Rabu, 15 April 2015

NAJIB TIDAK SELAMAT




ANAK RAZAK 
atau

CUCU RAZAK


NAJIB TIDAK

 SELAMAT

Minggu ini diwarung, dirumah, dalam portal media, dalam blog, dalam media sosial dan dialam siber – diseluruh negara rakyat sedang bertanya tiga soalan:
1- Bolehkah Najib Razak menyelamatkan diri?
2- Berapa lama Najib Razak boleh bertahan?
3- Siapa akan ganti Najib Razak?

Tiga soalan ini muncul kerana Mahathir Muhamad yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun telah mengeluarkan dua pertanyaan kepada Najib Razak:
1 – Siapa beri arahan kepada Sirul dan Azilah?
2 – Siapa upah Sirul dan Azilah bunuh Altantuya?

Politik Malaysia menjadi hangat semenjak dua soalan ini terhambur dari mulut Mahathir. Dua soalan dari Yang Amat Mulia Tun ini telah mengoncangkan tiang dan sendi United Malaya National Organisation.

Minggu lalu saya telah memberi latar tentang pembunuhan Altantuya. Melalui Akuan Bersumpah Balasubramaniam rakyat Malaysia diberitahu bahawa Altantuya ini ialah 'penyedap' Najib. Kemudian Minah Kurus a.l.a Ziana Zaian ini 'dihadiahkan' pula kepada Razak Baginda. Dalam tulisan minggu lalu saya telah memunculkan latar belakang pemain utama dalam kes Siapa Beri Arahan Sirul dan Azilah bunuh Altantuya.

Jangan lupa - pembunuhan Altantuya ini bersangkut rapat dengan kes rasuah pembelian kapal selam Scorpene. Ketika jual beli ini dijalankan Najib menjawat Menteri Pertahanan. Skandal kapal selam ini dihebohkan kerana syarikat Peranchis ini telah mengeluarkan berjuta-juta ringgit 'duit saku' agar jual beli ini berjaya.

Justeru kerana duit saku dan Minah Cun inilah yang menjadikan dua soalan dari Mahathir Muhamad bukan bertaraf ledakan C4 tetapi ledakan 'bom nuklear'. Ledakan ini menyebabkan Najib Razak menjadi gelabah dan hilang pedoman. Dan berkemungkinan akan menelan prozac kalau air ketum tidak dtemui.

Amat jelas, ledakan Mahathir telah mempengaruhi alam siber. Saperti biasa media baru telah menyambut ledakan Mahathir ini dengan pelbagai tokok tambah aji-no-moto terutama oleh anak-anak muda yang cekap dengan teknoloji komputer. Reka bentuk, poster dan selebaran tentang Najib yang dikatakan 'takut bini' semakin menjadi-jadi. Dengan teknoloji komputer Najib telah dibomoh dan diubah suai untuk diperlekeh.

Tindakan anak-anak muda ini bukan sesuatu yang memeranjatkan. Sayugia diingatkan bahawa majoriti warga Malaysia TIDAK lagi menyokong United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya. Sebanyak 52% rakyat Malaysia telah mengundi Pakatan Rakyat. Dalam PRU13 yang lalu dari segi fakta Pakatan Rakyat telah menang. Gerombolan parti Ketuanan Melayu hanya mendapat 47% undi rakyat. Gerombolan ini terus berkuasa hanya melalui penipuan yang telah diurus atur oleh SPR.

Sabaik sahaja pertanyaan dari Mahahir diumumkan – Najib Razak mula mendapat tekanan. Najib diminta untuk menjawab pertanyaan dari Yang Amat Mulia Tun. Rakyat satu Malaysia ternanti-nanti akan jawapan Najib. Kutukan memperlekeh Najib muncul silih berganti dalam media sosial kerana rakyat tidak sabar menunggu jawapan. Malah dalam parti United Malays National Organisation sendiri tekanan telah mula datang agar Najib menjawab pertanyaan dari Mahathir.

Sayang bin Pelik - cucu kepada Hairan binte Takjub – muka muka yang mendindingi Najib dari serangan Yang Amat Mulia Tun cukup menyeramkan. Seorang Mamat yang bernama James Masing telah ' mengacukan pistol air' untuk mempertahankan Najib Razak. Ini diikuti pula suara Salleh Kerouk dan Musa Aman. Ketiga-tiga 'tembok Najib ' ini adalah Selipar Jepun dari Sabah dan Sarawak. Dalam kancah politik nasional tidak ada siapa ambil pot suara mereka.

Fakta dan data terkumpul selama ini telah menunjukkan dengan jelas akan perangai Najib Razak. Dalam banyak persoalan politik negara yang amat penting Najib Razak menjadi batu. Tidak berkata apa-apa. Tetapi dalam kes Altantuya ini mustahil Najib dapat membatu. Satu dunia tahu bahawa Altantuya ini adalah bekas ' penyedap ' Najib yang terlibat dalam jual beli Scorpene. Malah di Paris kes Najib masih lagi dalam siasatan. Akhbar dunia terus tertarik dengan kes sex, rasuah dan pembunuhan.


Satu minggu lebih sesudah Mahathir bertanya, barulah Najib menjawab. Jawapan Najib diatur susun oleh stesen TV3 - stesen milik gerombolan Ketuanan Melayu sendiri. Belum pun terhurai jawapan Najib – satu Malaysia telah heboh memperlekehkan temubual ini. Ini kerana temu bula ini diumumkan sebagai rakaman bukan siaran langsung.

Soalan dan jawapan Najib ini telah diatur dan disusun lebih awal. Ini memualkan anak anak muda. Dengan serta merta perbandingan telah dibuat bagaimana Dolah Badawi yang pernah diserang Mahathir telah ditemubual secara 'live' di stesen TV. Tidak cukup dengan 'kutukan' ini kumpulan yang mahu Najib mengundur telah membocorkan berita bahawa ' temu bual' ini sengaja dirancang untuk memperlihatkan Najib Razak sebagai sosok bodoh. Projek 'temu bual bodoh' ini 'diangiankan' sebagai dirancang khas oleh kumpulan yang menyokong bakal pengganti Najib. Najib terperangkap - tak jawab salah - sudah jawab dilihat bodoh pulak.

Lalu timbul persoalan hakiki: Selamatkah Najib Razak?

Secara hitam puteh saya merakamkan disini bahawa hari hari akhir untuk Najib semakin hampir. Tali gantung semakin merapati Najib. Saya sedar ada kumpulan dalam Pakatan Rakyat mahu Najib terus menjadi PM. Najib memiliki banyak skandal. Najib memiliki Rosmah yang kini sedang menjadi beban yang amat berat untuk United Malays National Organisation. Najib dan Rosmah senang untuk diserang dalam PRU14.

Biar saya katakan disini secara terbuka. PRU14 ini pun - dengan Najib atau tanpa Najib tetap akan dimenangi oleh United Malays National Organisation. Pilihanraya ini tidak ada sangkut paut dengan siapa memimpin parti Ketuanan Melayu. Ini kerana yang dilawan oleh Pakatan Rakyat bukan parti United Malaya National Organisation tetapi SPR dan lembaga-lembaga daulah yang menjadi alat untuk mempertahankan kuasa yang sedia ada. Justeru Najib atau Rosmah BUKAN agenda dalam PRU14.

Perebutan kuasa politik antara Najib dan Mahathir inilah yang akan membawa keuntungan kepada Pakatan Rakyat. Bila United Malays National Organisation beramok sesama sendiri inilah yang membawa laba politik.

Justeru, Najib jelas dilihat TIDAK selamat kerana Muhyiddin Yassin , Zahid Hamidi , Shafie Afdal dan Hishammuddin Hussein – tidak keras menangkis serangan Mahathir Muhamad. Empat watak ini adalah watak utama dalam struktur United Malays National Organisation. Shafie Afdal terus terkunci mulutnya. Muhyiddin dan Zahid ada bersuara – saperti suara dalam tandas – bersuara untuk memberihau bahawa ' ada orang didalam' – tidak lebih dari itu.


Paling memeranjatkan ialah sikap sepupu Najib sendiri – Hiahammuddin Hussein. Menteri Petahanan ini dikatakan menjadi 'calon impian Najib' jika Najib berundur. Nampaknya mimpi dan harapan Najib ini tinggal kosong. Sepupu Najib ini amat malas bersuara. Malah tidak diketahui sama ada Mamat ini lalang atau batang pisang.

Suara-suara lain - Tengku Adnan, Shahidan, Shahrizat – hanyalah suara latar yang tidak akan mengubah apa-apa. Suara-suara ini hanya tinggi bunyinya sadikit dari suara sokongan dari Mat Ezam, Lokman Adam, Roslan Kassim atau Zahid Mat Arif.

Saya bagitu yakin Najib akan diundurkan. Gerakan #KitaLawan telah memberikan tamparan yang kuat terhadap Najib. Hampir setiap petang Sabtu – selama dua bulan - anak muda telah turun berdemo di Sogo menuntut Najib dan Rosmah berundur. Demo #KitaLawan ini telah mempengaruhi orang ramai untuk menerima hakikat bahawa Najib Razak wajib diundurkan. Terbukti anak muda #KitaLawan telah lebih awal membuka gelangang memecah ruyung menolak Najib lebih awal dari Mahathir Muhamad.

Jangan silap baca dan jangan terlepas pandang. Demo #KitaLawan ini juga telah mempengaruhi media luar negara. Kini media luar negara telah mengambil sikap bahawa Najib bin Razak ini adalah pemimpin yang amat lemah. Najib pernah berjanji untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948. 

Kini bukan sahaja Najib mungkir janji malah membawa Malaysia ke zaman yang amat gelap dengan pelbagai akta-akta baru yang lebih zalim dari ISA.

Akhirnya bukti soheh Najib akan diundurkan muncul pada 11 April 2015 dalam betuk satu tulisan dalam majalah The Economist. Ini tulisan dalam bahasa Inggeris sama saperti nama parti Ketuanan Melayu. Biar saya terangkan apa dia majalah ini dan apa peranan The Economist ini.

Majalah The Economist beribu pejabat di London. Majalah ini adalah majalah yang mewakili kepentingan kaum pemodal Anglo-Amerika. Majalah ini memberi garis politik kepada kaum pemodal antarabangsa tentang kedudukan dan politik negara-negara dalam dunia ini. Peranan majalah ialah memberi nasehat kepada kaum pemodal dimana pelaburan mereka selamat. Di negara mana suasana politikanya baik untuk meraih keuntugan maksima. Parti politik mana yang perlu disokong dan parti mana yang wajib dilawan kerana menentang kepentingan pemodal.

Penganut Hindu ada kitab Bhagavad Gita, penganut Yahudi ada kitab Taurat, penganut Kristian ada kitab Injil dan penganut Islam ada kitab Quran – kaum pemodal Anglo-Amerika ada kitab The Economist. Hakikatnya The Economist ini adalah majalah rukun iman kaum kapitalis.

Ada kumpulan atau ajen-ajen risikan ekonomi yang menjalankan kerja secara rahsia untuk memandu kaum pemodal Anglo-Amerika cara berpolitik untuk membuat untung. Ini kerja sulit bawah tanah. The Economist membuat juga kerja tertutup dan kerja terbuka. Wartawan majalah ini mungkin wartawan profesional atau mungkin ajen dari syarikat multinasional. Ini kekuatan majalah ini.

Justeru – minggu lepas The Economist telah mengakhiri artikle itu dengan ayat : “It is time to call Najib out”.


Maka saya amat yakin seruan itu adalah satu pedoman untuk kaum pemodal Anglo-Amerika. Seruan ini memberitahu bahawa masanya telah sampai untuk parti United Malays National Organisation mencari pemimpin yang baru. (TT)


NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa yang ingin melanggan
akhbar minngun ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45



-----------------

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

YAMTun

Tanpa Nama berkata...

gambar amat sempoi.........
kah..kah...kah.....

Tanpa Nama berkata...

The Economist ini adalah majalah rukun iman kaum kapitalis.kah...kah...kah...

TT buat lawak hari Rabu.kah...kah...kah...

Suara dalam tandas...kah...kah...kah...

Bagaimana pula suara takut bini?kah...kah...kah...