Selasa, 13 Oktober 2026

LU BOM ... KAMI PUN BOLEH BOM


ANSARALLAH

KATA : LUM BOM

AIRPORT KAMI...

KAMI  BOM

AIRPORT KAMU

KAH KAH KAH

KHALAS


Apa impak serangan di Arab Saudi

ISTANBUL: Serangan terhadap lapangan terbang di Arab Saudi sepanjang minggu lalu menjejaskan perjalanan udara, memaksa sekolah di Riyadh beralih kepada pembelajaran dalam talian, dan mendorong beberapa kerajaan asing untuk mengeluarkan amaran keselamatan, lapor Anadolu Ajansi.

Sebanyak 10 serangan menyasarkan lima lapangan terbang dilancarkan antara 5 Oktober lalu hingga semalam yang meragut sekurang-kurang 20 nyawa dan mencederakan ratusan orang, menurut kiraan Anadolu berdasarkan kenyataan rasmi.

Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh paling terjejas dengan lima serangan, diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Fahd di Dammam dengan dua serangan.

Tiga lagi serangan menyasarkan lapangan terbang di Abha, Jazan dan Najran.

Jumlah korban terbaru disahkan pada awal hari ini. Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA) memaklumkan bahawa serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, semalam, mengorbankan seorang penduduk warga Pakistan dan mencederakan 11 yang lain.

Operasi lapangan terbang digantung

GACA menggantung sementara operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid bagi menilai kerosakan dan memeriksa kemudahan selepas serangan pada Sabtu lalu.

Pihak berkuasa memaklumkan bahawa perkembangan lanjut akan diumumkan dengan kerjasama agensi berkaitan.

Kementerian Luar Arab Saudi turut menggesa rakyatnya di luar negara yang penerbangan mereka ke Riyadh dibatal atau ditangguhkan, supaya menghubungi misi diplomatik Arab Saudi untuk mendapatkan bantuan.

Gangguan penerbangan

Etihad Airways membatalkan beberapa penerbangan antara Abu Dhabi dengan Riyadh, Dammam dan Jeddah bagi tempoh 11 hingga 13 Oktober ini susulan gangguan penerbangan di rantau itu.

Syarikat penerbangan itu juga memberi amaran mengenai kemungkinan perubahan lanjut dan menggesa penumpang supaya menyemak status penerbangan masing-masing, selain memaklumkan bahawa bantuan sedang diberikan kepada penumpang yang terjejas.

SriLankan Airlines pula menggantung semua penerbangan ke Riyadh hingga 18 Oktober ini atas faktor keselamatan dan penilaian keselamatan yang masih dijalankan.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu lalu, syarikat itu memaklumkan bahawa perkhidmatan akan disambung semula apabila keadaan dianggap sesuai untuk operasi penerbangan komersial.

Pembelajaran dalam talian

Sekolah-sekolah di Riyadh beralih kepada pembelajaran dalam talian selama seminggu bermula semalam, menurut laporan Gulf News yang memetik e-mel kepada ibu bapa.

E-mel itu menyatakan keputusan berkenaan dibuat berdasarkan arahan Kementerian Pendidikan Arab Saudi.

"Semua sekolah di Riyadh akan beralih kepada pembelajaran jarak jauh sepanjang minggu ini," menurut e-mel itu.

Ia merupakan kali kedua sekolah di ibu negara Arab Saudi itu beralih kepada pembelajaran dalam talian dalam tempoh kurang sebulan.

Amaran perjalanan

Beberapa negara mengeluarkan atau mengemas kini nasihat keselamatan kepada rakyat masing-masing yang melancong atau berada di Arab Saudi, berikutan risiko serangan lanjut dan gangguan perjalanan.

United Kingdom (UK) menasihati rakyatnya supaya mengelakkan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid hingga keselamatannya terjamin, selain memberi amaran mengenai kemungkinan serangan lanjut, pembatalan penerbangan dan penutupan ruang udara.

Australia turut menasihati rakyatnya supaya tidak mengunjungi lapangan terbang di Riyadh dan mempertimbangkan semula perjalanan ke Arab Saudi, selain mengesahkan semula jadual penerbangan serta meminimumkan masa berada di lapangan terbang.

Perancis pula menggesa rakyatnya meningkatkan kewaspadaan dan mengelak perjalanan tidak penting ke Riyadh, selain mematuhi arahan keselamatan tempatan serta menyemak status penerbangan sebelum menuju ke lapangan terbang di Riyadh atau Jeddah.

Amerika Syarikat (AS) menggesa rakyatnya mempertimbangkan semula perjalanan ke Arab Saudi dan mengambil langkah berjaga-jaga sama sebagaimana dikenakan terhadap kakitangan Kerajaan AS yang memerlukan kebenaran khas untuk menggunakan lapangan terbang di Riyadh.

Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) menasihati syarikat penerbangan supaya mengelakkan kawasan tertentu di ruang udara Arab Saudi, dan meningkatkan kewaspadaan di kawasan lain dalam Wilayah Maklumat Penerbangan Jeddah.

Agensi itu turut memberi amaran mengenai risiko terhadap pesawat akibat serangan, pemintasan, kesilapan pengecaman serta serpihan yang jatuh.

Serangan berkenaan berlaku ketika konflik di Yaman kembali memuncak sejak Julai lalu selepas tempoh agak tenang susulan gencatan senjata yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan berkuat kuasa pada April 2022.

Pertempuran semakin sengit pada September lalu apabila kumpulan Houthi menguasai beberapa kedudukan strategik di barat Yaman, termasuk kawasan berhampiran Selat Bab el-Mandeb, sekali gus mencetuskan operasi ketenteraan oleh pakatan diketuai Arab Saudi.

Tiada ulasan: