Khamis, 19 September 2024

DRAFT MEMERANDUM YANG DI TOLAK


Draf memorandum antara Kerajaan Persekutuan dan Perikatan Nasional

Berikut bahagian utama draf memorandum disediakan kerajaan campuran pimpinan Anwar Ibrahim, yang menetapkan beberapa syarat terhadap Perikatan Nasional (PN) sebelum kawasan pembangkang diberikan dana sama rata.

Syarat-syarat tersebut ditolak PN yang menganggap ia bertujuan mengunci mulut ahli Parlimen dalam menjalankan tugas sebagai pembangkang yang berkesan.

Draf

Bahawasanya akibat tiada satu parti yang berjaya memenangi jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan secara sendiri pada Pilihanraya Umum Ke-15 yang lepas, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (Warisan) bersama-sama dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan dua (2) ahli Parlimen Bebas yang secara kolektifnya mempunyai Seratus Empat Puluh Lapan (148) kerusi Parlimen, mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, dan telah melebihi dua per tiga (2/3) majoriti keahlian Dewan Rakyat.

Dan bahawasanya Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong dengan kebijaksanaannya telah menitahkan Hasrat Tuanku supaya satu Kerajaan Perpaduan dibentuk demi menjamin kestabilan politik bagi membolehkan urusan Kerajaan Persekutuan dapat dijalankan secara lancar dan cekap (Titah Yang DiPertuan Agong). Parti PH, BN, GPS, GRS, dan Warisan telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman bertarikh 16hb Disember 2022 untuk membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan bersama dengan Parti PBM, KDM dan dua (2) orang Ahli Parlimen Bebas yang lain (selepas ini dirujuk sebagai MOU 2022 tersebut).

Dan bahawasanya Parti-Parti yang menjadi pihak dalam MOU 2022 tersebut telah bersetuju untuk membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan untuk tempoh selama lima (5) tahun penggal bagi Majlis Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat demi kemaslahatan bersama Malaysia secara amnya, untuk membina semula negara selepas krisis ekonomi dan kesihatan awam akibat pandemik Covid-19, dengan memulihkan kestbilan politik serta melaksanakan agenda reformasi, seterusnya membina negara Malaysia yang lebih makmur, inklusif, dan sejahtera.

Dan bahawasanya Dewan Rakyat melalui Usul Undi Percaya bertarikh 19hb Disember 2022 telah mengabsahkan kedudukan YAB Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia untuk mengemudi Kerajaan Perpaduan memandangkan beliau telah memperoleh kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Dan bahawasanya Ahli Parlimen tersebut merupakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang mana Bersatu bersama-sama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) telah membentuk satu gabungan politik yang dinamakan sebagai Perikatan Nasional (PN) dan membentuk sebuah gabungan pembangkang di Dewan Rakyat.

Dan bahawasanya Kerajaan Persekutuan dan Ahli Parlimen tersebut berhasrat untuk menambahbaik kestabilan politik negara bagi mengharungi sebarang cabaran dan krisis yang dihadapi negara, dan dengan ini menggariskan komitmen-komitmen seperti berikut:

1. untuk menangani masalah peningkatan polarisasi bangsa dan agama serta perpecahan sosial; 
2. untuk menambahbaik fungsi dan peranan Ahli Parlimen tersebut dan pengiktirafan status beliau sebagai Ahli Parlimen Pembangkang yang berwibawa dengan memperincikan deklarasi, komitmen, dan akujanji yang termaktub dalam Memorandum Persefahaman ini.

Maka oleh yang demikian, adalah dipersetujui oleh pihak-pihak seperti berikut:-

Tempoh kuatkuasa Memorandum
Memorandum ini hendaklah berkuatkuasa dari tarikh Memorandum ini, dan hendaklah terpakai sehingga pembubaran Majlis Parlimen Ke-15, atau pada 19 Disember 2027 (mana yang terdahulu).

Obligasi Ahli Parlimen
Ahli Parlimen tersebut mengakui peranan dan fungsinya sebagai Ahli Parlimen Pembangkang merupakan satu komponen yang penting dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia. Ahli Parlimen tersebut akujanji dan mengakui bahawa beliau akan berkelakuan seperti berikut:

Menambahbaik kedudukan dan peranan ahli Parlimen pembangkang yang berwibawa
a. Sebagai sebahagian daripada pihak Pembangkang, Ahli Parlimen tersebut perlu memastikan Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab terhadap Parlimen mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang, dan Peraturan Mesyuarat Parlimen serta konvensyen Parlimen.

b. Perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina kepada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan ketelusan sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan awam, serta kelancaran dalam pentadbiran awam, sekaligus mengelakkan sebarang salahguna kuasa dan ketidaktelusan.

c. Perlu menyediakan satu alternatif politik atau cadangan balas yang kredibel serta menyediakan pilihan dasar alternatif berbanding dengan cadangan dasar yang dikemukakan oleh pihak Kerajaan Persekutuan dan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Ahli Parlimen tersebut sebagai ahli Parlimen Pembangkang tidak boleh membuat sebarang bangkangan atau halangan yang sia-sia atau mengganggu tindakan Kerajaan Persekutuan atau Dewan Rakyat, sebaliknya bersama-sama berusaha untuk menambahbaik sebarang cadangan dasar demi kepentingan umum negara.

d. Ahli Parlimen tersebut perlu menahan diri daripada menyemai kebencian, diskriminasi, atau keganasan sebagai suatu bentuk ekspresi politik atau perbezaan pendapat, tetapi harus bertindak dalam semangat toleransi serta tindakan bersama demi kepentingan Negara.

e. Ahli Parlimen tersebut akujanji untuk mengemukakan Pengisytiharan Harta mengikut format yang dilampirkan dalam Jadual A dalam tempoh 14 hari dari tarikh Memorandum ini.
f. Ahli Parlimen tersebut mengakui bahawa seorang Ahli Parlimen adalah satu jawatan awam yang menjalankan amanah rakyat dan disebabkan itu, Ahli Parlimen tersebut perlu berkelakuan mengikut tujuh (7) Prinsip Kehidupan Awam yang dilampirkan dalam Jadual B Memorandum ini.

Tuturan kebencian dan hasutan mengenai isu bangsa, agama dan raja-raja

g. Ahli Parlimen tersebut mengakui dan mengisytiharkan bahawa Perlembagaan Persekutan dan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia adalah berasaskan prinsip maruah dan kesaksamaan semua manusia dan kesemua rakyat Malaysia mempunyai peranan untuk mempromosikan dan menggalakkan penghormataan dan pematuhan terhadap hak asasi manusia dan kebebasan asasi untuk semua tanpa mengira bangsa, agama, bahasa, budaya, dan agama.

h. Ahli Parlimen tersebut selanjutnya mengakui dan mengisytiharkan bahawa Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia adalah berdasarkan prinsip bahawa semua manusia dilahirkan bebas dan saksama, bermaruah, dan mempunyai hak asasi dan kebebasan tanpa sebarang perbezaan dari segi bangsa, warna kulit, etnik, atau agama, dan mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan yang saksama daripada sebarang bentuk diskriminasi atau hasutan terhadap sebarang bentuk diskriminasi.

i. Ahli Parlimen tersebut juga mengakui dan bimbang dengan ucapan-ucapan berbentuk kebencian, diskriminasi kaum, agama, dan sebarang bentuk hasutan terhadap institusi diraja, termasuk Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong, serta Raja-Raja Melayu. Ahli Parlimen tersebut juga mengutuk segala propaganda, maklumat palsu, atau sebarang idea yang bertujuan untuk menghasut dan menimbulkan ketegangan kaum, agama, dan/atau budaya serta melakukan sebarang diskriminasi dalam apa-apa bentuk, atau menimbulkan sebarang kebencian terhadap institusi diraja dan Raja-Raja Melayu, atau sebarang bentuk penderhakaan terhadap institusi diraja dan Raja-Raja Melayu.j. Ahli Parlimen tersebut juga mengakui dan menyatakan komitmen bahawa beliau akan menahan diri daripada membuat sebarang kenyataan dan/atau ucapan dan/atau perbuatan sama ada secara lisan atau bukan lisan, yang bersifat kebencian, atau menggunakan sebarang bentuk bahasa yang merendahkan atau mendiskriminasikan mana-mana pihak atau kumpulan sama ada atas dasar agama, kaum, etnik, warna kulit, asal-usul, jantina, kewarganegaraan, atau apa-apa faktor identiti yang lain, atau sebarang bentuk komunikasi yang mempunyai kecenderungan untuk mencetuskan sebarang diskriminasi, kebencian, atau keganasan terhadap mana-mana pihak, atau melakukan sebarang bentuk penghinaan, penderhakaan, atau kecenderungan untuk menghina dan menderhaka terhadap institusi diraja dan Raja-Raja Melayu.

Obligasi Kerajaan Persekutuan

Kerajaan Persekutuan mengakui bahawa Ahli Parlimen Pembangkang mempunyai peranan yang besar sebagai Pembangkang dengan menunjukkan kesetiaan kepada Negara, Perlembagaan Persekutuan, dan institusi diraja, serta bertindak untuk semak dan imbang secara sah dan bertanggungjawab serta memastikan akauntabiliti dan ketelusan Kerajaan Persekutuan di dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia. 

Tertakluk kepada penyerahan Pengisytiharan Harta serta selepas menandatangani Tujuh Prinsip Kehidupan Awam (Seven Principles of Public Life) seperti di Lampiran B, Ahli Parlimen tersebut, atas dasar prinsip kesaksamaan, akan diberi layanan yang sama seperti Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Persekutan berkenaan dengan perkara-perkara berikut:

a. Memelihara dan melindungi hak dan keistimewaan Ahli Parlimen tersebut untuk menjalankan tugasnya di Dewan Rakyat seperti tempoh masa berucap, akses kepada jawatankuasa pilihan Parlimen, hak untuk meminda, hak untuk membentangkan rang undang-undang dan usul;

b. Diberikan akses kepada sumber rujukan, sumber penadbiran, dan sumber kewangan, seperti ruang pejabat, pembantu parlimen, dan elaun;

c. Diberikan peruntukan dana pembangunan kawasan Parlimen (constituency development fund) mengikut peraturan, tatacara dan tatakelola penggunaan dana tersebut. Jumlah peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen tersebut adalah seperti yang dinyatakan dalam Jadual C.

Ketelusan dan tiada kerahsiaan
Pihak-pihak dengan ini bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya kandungan dan intipati Memorandum ini kepada umum dan menjadikan Memorandum ini tidak tertakluk kepada mana-mana klausa kerahsiaan.

Pemakaian undang-undang
Memorandum Persefahaman ini hendaklah dikawal dan ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia

Pembatalan Memorandum
Sekiranya mana-mana pihak gagal untuk menjalankan obligasinya sebagaimana yang dinyatakan dalam Perenggan 3 dan 4 Memorandum ini, Memorandum Persefahaman ini secara automatiknya akan terbatal dan pihak yang lagi satu tidak mempunyai sebarang obligasi lanjut yang perlu dilaksanakan menurut Memorandum ini.

SILA BACA

DAN FAHAMI

KENAPA

PAKATAN TOLAK

MEMORANDUM

INI

AMIN

KHALAS




Tiada ulasan: