Rabu, 6 Februari 2019

SURAT PEROKOK TEGAR KEPADA MENTERI KESEHATAN







SURAT PEROKOK TEGAR
KEPADA
MENTERI KESEHATAN

Saya seorang perokok tegar. Saya menghisap tiga kotak rokok keretek sehari. Saya berbangga dengan rokok  saya. Saya tidak peduli sama ada  Humphrey Bogart dan Lauren Becall mengisap rokok atau tidak. Saya tidak terpengaruh oleh Hussein Abu Hassan dengan Players  Gold Leafnya. Atau pun  dengan Inchek Clint Eastwood dengan cigarillonya.

Berkepol-kepol asap rokok keluar dari mulut bintang filem yang kacak, yang cun dan yang jambu. Semua ini  tidak akan mempengaruhi saya.

Ini kerana saya tahu nikmat rokok. Saya tahu nikmat meghisap rokok sesudah makan. Saya  tahu nikmat rokok ketika bersembang. Saya tahu nikmat rokok ketika menghirup secawan kopi pekat. Saya juga tahu nikmat rokok sasudah berjimak.

Saya juga tahu nikmat ganja. Saya tahu nikmat  air  ketum dan air anggur. Saya tahu nikmat  beer.  Bukan hanya  Tunku Abdul Rahman atau Tun Razak  atau Sulaiman Brandy sahaja yang  tahu nikmat  brandy. Hishamuddin Rais juga tahu apa itu XO Cognac. 

Justeru kepada yang tidak merokok. Kepada yang tidak pernah menghisap ganja. Kepada yang tak pernah menghidu kokain. Kepada yang tidak pernah minum beer atau whisky sila jangan sesekali  berkata ‘semua ini tak sedap… tak shiok…. bahaya pada kesehatan...’

Kalau belum minum Dom Perignon. Kalau belum  minum Moet Chadon. Kalau belum meneguk Mort Subite atau tak tahu apa itu Duvel sila  jangan pelekehkan peminum air  anggur, todi, air tapai, tuak atau langkau. Atau  memperlekeh penghisap rokok.  

Maknanya  - jika  tak pernah ada ramai kekasih - kalau hanya ada seorang  isteri atau kalau yang dipelok hanya  sang  suami jangan sesekali berkata bertukar pasangan itu tiada nikmat.

Tak pernah buat ertinya tak pernah tahu. Sudah buat baru tahu. Belum buat belum tahu.

Saya dikenalkan dengan keretek oleh  Tongkat Waran. Ini pada tahun 1972. Saya tidak tahu berapa harganya pada ketika itu. Saya tidak  tahu dari  mana  Si Tongkat ini mendapat keretek. Setiap kali bertemu Tongkat saya  akan menjadi 10,000 kali lebih puitis jika Tongkat menghulurkan Gudang Garam.

Adik saya meninggal dunia pada jam 1.00 pagi Selasa 22 Junuari 2019 yang lalu. Si Arwah ini lima tahun lebih muda dari saya bukan perokok. Di kereta adik saya ada terlekat stiker McDonald. Pernah saya bertanya apa tujuan stiker ini.

‘ Senang nak masuk beli burger di Seremban..’

Apabila kawan-kawan bertanya apa sakit adik saya  hingga membawa maut. Saya akan jawab ‘… tak ada penyakit… dia meninggal dunia kerana life style… kerana gaya hidup…dia meninggal dunia tanpa serangan kuman… tidak diserang  virus…’ Ramai  kawan-kawan tidak faham jawapan saya ini.

Maka tulisan ini bertujuan untuk menerangkan apa itu gaya hidup yang menyebabkan mati.  Saya ingin menerangkan bagaimana ramai warga dunia hari ini  hidup dalam marabahaya yang amat sangat. 

Bahaya ini bukan dari rokok. Bukan kerana air anggur. Bukan kerana todi, samsu atau beer. Tetapi kerana gaya hidup. 

Justeru sebagai ingatan kepada roh adik saya lalu saya menulis surat ini kapada Menteri Kesehatan Pakatan Harapan.

Pak Menteri yang saya hormati,

Saya mengalu-alukan tindakan kerajaan saudara memperkenalkan  undang-undang dan peraturan baru  menghisap rokok. Saya gumbira kerana kerajaan dan jabatan kesehatan  yang saudara pimpin merasa  bertanggung jawab terhadap kesehatan warga negara. Amin. Syabas. Tahniah.

Tetapi hati kecil saya berkata - betul ke kerajaaan baru ini perihatin terhadap kesehatan warga negara? Atau ini hanya kempen popular yang tidak masuk akal? Atau ianya hanya anti-rokok kerana Pak Menteri sendiri tidak pernah menghisap rokok?

Saya berani bertanya sademikian kerana saya kurang yakin terhadap kempen anti-rokok yang dikaitkan dengan kesehatan. Saya melihat kempen anti-merokok ini dijalankan di Malaysia kerana ada negara lain pun telah berbuat demikian. 

Saya melihat Pak Menteri menjadi  Pak Turut. Kita bukan menjadi pemecah ruyung. Kita bukan menjadi pemula. Kita tidak memulakan apa-apa.

Saya kurang yakin sebab musabab larangan merokok ini berasaskan keperhatinan kerajaan Pakatan Harapan terhadap kesehatan warga negara.

Apakah  ini suara kurang ajar dari saya? Apakah saya mempertikaikan kesucian hati Pak Menteri dan kerajaan Pakatan Harapan? Kerajaan yang saya sokong.
Tidak. Saya tidak kurang hajar. Malah saya menyokong semua langkah kerajaan Pakatan Harapan untuk menjadikan warga negara sehat. Amin.

Pak Menteri yang saya hormati,

Saya ingin memberi tahu bahawa ada satu lagi pekara yang lebih bahaya dari rokok. Tetapi hingga ke hari ini Pak Menteri  gagal memaparkan dan memberitahu kepada orang ramai. Pekara ini gagal diumumkan kepada warga negara. Ini malapetaka yang amat sangat. Malapetaka yang berjuta kali lebih bahaya dari rokok.

Pekara  yang amat bahaya dari rokok ini ada terlekat dicermin kereta arwah adik saya. Malah mungkin beratus-ratus kereta lagi ada terlekat stiker laknat ini.

Pak Menteri Kesehatan dan  kerajaan Pakatan Harapan telah  gagal menerangkan secara tuntas dan ilmiah kepada warga negara tentang bahaya  dan  musibat terhadap kesehatan yang dibawa oleh  gaya hidup  Mc Donald dan Kentucky Fried Chicken termasuk suku sakat dan kaum kerabtanya.

Di Eropah dan Di Amerika makanan saperti McDonald dan Kentucky ini dipagggil ‘ junk food’ . Mengikut istilah Dewan - junk - ialah sampah. Food ialah makanan. Junk food ertinya makanan sampah. Khalas.

Makanan sampah ini bahaya kepada kesehatan. Pak Menteri  seorang penganut Islam yang baik  pasti ada terjumpa ayat-ayat tentang haramnya memakan sampah dan bahan-bahan kotor. 

Satu kajian ilmiah baru dari School of Medical Sciences University New South Wales Australia telah membuktikan bagaimana makanan sampah  ini  boleh mengubah perjalanan saraf otak manusia hingga menjadikan seseorang itu gemok hotok.

Kenapakah Pak Menteri tidak memberi  tahu rakyat dan warga negara secara jujur bahawa makanan sampah   ini lebih banyak membunuh orang  dari bencana perang, bencara kebuluran dan genoside.

Portal Daily Nation pada 12 Jun 2014 telah melaporkn kenyatan Anand Grover tetang makanan sampah.  Anand Grover ialah Rapporteur Makanan Pertubuhan Bangsa Bersatu - United Nation.

Mengikut laporan kajian  Bangsa Bersatu ini seramai 2.8 juta orang mati saban tahun akibat  makanan sampah. 

“The culprit is 'junk food’,” Mr Grover said. “Containing high levels of sugar, salt, trans-fats and saturated fats, this 'junk’ has unfortunately replaced healthy foods in our diets.”

 ‘ Kepala setannya  ialah makanan sampah…’ Ini kata-kata resmi dari Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Demi Toutatis .. jika 2.8 ini rakyat Malaysia maka dalam masa 10 tahun negara kita ini akan kosong. Semua telah wafat.

Amat jelas makanan sampah  ini membawa bahaya terhadap kesehatan. Membawa maut awal. Mengakibatkan serangan jantung. Badan menjadi  gemok hotok. Ini membawa kencing manis. Makanan sampah  juga membawa murung,  boleh membawa penyakit otak dan barah.

Satu kajian dari Public Health Journal  yang diumum pada 30 March 2013  menunjukkan warga yang  berbudayakan makanan sampah memiliki  51% peluang untuk menjadi murung.

Semua  ini bukan lebong Hishamuddin Rais. Ini bukan kelentong. Ini fakta ilmiah. Ini kajian Pertubuhan Bangsa Bersatu. Tapi sayangnya Pak Menteri Kesehatan  hanya bergerak separuh jalan. Hanya berkempen anti-rokok.

Pak Menteri,

Apakah Pak Menteri benar-benar  jujur dan serius untuk menjaga dan mengawasi kesehatan warga negara. Betulkah Pak Menteri ingin menjaga  dan mengawasi  kesehatan  anak semua bangsa. Ingin melihat bangsa semua agama sehat wal afiat. 

Jika Pak Menteru jujur maka kempen saterusya ialah memberitahu bahawa makanan sampah saperti Mc Donald  dan suku sakatnya  amat amat  merbahaya kepada kesehatan. Makanan sampah lebih bahaya dari rokok atau pun sama bahayanya.

Pak Menteri,

Jadilah seorang pemula. Jadikan diri Pak Menteri seorang pemecah ruyung. Jadikan diri seorang  yang berani. Jadikan diri seoarang yang jujur dan berani berkata benar.

Saya memberi cadangan. Awalan umumkan kepada  warga negara - anak semua bangsa  tentang bahaya makanan sampah.  Mulakan kempen kesedaran. Beri pencerahan. 

Di sekolah, di masjid, disurau, di kuil, di gereja, di kaca tv, di media - terus menerus beri penerangan dan pencerahan tentang bahaya makanan sampah.

Adakan kempen Jom Tinggalan Makanan Sampah. Jemput pemikir, cerdik pandai  dari kampus dan kolej untuk  berforum secara ilmiah tentang bahaya makanan sampah. 

Rasa saya  pembuat  filem dokumentri  Morgan Spurlock boleh dijemput untuk memberi kuliah  dan pencerahan tentang bahaya makanan sampah bernama McDonald. Kuliah berasaskan  filem Super Size Me yang dibuat oleh Morgan pada tahun 2004. Filem ini telah dicadangkan  untuk mendapat Hadiah Academy.

Bila telah ada kesedaran dan pencerahan maka pada hemat saya ada beberapa langkah saterusnya wajib dilakukan. Saya mencadangkan agar kerajaan Pakatan Harapan meluluskan Akta Makanan Sampah 2021 di Parlimen.

Dalam Akta Makanan Sampah 2021 ini secara jelas ditulis bahawa makanan sampah membawa mudarat kepada kesehatan. Justeru semua restoran makanan sampah wajib memaparkan papan tanda tentang bahaya memakan makanan sampah.

Juga disetiap kotak  dan pembungkus makanan sampah wajib ada tanda bahaya dan gambar sosok jantan  ata betina murung yang sugul dan mungkin jadi sasau.  Atau gambar sosok jantan dan betina yang gemok hotok dan hodoh. Ini sama saperti  gambar-gambar barah  yang menakutkan yang diletakkan pada  tiap-tiap kotak rokok.

Pak Menteri yang saya hormati,

Jangan silap faham. Saya bukan berkempen menentang kempen anti rokok Pak Menteri. Saya menyokong kempen ini.

Opps… hampir saya terlupa saya telah sepuluh tahun berhenti merokok. Dan dalam ingatan - saya hanya pernah  sekali  masuk ke restoran McDonald di Picadilly Circus London. Itu pun untuk menggunakan jambanya sahaja. Amin. (tt)


NOTA
tulisan ini akan disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45

----------------

9 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

terbaik lah surat kau pada pak menteri kesihatan ni, tt!! kita tunggu tengok brp jangka hayat pak menteri ni. adakah dia umur panjang atau pendek. lepas dia mati kita tunggu laporan postmortem nak jugak dengar sebab musabab ajal. harap2 bukan sebab kanser usus laa sebab byk mentekedarah bangkai ayam. ada sapa2 berjiran dgn pak menteri tak? tolong check anak2 dia gemok atau tak.

Mala Petaka berkata...

Genius comments..

Tanpa Nama berkata...

aku sokong hak samarata. setuju dgn kau tt, kalau kat kotak rokok ada gambar penyakit pelik2 sepatutnya kat kotak packaging makanan sampah tu letak gambar kanser usus, dan gambar pelik2 atau paling cikai letak gambar rosmah yg obese tu. baru lah adil.

parents yang bongok2 ni hanya pandai komplen kalau perokok merokok di meja makan tapi dia bawak anak sendiri pegi makan racun bangkai ayam tu ok pulak. memang jenis bongok.. bad parenting!

panglimo potaseh berkata...

Horamkang rokok untuk jadik sihat ..bilo semuo sehat doktor dan malaikamaut tak do kojo lak. Horamkan McD Gwa sangat setuju ..TQ TT ..ponah berlaku marahkan Yahudi horamkan McD ..ghogo McD dari RM10 sobijik jadi RM1 jo. Maso tu den dan keluargo balun McD ari2 ..takat ni balom ado yang padam laey dek McD.

Tanpa Nama berkata...

72 Peristiwa Hitam Di Zaman Najib
https://partiamanahmalaysia.wordpress.com/category/72-peristiwa-hitam-di-zaman-najib/

Tanpa Nama berkata...

Syabas kerana tulisan yg panjang lebar tapi dengan kesudahan markah 10/100. Atau dapat F (gagal). Bagaimana boleh katakan McD lebih bahaya dari rokok? Pertama penulis gagal memahami kenapa larangan merokok dibuat di tempat2 awam. Kalau makan McD bahayanya (jika ada) kepada diri pemakan itu saja. Tidak kena pada orang lain.Beza merokok, asapnya boleh dihirup oleh non-smoker (atau passive smoker) yg mana asapnya lebih merbahaya kerana tidak melalui penapis. Nampak tak perbezaan antara McD dan rokok. Penulis bokeh merokok sepuas-puas hati tapi jangan libatkan orang lain.

Tanpa Nama berkata...

hey perfume/cologne can cause retardation, madness, sexual desire to rape. must band all fragrance.
tv, advertising create false perception. placebo meds con money.
church temple mosque scientism all selling lies to collect money, just so they can fund psyc war. all petroleum/disel/biofuel based transportation pump out invisible toxic fume.
all these should be banned.
why nobody complain about these things? jaga business sindiri la what else.

Tanpa Nama berkata...

simple je bro.McD,kfc , coca cola disahkan halal oleh jakim..insyallah, sekiranya rokok dihalalkan oleh jakim maka baru la rokok itu tidak merbahaya...mana ada org melayu yg buat burger lebih sedap dari McD, mana ada org melayu jual ayam lebih rahsia dari kfc..mana ada islam cipta coca cola..dan kesemua mkanan2 sampah ini berlambak di negara islam darul hudud saudi arabia..tokey2 arab mjd kaya lg raya..dimalaysia, syarikat2 ini dimiliki Jcorp..Jcorp ada saham sultan..ko dah gile ke nak suruh org berhenti isap mcD,kfx atau ayam mas??dulu syrikat rokok ada taja pasukan bol..kini sudah tiada hingga nak bayar gaji pemain pun xd duit..kini kilang2 rokok sudah tutup dimalysia..walaupun mufti haramkan vape..jgn lupa bro..gula..gula juga penyebab obesiti..berapa ramai org2 islam yg ada saham mcD,kfc,coca cola??it economy..kalo ada hak asasi isap rokok..wajib ada hak asasi nak minum beer atau air anggur..

yusoferman berkata...

babi btol. kenapa aku tak terfikir untuk reverse saikologi (adakan kempen benci junk food dgn membuat tindakan yang sama terhadap rokok seperti kempen kesedaran/poster di kotak junk food). typicalnya, aku terfikir sekadar ah ini kaedah gov amik cukai amik cukai. babi btol perang gerila pak isham ya.

lalu aku terfikir, sungguh beradab manusia nama hisham ini kerana cara menegur juga berbeza terhadap kerabat dan terhadap musuh. namun, tegur itu sampai.

kemudian, apakah hisham sudah membawa ruh nabi kerana sidiq amanah tabligh fatonahnya menyampai kebenaran? pembawa risalah? buat tak buat lu punya pasal, janji sudah disampaikan. tiada paksaan.