ADAT DAN
PERLEMBAGAAN
Ketika tulisan di garap Krisis Negeri Sembilan sudah masuk ke minggu ke tiga. Sebenarnya tiga minggu yang saya maksudkan ini hanyalah tiga minggu krisis ini di ketahui warga Malaysia secara umum. Ini bila media membuat laporan.
Walhal bisul Yam Tuan dan Tok Undang Berompek ( Empat Tok Undang ) sudah lama menanah – menunggu masa untuk pecah.
Dari apa yang saya baca krisis ini telah bermula lebih dari setahun dulu. Malah mungkin lebih lama dari itu. Kita hanya mengetahui ianya menjadi Krisis Negeri Sembilan bila media – RTM dan Bernama dan Tv arus perdana membuat laporan.
Di pagi bila berita Yam Tuan Negeri Sembilan dipecat tersebar saya mendapat beberapa panggilan talipon. Semua bertanya apa terjadi. Kawan dan sedara dari Jelebu bertanya apakah saya tahu lebih dari apa yang dilapur berita.
Jawabnya mudah : Den sendiri pun heran dan tak tahu...’
Tahun 1967 Yam Tuan Besar Negeri Sembilan Tengku Munawir mangkat. Ketika itu saya dalam Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Undang Jelebu. Sekolah kami berkabung - bendera sekolah dipasang setengah tiang selama 7 hari.
Di Jelebu Yam Tuan Tengku Munawir memang di kenali ramai terutama oleh murid sekolah Melayu. Ini kerana saban tahun dalam bulan Jun atau Julai Tengku Munawir akan mengadakan pesta memburu selama dua ke tiga minggu atau hampir satu bulan – berkhemah – dalam hutan Kenaboi Jelebu.
Jika di Pahang - Sultan Pahang akan mengadakan Pesta Menuba Ikan di Sungai Pahang. Di Negeri Sembilan Tengku Munawir ada pesta memburu.
Ini pesta tahunan. Tengku Munawir dan para pembantu dari Istana Seri Menanti akan berkhemah dalam hutan di tepi sungai Kenaboi. Dari surah yang saya dengar ada kenduri makan minum. Tukang masak khusus dibawa dari Seremban. Rusa , kancil, kijang dan pelanduk jadi santapan.
Saya juga mendengar meja judi akan dibuka oleh Towkay China dari pekan Titi yang tidak jauh dari Kenaboi.
Justeru bila Baginda mangkat kami murid sekolah di Jelebu merasa sedih.
Satelah Tengku Munawir selamat di makamkan maka Undang Berompek – Undang Jelebu, Undang Johol , Undang Rembau dan Undang Sungai Ujung telah menamakan Tengku Jaafar sebagai pengganti Tengku Munawir.
Tengku Jaafar dan Tengku Munawir ialah anak kepada Tengku Abdul Rahman YDPA pertama Malaysia. Anak kepada Tengku Munawir ialah Tengku Mukriz.
Kami budak kampung tertanya-tanya. Apa sudah berlaku. Tengku Mukriz tergelincir dari jadi Yam Tuan.
Hingga ke hari ini saya masih ingat lagi bagaimana cerita tersebar mengesahkan kenapa Tengku Mukriz tergelincir dan tidak ditabal untuk menjadi Yam Tuan Negeri Sembilan.
Tengku Mukriz berkelakuan tidak senonoh.
Tengku Mukriz di katakan telah menembak mati lembu atau kerbau orang kampung dalam sawah di Sri Menanti.
Bila kesah tembak kerbau ini tersebar maka budak-budak kampung kawan sekolah semua faham dan akur. Kami juga di beri tahu bahawa Yam Tuan baru ini dipilih, dilantik dan dinobatkan oleh Undang Berompek.
“ Tok Undang yang memilik...sapa nak jadi Yam Tuan...Undang kito laa yang pilih...”
Kami budak-budak kampung amat bangga dengan kuasa Tok Undang Jelebu. Ini labun popular pada tahun itu. Pada tahun 2026 saya masih teringat lagi babak sejarah ini
Malah pada pagi berita Tengku Mukriz di pecat oleh Undang Berompek kesah inilah yang berlegar dalam ingatan saya sekali lagi dan menjadi segar.
Waris saya dari Jelebu – seorang wanita profesional graduan luar negara - minta pencerahan tentang Tengku Mukriz di pecat melalui Whatapps. Maka kesah Tengku Mukriz menembak kerbau ini saya surahkan sebagai jawapan.
Pada sebelah malam ketika makan di Warung Tom Yam di Brickfeilds bersama kawan- kawan – ada kawan dari Felda Palong daerah Jempol Negeri Sembilan. Kami semua bersembang hal Adat Perpatih, Undang Berompek dan Tengku Mukriz.
Amat memeranjat saya kerana Anak Muda tiga puluhan dari Felda Palong ini juga pernah mendengar riwayat Tengku Mukriz menembak kerbau dalam sawah orang kampong.
Kawan dari Felda Palong ini ada mendengar riwayat ini dari kenalan dari Segamat Johor. Ertinya riwayat Tengku Mukriz menembak kerbau ini tersebar luas hingga diketahui oleh Gen Y dan Gen Zee hingga ke hari ini.
Krisis Yam Tuan Tengku Mukriz di pecat makin hangat diperkatakan. Dengan adanya teknologi Internet ini pelbagai berita dari pelbagai sudut boleh di baca , boleh di tonton dan boleh didengar. Tepuk komputer tanya selera.
Krisis ini mula bercambah. Saya terbaca bagaimana Tok Undang Sungai Ujung dikatakan telah juga di pecat beberapa tahun dulu.
Tok Undang Sungai Ujung ini dikatakan telah melakukan 33 kesalahan. Wow ! Nampaknya Yam Tuan kena pecat ini membuka banyak cerita dan kesah.
Mengikut berita Internet Tok Undang Sungai Ujung telah lama di pecat. Maka pemecatan Yam Tuan di tafsir tidak sah.
Satu Tok Undang gugur tinggal tiga Tok Undang. Secara demokratik Tok Undang masih majoriti... opps.. masuk pula Tengku Besar Tampin yang bersama Tok Undang bersetuju dengan pemecatan Tengku Mukriz.
Jelas pemecatan Tengku Mukriz ini berlandaskan keputusan majoriti mengikut adat istiadat Perpatih.
Tup tup muncul pula kenyataan dari Menteri Besar Negeri Sembilan yang menolak pemecatan Tengku Mukriz ini. Menteri Besar mempertikaikan kuasa adat Tok Undang Berompek.
Menteri Besar ini jelas kelihatan dia kabur dan tidak faham bahawa jawatan MB itu menetas dari air mani dan air kencing politik Inggeris.
Undang Berompek dan Yam Tuan ini bertelur, mengeram dan menetas dari dalam Adat Istiadat Perpatih. Adat Perpatih ini wujud lebih awal dari Islam – lebih awal dari kuasa Inggeris.
Dalam masa yang sama saya terus mencari sebab musabab kenapa Undang Berompek termasuk Tengku Besar Tampin ini siya sekata bersetuju untuk memecat Tengku Mukriz.
Kemudian saya difahamkan bahawa Tengku Mukriz ini hendak melantik anakandanya untuk menjadi Yam Tuan. Bila perkara - melantik anak sendiri untuk jadi pengganti diri - maka saya teringat kembali kepada riwayat Tok Undang Jelebu Datuk Shahmaruddin.
Datuk Shahmaruddin yang bergelar Datuk Mendika Menteri Akhirzaman ini ialah Datuk Undang Luak Jelebu yang ke 13. Dia menjadi Datuk Undang dari tahun 1945 hingga. Meninggal dunia tahun 1963.
Pada tahun 1959 Tok Undang Jelebu ini mula memasang niat untuk menjadikan anakandanya sebagai pengganti. Ertinya lepas dia meninggal dunia penggantinya yang menjadi Undang Luak Jelebu ialah anak lelaki dia sendiri.
Ini sah melanggar adat. Melanggar Adat Istiadat Jelebu dan melanggar Adat Istiadat Perpatih Negeri Sembilan.
Tok Undang Berompek bukan dilantik dari ayah ke anak. Dalam adat Perpatih ada sistem dan cara pemilihan dan pelantikan Datuk Undang. Semua ini tersusun dan teratur.
Ketika niat Tok Udang Jelebu nak melantik anaknya menjadi Undang mula tersebar YB Adun Pertang Jelebu ialah Aminuddin Manaf. YB dari Pertang ini mula bersuara menentang dan melawan niat Datuk Shahmaruddin.
YB Aminuddin bin Manaf ini ialah abang kepada Rais bin Manaf. Rais bin Manaf pula ialah ayah kepada Hishamuddin bin Rais.
Aminuddin Manaf dengan lantang bersuara menentang niat Datuk Undang Shahmaruddin ini untuk menjadikan anaknya sebagai Datuk Undang Luak Jelebu.
Saya masih ingat lagi Pak Ngah Aminuddin saya ini telah berkempen dan mengumpul orang kampung Jelebu – waris dan bukan waris untuk berhimpun dan berarak menunjuk perasaan.
Hampir dua ratus warga Jelebu telah berhimpun di pekan Kuala Klawang dan berarak ke Petaling. Kami melintas di hadapan rumah Datuk Shahmaruddin.
Kain rentang dan sepanduk yang kami bawa bertulisan rumi dan Jawi : Biar Mati Anak Jangan Mati Adat.
Bila berita Tengku Mukriz nak menjadikan anakandanya sebagai pengganti pasti niat ini melanggar adat. Pasti menyalahi adat. Dari segi adat istiadat Negeri Sembilan yang melantik dan menobatkan Yam Tuan ialah Tok Undang Berompek. Ini adatnya.
Justeru niat Tengku Mukriz sama seperti niat Datuk Shahmaruddin. Dua-dua sosok telah melanggar adat. Dari segi adat amat jelas.
Saya bukan monarkis. Saya Republikan. Saya Adatis yang mempertahankan adat. Untuk saya adat istiadat ini ialah jati diri. Tanpa adat kamu tidak tahu siapa diri kamu dan asal usul kamu dari mana.
Amat jelas dalam Perlembagaan Persekutuan : Siapa Melayu – Melayu ialah yang beragama Islam dan mengamal adat istiadat Melayu.
Krisis pemecatan Tengku Mukriz ini telah merebak dan dikaitkan pula dengan sistem politik moden. Keadaan menjadi keroh dan kacau bila ada campur tangan perebutan kuasa parti-parti politik.
Ketika tulisan ini digarap para Waris, Tok Lembaga , para Buapak dan anak beranak Perut Biduanda di Jelebu telah bermesyuarat untuk memecat Undang Jelebu. Sama seperti yang telah berlaku di Sungai Ujung.
Jelas kelihatan krisis di Negeri Sembilan ini akan berpanjangan. Untuk saya seorang Adatis saya berpegang kepada semangat demo pertama tahun 1959 yang saya ikuti. Ketika itu slogan kami ialah: Biar Mati Anak Jangan Mati Adat.
Hari ini tahun 2026 saya Hishamuddin Rais keturunan Sakai Jakun suku Biduanda mengeluarkan slogan baru : Biar Mati Madani Jangan Mati Adat. Amin. (TT)
TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM POERTAL
MALAYSIA KINI . COM
https://www.malaysiakini.com/columns/774701
.








Tiada ulasan:
Catat Ulasan