Selasa, 16 Jun 2015

BURUH ASING - LUKAH BUAT DUIT






URUSAN KERJA ASING DISWASTAKAN KEPADA BESTINET MILIK UMNO
3 SOALAN YANG AHMAD ZAHID 
BELUM JAWAB SEJAK JAN 2015 

Saya mengecam keputusan terburu-buru Kementerian Dalam Negeri yang menghidupkan semula Sistem Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS). Semua kaunter imigresen hanya akan dibuka dalam tempoh peralihan selama 15 hari dan akan ditutup sepenuhnya pada 1 Julai 2015.

Mengimbas kembali, FWCMS (http://www.fwcms.com.my/) yang diusahakan oleh Bestinet Sdn. Bhd. (BESTINET), mewajibkan semua pemeriksaan kesihatan pekerja-pekerja asing di negara sumber dan permohonan Visa Dengan Rujukan (VDR) tidak boleh diuruskan di kaunter Jabatan Imigresen, sebaliknya perlu dilakukan sepenuhnya secara atas talian.

Selain itu, semua pusat pemeriksaan kesihatan di negara sumber pekerja-pekerja asing juga wajib menggunakan sistem BESTINET. Ini telah mencetuskan ketegangan dengan agensi tenaga kerja serta kementerian negara Nepal apabila mereka diwajibkan untuk mengguna sistem Bio-Medical mulai 15 Jan 2015.[1] Agensi-agensi tempatan di negara sumber telah mengesahkan bahawa untuk kes Filipina, pekerja ataupun ejen pengambilan pekerja perlu membayar USD15 (RM54) bagi tujuan memuatnaik maklumat kesihatan pekerja asing.[2]

BESTINET bukan saja akan mengaut keuntungan besar melalui penguasaan monopoli eVDR dan Bio-Metric, tetapi juga bakal meningkatkan kos pengambilan pekerja asing dan apabila penambahan kos ini tidak dipantau, ianya akan mendedahkan pekerja-pekerja asing kepada risiko eksploitasi dan pemerdagangan manusia.

Maklumat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan bahawa BESTINET merupakan sebuah syarikat RM2 sehingga tahun 2013, tidak menghantar Laporan Akaun sejak tahun 2010 selama 4 tahun (yang pastinya telah melanggar Akta Syarikat 1965), dan diklasifikasikan sebagai syarikat ‘Dormant’.

Antara pengarah penting Bestinet Sdn. Bhd. adalah Tan Sri Azmi bin Khalid yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO sekarang dan pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri (1999), Menteri Pembangunan Luar Bandar (1999-2004), Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri (2004-2006), Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (2006-2008) dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Malaysia (2008-2013).

Kami terkilan dengan penglibatan bekas Menteri KDN UMNO/BN dalam syarikat BESTINET yang membangunkan sistem FWCMS untuk kementerian yang sama. Ini memberikan gambaran wujudnya percanggahan kepentingan (conflict of interest) dan seolah-olah projek ini dianugerahkan atas hubungan dan rundingan dalaman.

Kami juga berasa dukacita dengan siri penswastaan dan kotrak monopoli yang berlaku ke atas peranan dan fungsi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Menteri Dalam Negeri  Ahmad Zahid Hamidi, bermula dengan MyEG, dan sekarang BESTINET.

Apabila isu ini dibangkitkan pada bulan Januari 2015, Ahmad Zahid elak daripada menjawab persoalan dan keraguan rakyat. Sekarang Ahmad Zahid tidak boleh lagi elak dan wajib menjawab 3 soalan berikut:

1.     Bilakah sistem FWCMS telah lulus pembuktian konsepnya (Proof-of-Concept) dan mendapat kelulusan kabinet?

2.     Mengapakah menganugerahkan projek tersebut kepada BestiNet Sdn. Bhd yang sebelum ini merupakan Syarikat RM2 dan tidak mempunyai apa-apa track record pembangunan sistem atas talian?

3.     Adakah kontrak tersebut dianugerahkan melalui tender terbuka, dan apakah peranan Tan Sri Azmi dalam urusniaga tersebut?

Kami menetapkan pendirian KEADILAN bahawa maklumat yang diuruskan oleh sistem tersebut melibatkan maklumat sensitif yang bakal membawa risiko kepada keselamatan dan kedaulatan negara dan TIDAK HARUS disumberluarkan kepada syarikat swasta. Kami menggesa penjelasan langsung daripada Ahmad Zahid sebelum kami dedahkan lagi maklumat lanjut mengenai projek tersebut. 

YB Lee Chean Chung
ADUN Semambu
Ketua Penerangan AMK Pusat
012-9540498


---------------------

Tiada ulasan: