Rabu, 1 Mac 2023

MANGSA BANJIR PERTAMA



Johor catat kematian mangsa banjir pertama


SEORANG lelaki warga tempatan menjadi korban pertama banjir di negeri ini setelah ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta di Jalan GSA Chamek, Paloh dekat Kluang tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata mangsa yang berusia 20-an itu dipercayai dibawa arus banjir ketika sedang memandu keretanya di lokasi kejadian, kira-kira 7.20 pagi tadi.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang kelapa sawit berhampiran.

“Usaha mengesan mangsa terus dilakukan dan pada pukul 12.20 tengah hari sebuah kereta jenis Toyota Avanza ditemui dengan keadaan ditenggelami banjir.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut menjumpai seorang lelaki dan didapati meninggal dunia. Mayat tersebut kemudiannya dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat menafikan terdapat kejadian jambatan runtuh dan dihanyutkan arus seperti yang didakwa dalam satu video tular di aplikasi TikTok.

”Polis Kontinjen Johor mengesahkan kejadian tidak berlaku di negeri Johor dan dipercayai berlaku di luar negara.

“Orang ramai dinasihati supaya tidak menyebarkan berita atau mesej palsu yang boleh mendatangkan ketakutan dan kegusaran kepada masyarakat. Mana-mana pihak yang menyebarkan berita atau mesej palsu boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Video berdurasi 20 saat yang memaparkan kejadian jambatan runtuh dan dihanyutkan arus itu dipercayai bertarikh 12 Disember tahun lepas tular di media sosial sejak semalam. – Bernama, 1 Mac, 2023.


AL-FATIHAH

JAGA JAGA

HATI HATI

AWAS !

AMIN

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Macam kat turkiye bangunan kena pau..sini longkang dan parit pon kena pau..dah endemic.