Rabu, 26 Januari 2022

ORANG PUTIH BALIK KAMPUNG



ORANG PUTIH 

BALIK KAMPUNG




Poot poot bunyi motokar
Tok Onn cabut Umno merdeka.

Pantun dua kerat ini telah aku dengar. Cerita Orang Putih nak balik kampung pun telah juga aku dengar. Pantun aku dengar dari sepupu aku ketika aku bertandang ke Kuala Lumpur. Berita Orang Putih nak balik kampung aku dengar dari Emak aku.

Cik Gu Zaleha yang bawa berita  Tuan  Ellis dan Tuan Ebon akan balik kampung. Tanah Melayu akan merdeka.

Di Sekolah Melayu Kuala Klawang B – sekolah khusus untuk  murid-murid perempuan - ada kelas  memasak dan mengait. Aku tahu ini kerana Kak Lang  aku dalam darjah empat.  Dia telah belajar mengait baju dari benang yang berbulu-bulu. Kak Lang  beritahu benang bulu kambing biri-biri  yang dikait ini akan menjadi   baju panas tebal ini untuk bayi. Baju berbulu tebal macam baju bayi Orang Putih.

Mem – mungkin  isteri Tuan DO atau mungkin isteri  Tuan OCPD – aku tidak pasti -  telah   datang ke sekolah untuk mengajar  murid perempuan Melayu kelas  mengait dan memasak.  Mem ini  bukan jadi guru tapi datang melawat dan menunjuk ajar cara kehidupan  Orang Putih.

Kak Lang aku  bercerita bahawa dapur dalam  kelas ini  tidak memakai kayu tapi minyak tanah. Murid  juga diperkenalkan dengan kota hitam yang dipanggil  ‘oven’. 

Dalam  kelas  Mem telah mengajar cara  membuat jem. Mengikut Mem jem ini untuk minuman pagi.  Untuk aku minum pagi yang enak ialah rebus ubi dengan kelapa yang telah berkukur.  Aku tak tahu apa itu jem. Tahun 1956 aku belum pernah melihat  jem.

Ada juga aku terfikir kalau Orang Putih balik kampung siapa yang akan datang untuk mengajar buat jem dan mengait baju untuk murid perempuan di Sekolah Kuala Klawang B. 

‘ Kita akan ada kerajaan sendiri...’  Cik Gu Zaleha memberi penerangan.

Semua ini aku tak faham.  Aku tak faham siapa dia kerajaan. Yang aku tahu atas bukit di Kuala Klawang ada Tuan OCPD dan Tuan DO – dua-dua Orang Putih. Di bawah  bukit ada kem Gurkha.  Tepi bukit sebelah rumah OCPD ada rumah pasung.  Kalau buat salah ada rumah pasung.  Rumah pasung ada lokap. Untuk aku inilah kerajaan Jelebu.

Cerita Orang Putih  nak balik kampung makin kuat. Satu hari aku diberitahu tiga  pondok kecil – rumah sentri -  di tiga pintu kawat berduri yang memagari pekan Kuala Klawang telah tak ada lagi. 

Pintu dan pagar berkawat yang memagari Kuala Klawang  masih ada. Hendak  masuk ke pekan tak ada lagi di kawalan ketat. Keluar masuk ke dalam pekan makin senang. 

Aku juga dengar ‘kefew’ sudah tak ada lagi. Tentang  kefew ini aku kurang pasti kerana kami duduk dalam pekan dan waktu malam keluarga kami tidak ke mana-mana.  Kefew ini tidak banyak mengganggu kehidupan harian kami. 

Tapi membeli makanan asas – minyak , gula , tepung dan beras – masih lagi menggunakan kad permit.

Soldadu Gurkha masih lagi berada dalam kem di pekan Kuala Klawang.

Satu  hari ketika aku lalu depan kem soldadu Gurkha  aku nampak  banyak lori beratur. Kem  Gurkha sedang  dibuka. Rupa-rupanya soldadu Gurkha  juga nak balik kampung. Kemana Gurkha ini pergi aku tidak tahu. Kawasan tempat wayang AKC kelihatan lapang.

Satu minggu kemudian  tapak yang lapang ini diganti dengan kem baru. Kem Gurkha kini menjadi kem Askar Melayu. Dari pasukan mana dan rejimen ke berapa Askar Melayu ini aku tidak tahu. Yang pasti pekan Kuala Klawang kini penuh dengan anak-anak muda Melayu.

Askar Melayu  agak berbeza  sedikit dengan soldadu Gurkha. Petang-petang mereka main bola. Main kriket tak ada lagi. Bila ada perlawanan bola  daerah Jelebu – pasukan Askar Melayu masuk bermain sama.

Sama seperti soldadu Gurkha , Askar Melayu juga berdisiplin. Mereka keluar ke pekan  berkumpulan dan memakai baju putih dan seluar gelap.

Apa yang menarik  bila Kuala Klawang   ada kem Askar Melayu ialah  panggung wayang Ruby mula mengadakan pertunjukan ‘ matinee’  – pagi Sabtu. Ini belum pernah terjadi. Pertunjukan wayang jam 11 pagi ini  diadakan  kerana hendak menampung  penonton dari kem  Askar Melayu.

Wayang  AKC  filem Hindustani tidak ada lagi. Apabila kem Gurkha tutup Pak Teh Akc  aku tidak muncul lagi.

Panggung Ruby pun berubah. Setiap hujung bulan akan ada filem Melayu dan filem Hindustani. Filem Orang Putih – filem perang dan filem koboi makin kerap. Selainya filem Kantonis untuk warga China.

Sabtu pagi panggung akan penuh – Askar Melayu datang menuntun. Bila gambar Melayu ditayangkan panggung akan penuh.  Ekonomi Kuala Klawang hidup maju dengan adanya kem Askar Melayu.

Satu petang ketika aku bermain di padang bola aku ternampak Keling PWD  sedang memasang bendera. Ini bendera kecil dari kertas. Aku tak pernah nampak bendera-bendera seperti ini. Yang aku kenal hanya bendera kuning merah dan hitam.  Ini bendera Negeri Sembilan.

Lalu aku dan kawan-kawan main teka meneka bendera dari  negeri mana.  Kami meneka secara rambang. Entah betul entah salah kerana inilah kali pertama  kami melihat bendera-bendera negeri lain.  Selama ini kami hanya kenal pasti bendera Negeri Sembilan.

Dari Cik Gu Zaleha aku dapat tahu Hari Merdeka telah ditetapkan. Aku mula sedar  Keling PWD ini sedang  menguruskan pemasangan bendera untuk menyambut hari Merdeka 31 Ogos 1957.

Aku teringat kembali    lama sebelum  31 Ogos 1957 – ketika keluarga  kami di Sekolah Tapak lagi Cik Gu Zaleha pernah bersurah tentang lagu Terang Bulan. Aku tidak tahu buah butir lagu Terang Bulan ini.  Mengikut surah Emak aku lagu Terang Bulan ini  berasal dari  Tanah Seberang – Indonesia.

Aku juga  tidak tahu bila  nama Tanah Melayu bertukar menjadi PTM (Persekutuan Tanah Melayu ). Alamat surat  menyurat  tertiba semuanya diakhiri dengan PTM. 

Lagu Terang Bulan pula  akan menjadi lagu resmi PTM.  Aku tidak faham apa pentingnya lagu Terang Bulan ini..  

Aku mendengar  Abang aku  bersurah bagaimana di Jepun apabila  lagu kebangsaan dimainkan semua orang  Jepun akan tercegat bangun berdiri. Malah mengikut Abang aku ketika lagu kebangsaan dimainkan  mata orang Jepun tidak dibenarkan berkelip.  

Dari perawi mana Abang aku memungut  hadis ini tidak pula aku selidiki. Ketika itu tugas aku hanya menerima semua maklumat  sebagai hadis sahih. Malah aku sendiri cuba membeliakkan  mata tanpa berkelip seolah-olah aku Jepun. Hasilnya gagal.

Persediaan untuk menyambut  Merdeka sedang berjalan rancak  di pekan Kuala Klawang. Di hadapan Pejabat Daerah sebuah tiang simen telah didirikan.  Tiang simen  sebesar pemeluk ini tegak seperti cendawan busut dipanggil Tugu Merdeka. 

Pejabat  Daerah,  Rumah Pasung ,  Pejabat  Pos, Gedung Injin Leterik, Rumah  Kelab – semua dihias dengan lampu leterik.  Dari bulb lampu neon dan lampu kalimantang direka huruf  M – untuk Merdeka. Sana sini kelihatan pintu gerbang dari buluh yang diselang seli dengan rumput paku pengkis dan lampu neon kalimantang.

Keling PWD telah berjaya  memasang di sekeliling padang pekan Kuala Klawang dengan bendera-bendera kecil negeri-negeri Tanah Melayu. Pesta Merdeka siap  bersedia.

Aku dalam darjah satu.    Kakak aku  yang tua – Kak Ngah -  belajar di GES. Untuk sambutan Merdeka sekolah GES akan mempersembahkan satu tarian Melayu. Kak Ngah aku mengambil bahagian dalam kumpulan tarian ini.

Dua  hari sebelum 31 Ogos aku keluar berjalan  selepas senja. Aku melihat pekan Kuala Klawang yang berhias cantik.  Aku merasa amat bangga kerana pekan Kuala Klawang pekan rujukan aku dilihat indah  cantik bergemerlapan. Tugu telah siap tegak berdiri tapi masih berbungkus.

Aku rasa malam itu Kuala Klawang ini adalah pekan terindah dalam dunia ini. Semua ini aku pasak dalam ingatan untuk rakaman sejarah.

Ketika aku bersekolah di zaman Inggeris ada dua sistem percutian sekolah.  Sekolah Inggeris cuti hari  Sabtu dan Ahad. Sekolah Melayu cuti hari Jumaat dan Sabtu.   Cuti penggal dan cuti tahunan  semuanya sama kecuali Sekolah Melayu bermula hari Ahad dan sekolah Inggeris  bermula hari Senin.

Pada 31 Ogos 1957 jatuh pada  hari Sabtu – semua sekolah  bercuti. Kami murid Sekolah Kuala Klawang A dan B bersama murid  GES  – datang memenuhi  padang.  Murid sekolah China Yuk Hua – lelaki dan perempuan -  yang terletak tidak jauh dari padang datang sama.

Ada pentas di sediakan dengan alat pembesar suara melalui kereta Jabatan Penerangan. Ada Ketua Orang Melayu, Ketua Orang China, Ketua Orang India  dengan Pegawai kerajaan yang berpakaian kemas duduk di atas pentas. Aku tidak ingat  siapa berucap dan apa isi ucapan.

Warga Jelebu datang mengelilingi padang. Aku nampak Pak Cik Melayu bersongkok dan bersamping. Mak Cik  berselendang dan  berkebaya labuh. Anak dara berkebaya pendek. Ada perempuan  Melayu memakai baju kurung. Aku nampak juga lelaki  India dengan pakaian  serba putih. Perempuan China  baju   Chengsom. Amoi-amoi  muda dengan gown macam pakaian Mem.  Achi dan Tangachi dengan sari berwarna warnI. 

Sambutan Merdeka di pekan Kuala Klawang tahun 1957   dalam suasana gembira  seperti hari raya.

Kain  menutup tugu telah secara resmi  dibuka. Terpampang nama-nama ‘ gedeber  Jelebu ‘ telah mendermakan dana untuk mendirikan tugu ini. Yang aku ingat nama Tara Singh Bengali kaya pemilik kebun getah yang rumahnya tidak jauh dari berek  guru tempat aku tinggal.

Tarian Melayu dari murid perempuan  GES  mengakhiri sambutan  Merdeka 31 Ogos 1957 di daerah Jelebu.

Sambutan Merdeka  menjadi lebih meriah. Aku ingat  selesai sahaja beratur di padang murid-murid  diberi tiket percuma untuk menuntun wayang di Panggung Ruby.

‘ Bila lagi  nak Merdeka...’  Zul bertanya.

‘ Ada apa..’ Aku bertanya kembali.

‘ Nak nengok wayang free...’ 

Wayang Free ini hingga  ke hari ini  menjadi lambang ingatan aku yang tak putus-putus tentang  Merdeka.

Sesudah upacara resmi sambutan Merdeka menjadi pesta rakyat.  Merdeka  menemukan aku dengan  ‘ kedai tikar’.  Mak Cik dan Kakak  membentang tikar  menjual kuih muih,  ada air serbat, tempeyek,  tahu sumbat dan cucur udang. 

Dalam sambutan Merdeka ini juga kali pertama aku berjumpa Keling berbasikal  menjual  alusmitai. Gula yang telah menjadi kapas. Basikalnya menjadi mesin mengubah gula pasir yang berwarna warni untuk menjadi kapas manis. 

Semua jajan ini boleh dibeli dengan  harga  5 sen. Jika ada 50 sen ketika hari Merdeka ertinya  amat lumayan.

Aku tidak tahu dari  ceruk mana Abang ini datang. Abang ini juga membentang tikar. Atas tikar bertaburan botol kecil – ini botol ubat yang dijual.   Ubat  tenaga batin. 

Di tepi tikarnya Abang ini  ada sebuah kotak bulat dari mengkuang. Dalam kotak ada seekor ular sawa bergulung. Ular ini menjadi tarikan utama untuk orang ramai datang berkumpul.

Sambutan Merdeka ini  bermula dari pagi hingga  ke petang.  Tengah hari ada wayang. Di sebelah petang ada permainan bola. 

Di Jelebu ketika aku membesar ada pasukan PWD, pasukan Polis , pasukan Jelebu Estate dan paling baru  pasukan Askar Melayu dari kem Kuala Klawang.

Walau pun pada 31 Ogos 1957  Persekutuan Tanah Melayu telah Merdeka – Jelebu  masih lagi kawasan hitam. Perang gerila yang dilancarkan oleh  Parti Komunis Malaya masih lagi belum selesai. Darurat masih berjalan.

EPILOK 1 -   Kawasan kem Gurkha dan kem Askar Melayu  akhirnya ditutup pada tahun 1960. Kawasan kem  kini menjadi kawasan sekolah.  Goverment English School  diperluaskan untuk menjadi  Sekolah Menengah  Undang  Jelebu. 

Sekolah asal GES  menjadi   Sekolah Rendah  Undang Jelebu.  

Jalan di hadapan SMUJ dipanggil Jalan Gurkha.

EPILOK 2 – Rumah Guru Besar GES hari ini menjadi Balai Udang Luak Jelebu – kediaman resmi Datuk Undang. Kawasan puncak rumah Tuan DO – diratakan untuk menjadi Pejabat Kerajaan.

Rumah Tuan OCPD masih menjadi rumah resmi Ketua Polis Jelebu.

Rumah-rumah banglo Tuan Tuan Pegawai Inggeris  yang ada serombong asap masih lagi  menjadi rumah pegawai kerajaan.

EPILOK 3 - Panggung wayang Ruby telah ditutup. Bila   ditutup aku tak tahu kerana aku berkelana. 

EPILOK 4 – Kaman Keling masih ada. Hari ini  bukan hanya Keling yang tinggal disana.

EPILOK 5 –   Dua buah bar – yang pintu bar seperti dalam filem koboi – telah ditutup. Dua kedai dobi yang pelanggan utama dari  kem soldadu Gurkha dan Askar Melayu sudah tutup.

EPILOK 6 – Satu hujung minggu pada tahun 1990 – aku bersama Chris Kelly – kami serumah dan satu kelas – telah pergi melawat Hannah yang juga kawan  satu kelas.

Hannah tinggal  di wilayah kota Brighton. Kota Brighton  – kota percutian di tepi laut di Selatan England. Hannah tinggal dalam pekan kecil yang jauh dari pantai.

Bila kami sampai ke kampung Hannah  mata aku terbuka kerana di hadapan aku  seolah-olah aku melihat  pekan Kuala Klawang.  Di kampung Hannah ada padang kriket, ada  padang bola, ada taman kanak-kanak. Dan pohon pokok rendang. 

Rumah -rumah banglonya dan rumah teras di kampung Hannah semuanya ada  serombong asap.

Chris Kelly dan aku duduk main jongkang jongkit. Aku tidak  tahu apa dalam kepala Chris Kelly tapi aku tahu apa yang kepala aku fikirkan.

Dalam kepala  aku orang Inggeris yang datang menjajah  Tanah Melayu bukan hanya mengambil bijih dan  emas – mereka juga membawa ‘ little England ‘ ke mana  saja mereka pergi. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2022/01/26/orang-putih-balik-kampung/



1 ulasan:

herman adnan berkata...

SHAM RAIS, orang putih tu burit dia pun putih jugak ke?