kali aku dengar.

‘ Di Pilah .. lori askar  berhenti ... Mak turun ..lori askar ... terus berjalan...’

Emak aku  bersurah bagaimana satelah turun dari lori askar  dia menapak  menuju ke Pejabat  Tuan D.O.  

‘ Betul- betul di hadapan  Pos Opis.... kapal terbang lalu...terbang rendah... orang semua lari bertempiaran... ada yang melaung.. lari..lari ..lari....Mak pun ikut sama lari ... Mak masuk ke gaung dan menyorok... lima enam buah kapal terbang lalu rendah... Mak tak fikir gaji lagi ... ini perang macam kata askar tadi .. Mak hanya ingat  nak pulang  ke rumah....’ 

Kesah emak  aku menumpang lori askar ini pasti berlaku pada 11 atau 12 Disember 1941. Ini  minggu pertama bulan Disember – minggu ambil gaji.   Jepun telah mendarat di Kota Bahru pada 8 Disember 1941 tiga hari sebelum Mak aku dapat mengambil gajinya. (TT)

TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/02/24/dari-pedalaman/



5 ulasan:

panglimo potaseh berkata...

Aruah Pak Long den nonggok kek Tengkek ..namo eay Bulat, Maklong namo Katik, Uwan namo Itam ..klasik ..sapo ponah raso masak seko ayam 1OO bijik cili api ..

Tanpa Nama berkata...

Shamsiah Fakeh. Lama tak dengar nama dia. Ketika kecil dulu, kerap gwa dengar nama ni apabila SB ( Special Branch) officer datang mengunjung rumah gwa, seminggu sekali, borak borak dgn orang Tua gwa. Hidup Di zaman dulu lain berbanding dgn sekarang. Balik balik pasal komunis, Kamunting Dan SB. Kini, asyik pasal nombor, songlap, MACC. Kata orang putih, Same shit - Different day.

Tanpa Nama berkata...

Kisah yg menarik...tapi lebih indah kalau perkataan pendalaman ditukar menjadi pedalaman...kawasan diceruk disebut pedalaman...pendalaman utk mengorek lubang jadi dalam...

cik din berkata...

Sepatutnya anda tulid koumintang..atau bintang tiga

Madani berkata...

Tompek nang kau surah an tu sham kok kau nak tau Onyang se yg mukak. Dio la yg nobuih kek Kampung Dusun, sebolon Kampung Majau...kok kau nak tau sebona eh...kan. Dio ni maghin tang Pagar Ruyung,Uwan se ghoma boto maco surah tu...namo eh Pandai,atok se Aman...tu sumo namo² antik tu. Tu lah de sejarah eh. Jgn kau tak tau...org tebilang dulu²