TAUFAN AL-AQSA
3 TAHUN KEMUDIAN
Tiga tahun dulu : Subuh Sabtu 7 Oktober 2023 Pasukan Brigade Qassam bersama beberapa lagi kumpul gerila Palestin telah berjaya menyerang Israel. Brigade Qassam ini adalah induk pasukan Pertahanan Gaza di bawah pimpinan Hamas.
Briged Al-Qassam Hamas tidak bertindak bersendirian semasa serangan pada 7 Oktober 2023. Mereka menyelaraskan dan mengetuai satu gabungan di bawah satu kumpulan payung yang dikenali sebagai Bilik Operasi Bersama Palestin.
Menurut siasatan oleh BBC , sekurang-kurangnya lima lagi kumpulan bersenjata utama Palestin turut serta secara aktif dalam Operasi Taufan Al-Aqsa.
Ini termasuk : Islamik Jihad, Mujahidin Palestin dan Brigade Al-Nasser. Dua lagi dari kumpulan gerila parti politik bergaris kiri : Brigade Abu Mustafa dari Popular Front (PFLP ) dan Brigade Omar Al-Qasim dari Demokratik Popular Front.
Saya tidak perlu menghuraikan apakah yang sedang berlaku di Gaza , di Tebing Barat dan wilayah yang dipanggil Israel. Saya yakin warga Malaysia sedikit sebanyak ada memiliki maklumat tentang perjuangan rakyat Palestin untuk mengambil kembali tanah air mereka yang telah di jajah oleh Zionis Israel.
Apa yang wajib saya terangkan disini ialah : Perjuangan Palestin ini bukan saya ulangi lagi BUKAN perjuangan agama.
Betul lagi sahih Majid Al-Aqsa – Kiblat pertama umat Islam berada di Palestin. Nabi Isa juga lahir dari wafat di Palestin.
Malah tiga agama besar dunia – Yahudi, Kristian dan Islam - mengakui di Palestin sebagai wilayah suci mereka.
Dalam takrifan politik hari ini perjuangan Palestin ialah perjuangan menentang penjajahan. Inilah laungan pembebasan yang di suarakan oleh para pejuang dan para Syuhada Palestin.
Laungan ini sama seperti suara Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin dan Chin Peng yang mengangkat senjata melawan Inggeris pada tahun-tahun 50’an dulu.
Ini sama seperti perjuangan Bung Karno, Tan Malaka dan Bung Hatta melawan Belanda ditahun-tahun 40’an dulu. Mereka bangun dengan buluh runcing dan senjata untuk membebaskan Indonesia dari penjajahan Belanda.
Selesai Perang Dunia Ke Dua Belanda diundurkan dari Indonesia pada tahun 1947. Inggeris diundurkan dari Tanah Melayu pada tahun 1957.
Palestin di bawah jajahan Inggeris - tetapi bila Inggeris undur bumi Palestin di berikan kepada Zionis Israel atas alasan kaum Yahudi memerlukan tanah air satelah menjadi mangsa genosid di German dan Eropah.
Semenjak hari Nakba 15 Mei 1948 bumi Palestin tidak pernah aman. Semenjak Zionis Yahudi dan Israel wujud - bumi Arab tidak pernah aman. Semenjak Israel di wujudkan - Timur Tengah terus menjadi wilayah perang.
Perang Gaza hari ini dan Perang Iran hari ini adalah sambungan dari kewujudan entiti Zionis Israel pada 15 Mei 1948.
Zionis Israel bukan hanya musuh Palestin. Zionis Israel bukan hanya musuh Arab. Zionis Israel ialah musuh umat manusia.
Malah Zionis Israel sendiri adalah musuh kepada kaum Yahudi sendiri.
Justeru Taufan Al – Aqsa adalah sambungan dari peperangan pembebasan yang berterusan di Palestin dan di Timur Tengah.
Mengikut kajian rambang warga Palestin berjumlah lebih kurang dari 7 juta orang. Seramai 2.2 juta tinggal di Gaza. Seramai 2.08 juta tinggal dalam Israel. Seramai 3.5 juta tinggal di di Tebing Barat.
Semenjak subuh Sabtu 7 Oktober 2023 – laporan resmi dari Hamas menunjukkan seramai lebih dari 81.400 orang terkorban di Gaza. Ini termasuk kematian akibat pertempuran langsung dan pengeboman.
Dalam masa yang sama ribuan hilang atau disyaki tertimbus di bawah runtuhan, serta ratusan kematian akibat kebuluran yang direkodkan.
Hari ini gambar yang kita lihat dari media arus perdana dan media sosial kelihatan amat jelas Gaza sudah menjadi padang jarak padang Terkukur. Bangunan runtuh rantah.
Sekali pandang tiga tahun ini adalah tiga tahun kemusnahan dan kematian. Betul. Saya akui ini berlaku. Tapi ini melihat dari mata kasar apa yang telah berlaku di Gaza semenjak subuh Sabtu 7 Oktober 2023.
Mata kasar melihat bangunan runtuh, melihat mayat bergelimpang, kanak-kanak luka cedera, ibu meraung kehilangan anak, ayah menangis kehilangan keluarga. Kanak-kanak berebut-rebut berkerumun menanti makanan.
Kita melihat imej soldadu Zionis Israel – bersenjata lengkap dengan kereta kebal dan bom tangan. Senjata di badan senjata di gusi. Siap sedia untuk membunuh apa sahaja yang bergerak di Gaza termasuk kucing dan anjing peliharaan.
Kita di beritahu oleh lembaga NGO Human Right Watch, Amnesty Internasional dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa bahawa pada 7 Oktober itu seramai 1, 195 telah terkorban.
Malah pecahan sapa terkorban pun kita di beri tahu : Seramai 736 warga Israel. Seramai 38 kanak-kanak. Seramai 380 soldadu Israel dan 79 warga asing menjadi korban.
Hamas dituduh melakukan Jenayah Perang.
Hingga ke hari ini – 3 tahun kemudian – dunia tidak diberi tahu yang terkorban ini di tembak, dibunuh dan di bom oleh siapa?
Tetapi dunia tahu bahawa soldadu Zionis Israel wajib akur dengan apa yang di kenali sebagai Hannibal Directive – atau Arahan Hannibal.
Apa dia Arahan Hannibal ini ?
Arahan Hannibal ini untuk mengelakkan soldadu Israel atau warga Israel di tangkap dan di jadikan orang tawanan untuk tebusan.
Diperkenalkan pada tahun 1986 susulan penculikan soldadu Israel di Lebanon yang berakhir dengan pertukaran tahanan berprofil tinggi.
Prinsip Utama: Penculikan itu mesti dihentikan dengan apa jua cara, walaupun dengan risiko menyerang dan mencederakan pasukan sendiri. Ertinya bunuh soldadu sendiri atau warga sendiri asalkan jangan mereka jadi tawanan.
Ini bermakna ramai soldadu Israel dan warga Israel yang terkorban pada 7 Oktober 2023 di tembak di bom oleh tentera Israel sendiri.
Semasa serangan pada 7 Oktober 2023, Hamas dan kumpulan militan Palestin yang lain telah menculik 251 orang tebusan dari Israel dan membawa mereka ke Semenanjung Gaza.
Jumlah ini merangkumi golongan lelaki, wanita, kanak-kanak, warga emas, dan warga asing. Nasib kesemua tebusan telah pun diketahui, dengan mayat tebusan terakhir ditemui dan dipulangkan ke Israel pada Januari 2026.
Tiga tahun kemudian Arahan Hannibal masih cuba di jadikan rahsia oleh Zionis Israel.
Tertiba pada 8 September 2026 meledak satu berita yang memeranjat Israel. Akhbar Israel, Haaretz, merupakan pihak pertama yang mendedahkan bahawa Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan, telah menghubungi Perdana Menteri Benjamin Netanyahu secara peribadi kira-kira 10 hari sebelum 7 Oktober bagi memberi amaran kepadanya mengenai satu operasi besar Hamas.
Tidak cukup dengan ini rupa-rupanya Netanyahu sudah diberi tahu rancangan Hamas ini oleh Abbas Kamal Ketua Risikan Mesir. Berita ini telah di lapor oleh portal The Atlantic pada 25 September 2026.
Pada 28 September 2026 The Wall Street Journal juga telah menulis panjang lebar tentang maklumat rahsia dari Mesir ini.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menafikan sekeras-kerasnya laporan tersebut. Dia menyifatkan dakwaan itu sebagai "pembohongan mutlak". Dia menyatakan bahawa tidak bercakap atau bertemu dengan pemimpin-pemimpin berkenaan dalam tempoh tersebut.
Malah Netanyahu mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap wartawan dan penerbitan yang terlibat.
Putar belit Netanyahu ini tidak tamat disini saja. Pada 29 September 2026 agensi media AFP dan AP melaporkan Netanyahu telah melakukan lawatan rahsia ke Abu Dhabi. Pada hari Ahad, 27 September 2026 Netanyahu bertemu dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.
Awalnya Israel menafikan. Akhirnya berita ini disahkan oleh kedua-dua kerajaan.
Tapi Netanyahu menafikan dakwaan dia meminta Sheikh Mohamed menafikan laporan yang menyatakan Sheikh Mohamed telah memberi amaran kepada Israel mengenai serangan Hamas yang bakal berlaku pada tahun 2023.
Tiga tahun sesudah 7 Oktober 2023 bukan ini sahaja yang sedang berlaku. Pada 27 Oktober ini akan berjalan Pilihan Raya Umum di Israel. Ketika ini Netanyahu sedang berhadapan dengan krisis peribadi yang hebat.
Jika dia menang dan menjadi Perdana Menteri sekali lagi – semua kosher dan cantik. Tetapi jika dia kalah maka Netanyahu akan dihadapkan ke mahkamah.
Netanyahu berhadapan kes rasuah yang ditangguhkan. Bulan Oktober ini kes ini akan disambung kembali.
Sama ada Netanyahu menang atau kalah ini bukan persoalan utama. Persoalan hakiki hari ini ialah : Apakah Zionis Israel akan selamat pasca Netanyahu dan pasca Trump.
Ini kerana sesudah 7 Oktober 2023 – tiga tahun dahulu - telah berlaku satu anjakan politik terhadap Zionis Israel di Amerika dan diseluruh dunia. Apa anjakan itu? Sila tunggu sambungan minggu depan. Amin (TT)
TULISAN INI DSIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/886727-kolum-tiga-tahun-sesudah-taufan-al-aqsa









Tiada ulasan:
Catat Ulasan