Jumaat, 8 Disember 2023

EROPAH DAN PENGARUH ZIONIS


EROPAH DAN 

PENGARUH ZIONIS

 
Pada tahun 1993 saya telah pergi merayau ke Tanah Besar Eropah. Ketika itu saya warga pelarian politik. Awalnya  saya  menetap di Belgium kemudian berpindah ke London. Saya  telah berkali-kali merayau di Eropah Barat. Kali ini saya ingin melihat Eropah Timur satelah keruntuhan Soviet Union pada tahun 1989. 

Sasaran saya ialah Republik Czech, Poland dan Slovakia. Hampir sebulan saya merayau di Republik  Czech dan Slovakia. Kemudian saya naik kereta api melintas ke Poland. Bandar yang saya tuju ialah Krakow.

Saya ingat lagi pagi itu sesampai saya di luar stesen saya telah didatangi oleh beberapa pemandu  teksi dan pemandu pelancong.
‘ Sir... Auschwitz.... my car...visit  Auschwitz....’

Saya tahu apa ada di Auschwitz. Saya telah membaca tentangnya bekali-kali dari akhbar   kota London.

‘ What is there .... in Auschwitz....’ Saya membuat pertanyaan bodoh.

‘ Jews concentration camp... museum ...not far... one hour by my car... day trip...’ Pemandu pelancong anak muda warga Poland mengajak saya ke Auschwitz melawat bekas kem tahanan Yahudi. 

‘ Are they still burning the Jews...’ Saya buat lawak bodoh sambil menapak menuju ke alamat hostel  tempat menginap.

‘ Second world war... not today...’  Pemandu pelancong pasti menganggap orang kulit hitam ini bebal tidak tahu sejarah.

Saya tahu apa yang berlaku di Eropah dalam Perang Dunia Ke Dua. Hitler dan Nazi di German membantai Yahudi. Auschwitz adalah salah satu dari kem tahanan Yahudi.

 Pengetahuan saya tentang Yahudi, Zionis, Nazi  atau Hitler pada ketika itu – sebelum Lebai Google wujud -  tidak mendalam. Tapi mencukupi untuk menjadi latar memahami politik Eropah.

Malah di Jelebu ketika dalam sekolah menengah lagi saya telah  menuntun banyak filem “Perang German “.  Dari wayang yang saya tuntun saya berupaya membezakan topi besi German dan topi besi Amerika.

Hebat sungguh - dari zaman sekolah rendah  lagi saya  Sakai Biduanda   budak kampung dari Jelebu  boleh mengenal  topi askar jahat dengan topi askar baik. Ilmu pengetahuan ini datang dari Panggung Ruby. Filem  ‘ Perang  German “ mengajar saya.

Saya tidak sedar bahawa filem perang  yang saya tuntun adalah seni halus untuk mengolah persetujuan saya bahawa Amerika baik dan German jahat.

Antara baik dan jahat ini yang menjadi mangsa ialah Yahudi. Bani Israel ini terus menerus digambarkan dalam wayang ini sebagai mangsa Nazi. 

Malah saya mula  berkenalan dengan Yahudi pun melalui Panggung Ruby. Saya menuntun filem The Ten Commandments  - Sepuluh Rukun ( 1956 ). Ini  ketika saya dalam darjah dua - 1958. 

Satu  rombongan dari Sekolah Umum Ulu Klawang telah pergi ke Kuala Klawang untuk menuntun filem  Sepuluh Rukun. Towkay panggung datang dari sekolah ke sekolah menjual tiket berharga 40 sen.

Filem ini kesah Nabi Musa  yang membawa Bani Israel lari  dari Mesir ke Palestin. Mustahil saya akan melupakan adegan tongkat Nabi Musa yang membelah laut.

Saya ingat lagi watak jahat Firaun berkepala botak dimainkan oleh Yul Brynner (1920-1985).  Watak baik Nabi Musa seorang  Yahudi dimainkan oleh Charlton Heston  (1923 -2008)

Tahun 1986 saya berhujung minggu di rumah kenalan di Durtmund kota di bahagian selatan German yang bersempadan dengan Belanda dan Belgium.  Dari dalam  kereta api saya masih dapat melihat ‘gigi naga ‘ dipasang di wilayah sempadan. Gigi naga ini ialah busut-busut kecil berbucu tajam dari simen dan besi. Busut  batu didirikan di sempadan untuk menghalang kereta kebal masuk ke wilayah German dengan mudah.
Kawan saya menerangkan bahawa  setiap malam Ahad satu stesen TV German akan menayangkan filem Perang  Dunia Ke Dua  dari Hollywood. Ini arahan dari  kerajaan German. Ini sebahagian dari Perjanjian Damai Perang Dunia Ke Dua.

Mengikut surah kawan saya pada jam 9 Ahad malam air akan berkurangan diseluruh German. Ini kerana  ketika  filem perang ini  ditayangkan  di TV akan ada pengiklanan. Ketika iklan di tayang begitu ramai  warga German yang menuntun akan ke tandas sebentar. Ini menjadikan air kurang di pili kerana disedut ke tandas.

Bayangkan rakyat German dipaksa secara halus menuntun kejahatan  Datuk dan Bapak mereka dalam Perang Dunia Ke Dua.

Licik dan bijak jarum halus Zionis menjahit warga Eropah.  

Hari ini pemimpin Eropah seperti Macron, dari Perancis, Olaf  Scholz dari German, Sunak dari United Kingdom – telah bersetia kawan dengan Israel.  Ketiga pemimpin ini telah bertandang ke Tel Aviv sesudah 7 Oktober 2023. Mereka  berjumpa Perdana Menteri Netanyahu untuk menyatakan sokongan  mereka terhadap tindakan Israel.

Tiga negara ini mengecap Hamas sebagai gerakan pengganas.  Ini sama seperti dasar yang di pegang oleh Amerika Sereket.

Simpati pemimpin Eropah dan juga warga Eropah Barat dan Timur ini ada sejarahnya. Pada satu ketika dahulu – semenjak zaman berzaman – semenjak zaman Nabi Musa lagi Bani Israel ini tidak memilki negara. Suku kaum Yahudi ini tinggal menetap terpencar-pencar dalam negara-negara Arab.

Majoriti Bani Israel ini menetap aman damai di Palestin bersama dengan Arab Palestin. Islam dan Yahudi tidak bermasalah.

Wajib di ketahui di sini bahawa dari segi salasilah Arab  dan Yahudi  semuanya   dari suku kaum Semitik.

Semitik adalah juga bahasa  — termasuk Ibrani atau Hebrew dan Arab — serta orang yang secara tradisinya menggunakan bahasa ini. Semit berakar umbi dari nama Alkitab Shem, anak  Nabi Nuh, yang secara tradisinya dianggap sebagai nenek moyang  orang Yahudi dan Arab.

Maknanya Arab dan Yahudi adalah Semit. Sama seperti Orang Kelantan dengan Orang Jawa atau dengan Orang  Banjar – asal usul yang sama. Mereka semua  bani Melayu.

Justeru menuduh Arab sebagai anti-Semit adalah perkara yang tidak masuk  akal. Ini sama seperti Orang Jelebu benci dengan Orang  Minang.

Permusuhan terhadap orang Yahudi mungkin bermula hampir sejauh sejarah Yahudi. Dalam empayar purba Babylonia, Yunani, dan Rom, orang Yahudi—yang berasal dari kerajaan kuno Yudea—sering dikritik dan dianiaya. Ini kerana usaha mereka untuk kekal sebagai kumpulan budaya yang berasingan daripada menerima adat resam agama dan berasimilasi dengan Bumiputera.

Dengan kebangkitan agama Kristian, anti-Semitisme merebak ke seluruh Eropah. Orang Kristian awal memburukkan agama Yahudi dalam usaha untuk mendapatkan lebih ramai pemeluk agama Kristian. Mereka menuduh orang Yahudi melakukan perbuatan aneh seperti “minum darah”—penculikan dan pembunuhan kanak-kanak Kristian untuk menggunakan darah mereka untuk membuat roti dalam upacara sembahyang Paskah.

Sikap keagamaan ini dicerminkan dalam dasar ekonomi, sosial dan politik anti-Yahudi yang meresap ke Zaman Pertengahan Eropah.

Bani Yahudi menjadi imigran awal di Eropah. Dari  Palestin mereka merayau-rayau dan menetap di Eropah. Mereka enggan menerima budaya  di mana bumi dipijak di situ langit di junjung.  Justeru diskriminasi terhadap Yahudi di Eropah dijalankan oleh daulah. 

Bani Yahudi tidak dibenarkan memilik tanah. Bani Yahudi tidak bertani. Justeru  untuk mencari makan mereka berniaga dan berjual beli.

Sejarah menunjukkan bagaimana negara Kristian yang mengikut ajaran agama Kristian melarang riba.  Bani Yahudi tidak melarang riba. Maka mereka menjadi pemula sistem  pinjam meminjam duit. Justeru hingga hari ini Yahudi mendominasi sistem perniagaan mata wang, pinjam meminjam duit dan perniagaan bank.

Jelas kalau dikaji dan di selidiki akan di temui bahawa ekonomi adalah punca kebencian Bani Lain terhadap Bani Israel.

Ekonomi adalah punca  membuka pentas perang. Perebutan punca-punca ekonomi  menjadikan Si Polan A bergaduh dengan Si Polan B.  Untuk mendapat sokongan Si Polan A akan menggunakan kaum dan agama.  

Dari pergaduhan perebutan ekonomi individu menjadi pergaduhan negara. 

German marah pada Perancis kerana  kawasan subur Lembah Alsace - Lorriane dimiliki oleh Perancis. Perebutan punca ekonomi inilah yang membawa perang.

Bani Yahudi juga di benci kerana mereka mendominasi ekonomi. Maka dari perebutan ekonomi  inilah yang menjadikan Parti Nazi popular.  Sebelum Perang Dunia Ke Dua pecah Bani Yahudi mendominasi ekonomi German. Ini asas  kebencian Bani German terhadap Bani Yahudi.

Hitler ( 1889-1945) menang pilihan raya tahun 1932. Hitler berjaya menjadi  Canselor dan telah menjadi kan Yahudi musuh utama dalam kempen politik. Nasionalisma  dan kesedaran Bani German dibakar dan di olah oleh Parti Nazi. 

Bani  Yahudi dibantai untuk menyelamatkan ekonomi  warga  German dari terus di monopoli oleh Bani Yahudi.

Kita  tahu – kita  telah  membaca – kita telah menuntun filem “Perang German “. Kita tahu apa yang berlaku. Kita tidak perlu melawat muzium Auschwitz di Poland   untuk memahami pembunuhan ramai-ramai yang dilakukan oleh Hitler.

Dunia berkenalan dengan perkataan genocide. Perkataan ini berasal usul dari perkataan Yunani kuno – genos : bangsa atau suku dan cide dari perkataan Latin membawa makna bunuh. Genocide adalah pembunuhan suku kaum.

Dunia juga menerima  konsep Holocaust. Perkataan Holocaust berasal daripada holokauston  bahasa Yunani. Ini dari, terjemahan perkataan Hebrew  ʿolah, bermaksud korban yang dibakar untuk  dipersembahkan sepenuhnya kepada Tuhan.

Pemahaman kita tentang Holocaust hari ini adalah : penyembelihan besar-besaran orang awam Eropah dan terutamanya Yahudi oleh Nazi semasa Perang Dunia Ke Dua.

Dari filem, dari muzium, dari buku, dari gambar, dari perbualan harian dalam dunia hari ini kita akan mengakui bahawa Bani Yahudi telah menjadi mangsa. Mereka di diskriminasi, mereka di injak-injak, mereka dari zaman kuno hingga sekarang dibenci.

Wayang Perang German memperlihatkan naratif bahawa  Yahudi menjadi mangsa dan beramai-ramai dibunuh dengan gas beracun. . Di umumkan, di hebohkan kepada dunia bahawa dalam Perang Dunia Ke Dua  seramai 6 juta Yahudi telah di bunuh dengan gas oleh Hitler.

Justeru Holocaust dan genocide adalah milik dan monopoli Bani Yahudi.

Betulkah 6 juta Bani Yahudi mati dalam Perang Dunia Ke Dua ?  Jumlah ini  tidak saya pertikai walau pun ada kumpulan pengkaji yang mempertikai jumlah ini.

Angka berapa ramai pun Yahudi mati kerana gas tidak perlu dipertikai. Yang perlu ialah kita berterima kasih kepada Lebai Google kerana hari ini naratif Bani Yahudi sebagai mangsa hampir terbarai.  Kewujudan Internet membolehkan kita membebaskan diri kita dari monopoli naratif taburan media  pro Zionis.

Saya berani  memberi tahu disini bahawa dalam Perang Dunia Ke Dua serami 20 juta warga Rusia telah gugur. Negara dan soldadu Rusialah yang paling ramai  berkorban melawan Nazi.

Bagaimana fakta  20 juta warga Rusia gugur tidak di heboh , tidak di jaja ke hulu ke hilir seperti Holocaust?  Pencerahan  minggu hadapan. Amin. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN
JUDGA DALAM PORTAL
THE MALAYSIAN INSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/475323





 




Tiada ulasan: