Rabu, 29 Mac 2023

HADI DAN TRUMP


HADI DAN TRUMP


Donald Trump  menjadi Presiden Amerika yang ke 45 pada  20 Januari 2017. Hadi Awang pernah menjadi  Menteri Besar Terengganu. Hadi angkat sumpah pada  2 Disember  1999 untuk menerima jawatan Menteri Besar Terengganu ke 11.

Dua sosok ini bukan kecik anak. Donald Trump dan Hadi Awang  memiliki  pengaruh. Satu di Amerika dan satu di Malaysia.

Dua sosok ini adalah contoh pemimpin negara  yang memakai sistem   elektoral politik dalam budaya liberal demokrasi hari ini.

Trump dan Hadi mewakili garis politik kanan. Ketika tulisan ini digarap garis politik kanan sedang mengampuh. Satelah tamatnya Perang  Dingin jelas kelihatan garis kanan makin menyerlah.

Ombak kanan ini bukan sahaja di Kedah, Perlis, Kelantan atau Terengganu  atau di Malaysia malah garis ini sedang merebak ke seluruh dunia.

Di Perancis   ada parti Nasional Front. Di German ada parti AFD – Alternative For German. Di United Kingdom parti kanan Konservatif kini berkuasa.  Garis kanan parti ini menjayakan  Brexit : di mana  UK keluar dari Kesatuan Eropah. 

Satu contoh terbaik kejayaan garis kanan ini  ialah kemenangan Brothers of Italy yang  melantik Georgia Meloni  wanita pertama pada Oktober 2022 sebagai Perdana Menteri Itali.

 Dalam kerajaan campuran  Meloni ada parti  berfahaman lebih kanan – saki baki dari Parti Fasis Mussolini 


Fasisma adalah fahaman kanan yang ekstrem. Fasis bermakna hanya satu parti  yang memandu daulah.  Negara fasis menolak  konsep kepelbagaian dan  menafikan wujudiah masyarakat majmuk.

Hampir kesemua parti  garis kanan ini memiliki dasar-dasar yang sama atau hampir-hampir sama.

Ciri utama garis  kanan dan ideologi induk kaum kanan ialah anti Sosialis dan anti Komunis Ini tanda awal untuk mengenal parti atau individu itu  anti-kaum tertindas , pro kaum kapitalis dan menyokong kaum pemodal.

Hadi di  Malaysia melalui Parti Islam membawa garis kanan yang amat menonjol.  Sebagai parti yang berasaskan agama ianya menolak fikiran pendapat dan ilmu kajian  dari manusia.

Justeru Parti Islam PAS  menolak sekular.  Anti-sekular menjadi rukun perjuangan. Melawan  sekular  menjadi  garis perjuangan parti. 

Sekular adalah pandangan dan pendapat yang lahir dari fikrah manusia bukan dari langit , dari wahyu atau dari mimpi.

Sekular ini menjadi musuh  pertama Hadi. Kempen anti sekular ini  di bawa ke hulu ke hilir oleh Hadi dan PAS.

Parti politik, NGO atau individu yang  sekular ini digambarkan sebagai menolak agama. Menolak agama  kalau di Malaysia ini khususnya untuk orang  Melayu memberi makna menolak Islam. Menolak Islam memberi makna murtad.

Darah Si Murtad dan ajaran Islam yang dianuti oleh PAS dan Hadi adalah halal.

Sebenarnya  pemahaman orang  ramai terhadap sekular juga tidak padu dan tuntas.   Di Malaysia  sekular di hebohkan dan di propagandakan sebagai anti agama justeru anti Islam.

Walhal  dalam pentadbiran  negara-negara  di dunia hari ini sekular hanya satu-satu garis pentadbiran yang teratur dan meyakinkan.  Sekularisma  sentiasa wujud  bersama masyarakat plural atau pluralisma.

Justeru plural menjadi musuh  ke dua yang di tentang oleh Hadi dan Parti Islam Pas.

Plural membawa erti lebih dari satu. Masyarakat plural  ialah masyarakat yang pelbagai bangsa dan suku kaum yang hidup berdampingan tetapi berlainan dalam satu entiti politik.

Malaysia adalah contoh terbaik negara plural dengan masyarakat majmuk. Mustahil Hadi Awang tidak mengenal  Guan Eng sebagai China dan  Ramasamy sebagai India. Manakala  Temenggung  Jugah Anak Bariang  adalah Dayak. Dan Batin Lintang adalah Sakai.

Nama-nama ini adalah dari nasion yang berlainan –  suku kaum  yang berbeza-beza tapi semuanya warga Malaysia.

Perkara ketiga yang dijadikan musuh oleh Parti Islam PAS ialah liberalisma. Faham liberal ini menjadi musuh ketat Hadi kerana liberal ini  wujud secara tersendiri. Liberalisma wujud secara organik  dalam masyarakat yang sekular dan majmuk.

Liberal adalah fahaman – cara berfikir. Cara memiliki pandangan dunia. Liberal ialah kesediaan menerima dan menghormati pandangan, budaya, tingkah laku dan  pandangan orang lain walau pun pandangan itu berbeza dari  pandangan yang kita anuti.

Fahaman liberal   terbuka dan bersedia menerima pandangan dan pendapat baru.

Dalam politik kaum liberal memiliki falsafah yang memperkasa hak asasi kebebasan  individu,  memperkasa demokrasi dan menyokong perniagaan bebas.

Hadi dan Parti Islam PAS menentang liberal. Ini kerana fahaman liberal memiliki pandangan terbuka. Pandangan dunia kuam liberal melihat dunia kita ini pelbagai rencah dan rencam.

Dunia yang wujud hari ini ada pelbagai gaya hidup. Ada  pelbagai pandangan dunia. Justeru ada pelbagai pandangan agama. 

Semua agama adalah sama. Semua agama mendidik penganut untuk membuat kebaikan dan kebajikan di atas muka bumi ini.

Kaum liberal mempercayai semua agama. Kaum liberal menghormati semua agama. Kaum liberal menghormati individu yang beragama dan juga yang tidak percaya kepada ajaran apa-apa agama. 

Malah Sang Liberal itu sendiri mungkin beragama dan mungkin tidak beragama.

Perkara ke empat yang menjadi musuh hadi ialah orientasi seksual. Atau dengan apa yang di kenali sebagai LGBT – Lesbian, Gay, Bisexul dan Transgender.

Orientasi seksual dan gaya hidup ini menjadi musuh ketat Hadi dan Parti Islam PAS.

Homoseksual ialah keberahian lelaki dengan lelaki. Lesbian  ialah keberahian perempuan dengan perempuan. Biseksual ialah keberahian terhadap lelaki dan perempuan. 

Manakala Transgender merujuk individu yang mungkin bertindak, berfikir, mempunyai perasaan atau keterampilan yang berbeza daripada jantina lahir atau biologi mereka.

Justeru kita membaca dan  melihat bagaimana Sajat  seorang Mak Nyah di bantai, diserang , ditangkap hingga Si Sajat ini melarikan diri ke Australia.

Ada satu lagi ciri parti politik kanan yang amat jelas. Pandangan ini di miliki oleh semua parti politik kanan dan penganut ideologi kanan.

Ideologi kanan menolak pluralisma justeru menolak Yang Lain atau The Other.  Yang  lain dari diri mereka dianggap musuh dan wajib dilawan.

Yang lain ini bukan orang kita. Yang lain bukan suku sakat kita. Yang lain tidak sama dengan kita. Kita dengan  yang lain tidak mungkin dapat persamaan.

Kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan tidak wujud  dalam istilah politik kanan.

Dalam konteks  Malaysia yang lain ini adalah  China dan India.  Dalam  politik Malaysia  yang lain yang dijadikan musuh ialah Parti DAP dan MCA dan MIC.

Dari persejarahan kumpulan atau parti-parti politik ini  ditubuhkan oleh  orang  China  dan India. 

Dalam mengolah persetujuan untuk mendapat undi dan sokongan parti politik memerlukan musuh. 

Laungan dan slogan  dan gedang perang wajib ditujukan kepada musuh yang telah di kenali. Mengenal musuh dan kemudian menjadikan musuh itu sasaran politik adalah taktik  perang untuk semua parti politik.

Kita lihat bagaimana  Trump berjaya membawa  konsep MAGA – Make America Great Again. Slogan dan laungan dari Trump ini menusuk kalbu warga Amerika. 

Setiap kali di akhir ucapan Trump akan keluar ayat : God bless  Amerika – Tuhan merahmati Amerika. 

Ini akan disambut dengan  laungan USA... USA.. USA...’ Ini slogan untuk memberi ingatan bahawa satu ketika dulu United States of America  adalah negara terunggul dalam dunia.

Manakala setiap kali  Hadi mengakhiri ucapan atau ada kata-kata Hadi   yang dipersetujui  dan sedap didengar ianya akan disambut dengan laungan takbir.

Kita membaca dan melihat bagaimana Trump mahu mendirikan pagar dan tembok batu untuk menghalang kemasukan pendatang haram ke Amerika.

Kita juga membaca dan melihat baru-baru ini  seorang Pak Cik Melayu memuat turun klip dalam media sosial bagaimana dia melihat Yang Lain sedang  mengambil alih Pasar  Borong Selayang.

Kes warga  Rohingya menakluk Pasar Borong Selayang ini telah menjadi  contoh terbaik untuk melawan  Yang Lain. 

Dari media sosial ini kita dipaparkan kemarahan Pak Cik  yang jelas dilihat Melayu Islamnya. Pak Cik  dari  berkempen anti- pendatang di Selayang kini beralih pula  ke Kepala Batas.

Pak Cik ini memilih  Rohingya. Ini kumpulan Yang Lain yang paling lemah untuk ditibai. Apakah Pak Cik ini satu masa nanti akan  membuat klip yang sama di Bukit Bintang dimana  semua kedai, gedung membeli belah adalah milik China.

Apa yang tersirat dan tersurat dalam klip  media sosial Pak Cik Melayu Islam itu ialah kebencian terhadap pendatang asing.

Maju mara  garis politik kanan ini  adalah manifestasi kegagalan  elektoral politik dalam budaya liberal demokrasi.

Sekular, liberal, plural  dan LGBT akan terus menjadi agenda politik parti Islam PAS.   Serangan PAS terhadap PKR dan Pakatan Harapan  berasakan empat perkara ini sedang  mengampuh.

Laungan God bless  Amerika dan Takbir di Malaysia  berpunca dari budaya yang sama.

Sekular, liberal, plural dan LGBT adalah empat peluru berpandu menjadikan Pakatan Harapan dalam keadaan terdesak. Malah Pakatan dilihat gelabah tak tentu hala bila berhadapan dengan empat  peluru berpandu dari  Hadi ini.

Apa jawapan Anwar Ibrahim terhadap  serangan Hadi Awang?

Anwar dan Hadi dari satu kabilah. Anwar dari ABIM Pusat manakala Hadi dari ABIM Terengganu. Dua sosok ini amat kenal mengenal.

Donald Trump yakin dia akan menang dalam pemilihan 2024.  Hadi Awang juga yakin dia akan menang dalam PRN yang akan sampai tidak lama lagi.

Takbir dan God Bless America  sedang mengampuh. 

 Apakah garis kanan ini akan menetaskan  kerajaan fasis seperti kerajaan Hitler di German atau kerajaan Mussolini di Itali atau kerajaan Tojo di Jepun. 

Apakah garis Islam kanan yang dibawa oleh Hadi  ini akan menuju ke kerajaan  Taliban seperti di Afghanistan. Tunggu minggu hadapan dan lihat apa terjadi. Amin  (TT)

TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIAN INSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/435271


Tiada ulasan: