Rabu, 13 April 2022

PUSING PAPAN DI BATU GAJAH

 



 PUSING  PAPAN 

DI BATU GAJAH 


Sarapan pagi di Kampar tidak  istimewa seperti  menikmat Li Chee Kang.  Awal pagi kami sudah bersedia untuk meneruskan perjalanan ke Utara.

Di luar kawasan sekolah  kami  terserempak dengan Budak China menjual mee goreng dan  kuah apam di simpang jalan.  Mee goreng kami bungkus. Kemudian   kami singgah untuk air teh  di kedai  tolak  Pak Cik India di tepi pekan Kampar.

Pagi ini kami merancang hendak ke Batu Gajah. Kami hendak  singgah dan melawat rumah kakak aku Khamsiah Rais yang  tinggal dengan suaminya di Batu Gajah.  Suami kakak aku seorang pegawai tentera.

Di luar pekan Kampar sebuah jeep lama berhenti. Pemandu Abang China.

‘ Ipoh..’ Abang China bertanya.

‘ Batu Gajah ...’ Aku menjawab sambil memanjat masuk ke bahagian belakang jeep.  Lee Keong duduk di sebelah pemandu.

‘  Batu Gajah kena berhenti di simpang Gopeng.... gua drop lu orang sana..’ Abang China menerangkan arah jalan. Tentang arah  jalan ini aku tidak arif.  Semua jalan yang aku lalui adalah jalan-jalan yang baru pertama  aku teroka. Apa yang aku diberitahu  kami wajib sampai ke  Batu Gajah dahulu sebelum ke Ipoh. Simpang menyimpang ini aku tidak tahu.

‘ Ikut wa dulu... masuk lombong.... nanti keluar Gopeng...boleh henti...’ Abang China menerangkan.

Lombong ? Lombong apa? Aku hanya bertanya dalam kepala aku sendiri. 

 Rasa takut sampai  kerana jeep ini bergerak menyimpang masuk ke jalan kecil berpasir. Jeep melintas  kawasan belukar. Kemudian kami lalui jalan tanah berpasir di tepi  bekas lombong.

Mata aku terbuka. Ini kali pertama  aku nampak kolam dan tasik bekas lombong yang  besar dan amat luas.

Kemudian Abang China berhenti di sebuah rumah kayu. Dua lelaki China muncul. Mereka bertiga berbincang. Aku hanya memerhati. Lee Keong mungkin faham.

Kemudian kami bergerak keluar kembali ke jalan besar. Hati aku merasa lega bila nampak ada kereta lain lalu lalang. Abang China memberhentikan jeep.  Pada hemat aku ini pastilah simpang  Gopeng.

‘ Sana jalan ke Batu Gajah ... arah pusing......’  Abang China memberi penerangan.

‘ Thank you... ‘ Aku berbahasa Inggeris. Terima kasih yang jujur kerana tadi hati kecil aku telah curiga dengan niat Abang China ini.  Dalam masa yang sama aku tak faham kenapa perlu berpusing lagi.

Di tepi jalan kami menunggu kereta arah ke Batu Gajah. 

‘ Tadi tu lombong apa...dua orang tu sapa...’ Aku bertanya pada Lee Keong.

‘ Kau  takut ke tadi .... dia  tu bos... dua orang tu pekerja dia.. jaga injin dalam rumah tu....aku pun takut juga bila jeep  masuk jalan pasir....bila dengar mereka  bercakap ... baru hati senang....’ Lee Keong menjawab.

Baru aku sedar bahawa Lee Keong juga merasa curiga  bila  jeep gelencong masuk ke jalan pasir.

Hari main panas. Agak lama menunggu. Aku merasa lapar. Air sejuk dalam balang aku hampir habis.

Sebuah kereta kecil berhenti. 

‘ Woit...  sekaut.. nak camping di mana ... tengah- tengah panas ni... nak ke mana..’  Pak Cik Melayu bersuara.

‘ Batu Gajah...’ Pantas aku menjawab.

Dalam kereta kami di soal siasat. Kali pertama aku ditanya bagaimana aku kenal Lee Keong. Lalu aku bersurah tentang sekolah kami di Kuala Klawang.

‘ Baguslaaa budak China kawan budak Melayu... kau orang cari  apa di Batu Gajah...’

Dari saku baju  aku keluarkan alamat rumah sewa Kakak aku. Aku bacakan alamat.

‘ Alamat ni  .. belum masuk pekan lagi... rumah sapa disini...’ Pak Cik bertanya.

‘ Kakak...dia sewa rumah kat siru...’ Aku menjawab ringkas.

Kami diberhentikan di tepi jalan. Aku tidak tahu di mana kami  berada. Mata aku mencari orang  untuk bertanya. Dari jauh aku nampak Pak Cik berjalan ke arah kami. Bersenjatakan  alamat rumah aku berhadapan dengan Pak Cik.

‘ Tak jauh dari sini... sebelah kiri jalan ke depan nanti nampak  rumah kampung ... rumah Melayu ....rumah tiang tinggi...pokok kelapa tepi rumah... kalau sesat kau tanya lagi di sana...’ Pak Cik memberi penerangan yang agak jelas.

Kami menapak  dalam keadaan letih dan panas.  Aku nampak rumah seperti yang digambarkan oleh Pak Cik tadi. Aku terperanjat kerana rumah papan ini semacam sama bentuknya  dengan rumah Wan Timah aku di Kampung Chenor. Bertiang tinggi   beratap zink.

‘ Mak Cik... Abang... Pak Cik... Tuan Rumah...’ Semua aku panggil. Aku melaung dua kali di tepi tangga.

“ Ooo saya..... ada apa...’ Pintu depan terbuka. Muncul Mak Cik di tepi pintu.

‘ Khamsiah Rais ada  duduk disini ke ... saya adik dia dari Jelebu ... dari kampung..’ aku memberi penjelasan.

‘ Oooo... dari Negeri Sembilan... alaaaa.... dia tak duduk sini lagi... dulu menyewa rumah di belakang... dah pindah ke Ipoh..’  Jawapan Mak Cik yang mengecewakan hati aku.

Aku memandang Lee Keong  untuk mencari jawapan apa yang wajib dilakukan.  

‘ Ipoh di mana...’ Lee bersuara,

‘ Mak Cik ada alamat  kakak saya di Ipoh...’ aku meminta.

‘ Alamat tak da... kem askar renjer di Tambun...kau cari sana...’.
 Aku mengangguk kepala bila mendengar jawapan Mak Cik ini. Sebenarnya hati aku gelabah. Ipoh dari apa yang aku difahamkan  bandar besar. Berganda lebih besar  dari bandar Seremban. 

‘ Naiklaaaa dulu...’ Mak Cik mempelawa kami.

Aku menoleh kepada Lee Keong. Belum sempat Lee memberi jawapan aku telah bersuara.

‘ Tak pa laaa... terima kasih... kami gerak dulu..ke Ipoh..’

‘ Di Ipoh nanti kau tanyalaaa polis... mana kem renjer...Tambun arah ke Tanjung Rambutan... kau nak ke Ipoh ni ikut jalan pusing...’ Sekali lagi aku dengar jalan pusing. Jalan berpusing ke mana aku tak tahu.

Kami kembali ke jalan besar. Batu Gajah bukan pekan besar tapi ada perhentian kereta api. Kami tidak susah mencari jalan arah ke Ipoh. 

Sebelum mencuba nasib di tepi jalan kami berhenti membeli roti inti kelapa di sebuah kedai runcit India. Ini makan tengah hari kami berulamkan  air sejuk.

Sebuah kereta Pak Cik China berhenti. 

‘ Ipoh... Ipoh...’ aku bersuara. Kami masuk  ke dalam kereta berwarna hitam. Aku duduk di belakang.

Kemudian Lee Keong bercakap dalam Bahasa China. Pasti menerangkan siapa kami – budak Melayu dengan budak China hitch hiking ke Ipoh.

Mata aku terbuka bila aku nampak papan tanda : Pusing. Baru aku sedar Pusing ini nama tempat. Jalan Pusing  makna jalan  menghala ke Ipoh.

Kemudian aku nampak papan tanda  Kampung Baru Papan. Aku tersenyum kerana di Batu Gajah  ada nama kampung  Papan  ada nama kampung  Pusing. Aku bertanya dalam hati papan apa yang berpusing  hingga kampung mendapat nama ini.

Senyuman aku belum tamat aku nampak papan tanda Mengelembu. Aku usik bahu  Lee Keong dan tunjukkan papan tanda di tepi jalan.

‘ Tengok... Mengelembu....’ Aku mentertawakan nama kampung ini. Aku ketawa. Lee Keong tak nampak apa yang lucu.

‘ Sini... kacang baik oooi...’ Pak Cik China memberi penerangan yang aku tak faham apa maksudnya.

Pak Cik China berhentikan kami dalam bandar yang kami tak tahu hujung pangkal. Dalam kepala aku hanya  satu ingatan : mencari Mata-Mata untuk bertanya.

Kami menapak dalam pekan Ipoh.  Tak ada  arah tujuan. Mencari-cari dengan harapan terserempak dengan Abang Mata-Mata.

Selalu aku dengar :  Mata-Mata  ini susah  kita nak ditemui bila kita perlukan dia. Tapi  bila kita tak perlukan Mata-Mata akan muncul tanpa dicari. Bila nak mencuri ada saja Mata-Mata sampai.   Baru aku faham makna ayat ini. 

Apakah perlu aku mencuri  agar  mata-mata akan muncul.

Nasib aku baik. Aku tak perlu mencuri. Dua Mata-Mata tercegat berdiri di hadapan kedai jam tangan.

‘ Bang... boleh tolong .... nak tahu jalan... macam mana nak gi ke kem askar Renjer di Tambun...’ Aku bertanya.

‘ Kau orang pengakap  dari mana...’ Abang Mata-Mata bertanya.

‘ Bukan pengakap... kami hitch hiking....dari Negeri Sembilan... nak gi kem askar di Tambun...’ Aku memberi penjelasan

‘ Kena ambil bas  merah arah ke  Tanjung Rambutan.... minta turun depan kem... driber tahu... kau jalan ke depan belok kiri... sampai Jalan Yang Kalsom... tunggu bas merah di situ... dekat pokok kat sana...’ Abang Mata-Mata beri arahan.

Kami mengikut arahan Abang Mata-Mata. Kami jumpa Jalan Yang Kalsom. Kami jumpa pokok kayu di tepi perhentian bas. Bas Merah ialah bas Kinta.

Kamu menunggu bas yang menghala ke Tanjung Rambutan. Bila sampai kamu masuk aku merasa selesa kerana penumpang tak  ramai.  Ketika konduktor datang menjual tiket. Aku minta tolong agar kami diberhentikan di Kem Askar Renjer Tambun. 

Bas bergerak meninggalkan kota bandar. Kemudian bas  ke kawasan perumahan. 

Wow. Mata aku terbuka. Belum pernah aku ternampak kawasan  seperti ini. Ini kawasan perumahan orang kaya-kaya. Banglo  dua tingkat  di kelilingi  taman bunga. Aku belum pernah melihat kawasan lumayan seperti ini. Satu demi satu rumah banglo kami lintasi.

Loceng bas berbunyi. Ada penumpang nak turun.

‘ Tiger Lane... Tiger Lane...sapa nak turun Tiger Lane...’ Suara dari Konduktor. Tiga orang murid sekolah turun – baju putih dan seluar putih turun. 

Mata aku tak  melepaskan nikmat memerhati rumah -rumah orang kaya ini.  Ada rumah banglo di pagari oleh pokok teh. Rumah ada pokok durian. Ta[i  bukan macam durian belakang rumah aku. Ini durian  hiasan.

Indah. Cantik dan lumayan.

Loceng bas berbunyi

‘ Canning Garden... sapa nak turun sini.... ‘ Suara konduktor ketika memberi laluan kepada seorang Achi dan Minah Melayu. Aku menyangka tak mungkin Achi dan Minah ini tinggal di kawasan mewah ini. Kalau rumah mereka besar mengapa mereka naik baik.

Aku terfikir mungkin mereka ini Pembantu Rumah, Tukang Masak atau Babu. Mereka bekerja untuk  tuan empunya banglo.

‘ Kem Renjer....’ Suara Konduktor.

Lee Keong dan aku bangun.

‘ Terima kasih bang....’

‘ Sekaut ...nak jadi askar  ke...’ Abang Konduktor membuat lawak. Di tangga bas kami semua ketawa.

Hari makin petang.  Kami menapak ke pintu kem . Ada Pengawal bersenjata.

‘ Nak jumpa  Yusof Hassan.... Pegawai Renjer...’ Aku bercakap dengan penuh sopan kepada Pengawal.

‘ Numbo Pegawai tahu ..... alamat tau ...’ Pengawal minta maklumat. 

‘ Taak tahu ..... Waran Officer Yusof Hassan...’ Aku mengulagi.

Pengawal keluar dari bilik kawalan dan membawa kami masuk ke satu bangunan lagi. Pengawal meninggalkan kami  berhadapan dengan seorang lagi Pegawai Muda yang berpakaian lengkap.

Aku memberitahu Pegawai Muda ini niat aku masuk ke kem. 

‘ Oooo kamu adik  dia ke ...’

‘ Tidak... Kakak saya kahwin dengan dia...’

‘ Duduk dulu...rehat dulu... minum teh petang dulu..’ Pegawai muda ini cukup ramah.  Aku dan Lee Keong hanya tersenyum suka kerana tempat yang nak kami tuju telah ditemui.

 Pegawai Muda membuka buku  mencari sesuatu. Kemudian dia membawa kami ke satu lagi bangunan.

‘ Ini kelab pegawai...siang kosong nanti malam ramai...alamat  Waran Officer Yusoff dah jumpa.... kita minum teh dulu .. lepas  minum ... kita bergerak.. naik jeep... pernah naik jeep...’  Pegawai Muda bertanya.
‘ Ada ... pernah...’ Aku menjawab. Aku  teringat dengan  Abang Pegawai di Kem Kuala Kubu Baru dan jeep  di jalan lombong.

Selesai minum teh kami naik jeep dan terus dihantar ke rumah Kakak aku.  Anak  buah aku – Norita da Hazlan  masih kanak-kanak. Mereka akan gembira bila kami sampai.  Abang ipar aku tidak ada di rumah – bertugas. Aku juga gembira kerana telah sampai ke tempat yang dituju.

Sesudah makan malam kami menapak  berjalan  ke luar untuk melihat malam. Lalu kami sampai  kembali ke bangunan di tepi pintu masuk.

Aku nak menjenguk  di tepi  pintu pejabat Pegawai Muda. Aku menyimpan niat hendak berkenal mesra.

‘ Ha... Pengakap dua orang sudah sampai...’ Matanya memandang  kaki kami berdua.

‘ Isham dan Lee... maaf malam ni kamu tak boleh masuk...’   Ayat yang memeranjatkan aku.

‘ Saing tadi ok... kamu berdua pakai kasut... sekarang kamu berdua pakai selipar.... undang-undang kelab askar tidak dibenarkan sesiapa masuk kalau memakai selipar...’  Aku mendengar dengan jelas. Ini  satu perkara baru yang wajib aku ketahui.

‘ Tak pa bang... nak cakap terima kasih sekali lagi...’ Kami bersalaman. 

Aku merasa agak kecewa. Dalam dewan makan askar kami telah makan. Dalam kem askar kami telah tidur. Kini aku terlepas peluang hendak mengalami apa ada dalam kelab  askar ini.

Kami menapak pulang. Pulau Pinang semakin dekat. (TT)


TULISAN INI 
DISIARKAN JUGA DIPORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2022/04/13/pusing-papan-di-batu-gajah/



1 ulasan:

Yeop sepet berkata...

Hahaha sempoi2 gua sbgai budak ipoh sronok baca episode lu smpai ipoh.budak sekolah Baju putih d
sluor putih turun kt tiger lane tu mesti budak skolah star.kahkahkah sekolah budak jambu