Khamis, 19 September 2024

LEPAS PAGER WALKIE TALKIE MELEDAK




Gelombang kedua letupan peranti sasar 'walkie-talkie' Hizbullah, 20 terbunuh dan lebih 450 cedera


BEIRUT: Gelombang kedua letupan peranti telah membunuh sekurang-kurang 20 mangsa dan mencederakan lebih 450 lagi di kubu Hizbullah di Lubnan, semalam, sekali gus meningkatkan kebimbangan bakal tercetus perang habis-habisan dengan Israel.

Menurut sumber rapat dengan Hizbullah, 'walkie-talkie' digunakan anggota-anggota kumpulan itu meletup di Beirut, manakala media negara ini melaporkan kejadian serupa turut berlaku di selatan dan timur Lubnan.

Rakaman AFPTV menunjukkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila letupan berlaku ketika pengebumian pejuang Hizbullah di selatan Beirut pada sebelah tengah hari.

"Gelombang letupan dilakukan pihak musuh yang menyasarkan 'walkie-talkie' telah menyebabkan sekurang-kurang 20 terkorban dan lebih 450 cedera," kata Kementerian Kesihatan Lubnan dalam satu kenyataan.

Kejadian itu menyusul sehari selepas beratus-ratus alat kelui yang digunakan pejuang Hizbullah, meletup serentak sehingga membunuh sekurang-kurang 12 mangsa termasuk dua kanak-kanak, selain mencederakan 2,800 lagi di seluruh Lubnan dalam serangan kali pertama seumpamanya dengan Israel disyaki sebagai dalangnya.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan Israel berhubung kejadian letupan terbabit. Namun beberapa jam sebelum serangan kelmarin, rejim Zionis mengumumkan mereka kini memperluaskan sasaran perangnya dengan Hamas di Gaza dengan turut menentang Hizbullah yang juga sekutu kumpulan pejuang itu.

"Kita sedang berada pada permulaan fasa baharu peperangan," kata Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, ketika melawat sebuah pangkalan udara, semalam.

Hingga kini, pegawai Israel kekal membisu mengenai serangan letupan peranti berkenaan yang menjadi tajuk utama berita media cetak dan elektronik.

Amos Harel daripada akhbar Haaretz yang berhaluan kiri, berkata serangan letupan alat kelui dan 'walkie-talkie' itu telah meletakkan 'Israel dan Hizbullah di ambang perang habis-habisan.'

Sementara itu, Rumah Putih memberi amaran kepada semua pihak terbabit supaya 'tidak meningkatkan lagi ketegangan dalam apa juga bentuk.'

"Kami sama sekali tidak percaya bahawa jalan penyelesaian krisis yang sedang berlaku kini ialah dengan menambah operasi ketenteraan," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), John Kirby, kepada pemberita.

Menteri Luar Lubnan, Abdallah Bou Habib pula memberi amaran bahawa 'serangan terang-terangan terhadap kedaulatan dan keselamatan Lubnan' adalah perkembangan berbahaya yang boleh 'mengisyaratkan perang lebih meluas'.

Kumpulan Hizbullah menegaskan Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas serangan jenayah itu, sekali gus berikrar untuk melakukan tindak balas.

Dalam pada itu, hospital-hospital di Beirut dipenuhi mangsa serangan letupan berkenaan. Seorang doktor, Joelle Khadra, memaklumkan kebanyakan kecederaan membabitkan bahagian mata serta tangan, termasuk jari terputus dan serpihan memasuki mata, malah sebilangan mangsa menjadi buta.

Seorang lagi doktor berkata, beliau bertugas sepanjang malam dan menyaksikan kecederaan amat teruk 'yang tidak pernah dilihat sebelum ini.' - AFP


AWAL PAGER

MELETUP

AMIN

SEKARANG

WALKIE TALKIE

PULAK MELETUP

AMIN

DUNIA MENUNGGU

APA JAWAPAN 

HIZBULLAH

AMIN

Tiada ulasan: