Ahad, 11 Julai 2021

AL-FATIHAH

 



AL-FATIHAH


Pelakon Benjy meninggal di Medan, kata keluarganya

PELAKON Benjy Ibrahim atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim, anak kepada pelakon Azean Irdawaty, meninggal dunia di sebuah hospital di Medan, Indonesia, pagi tadi.

Benjy, 43, yang sedang menjalani hukuman penjara di Medan atas kesalahan memiliki dadah, dibawa ke hospital kerana mengalami masalah lelah.

“Kakak saya Elza telah menerima panggilan telefon daripada pihak penjara di Medan pagi tadi memberitahu berita yang Benjy tidak dapat bernafas akibat sakit tenat asma lebih kurang pukul 11 pagi waktu Malaysia.

“Dia telah cuba dibawa ke rumah sakit di sana tetapi tidak sempat diselamatkan,” kata adik Benjy, Inessa Irdayanty dalam kenyataannya.

Beliau menjelaskan Benjy telah lama mengalami penyakit berkaitan paru-paru dan telah banyak kali masuk keluar hospital.

“Kami sekeluarga telah mengizinkan pihak penjara di Medan mengebumikan jasad (Benjy) di sana. Urusan pengebumian akan dijalankan esok,” tambahnya.

Media sebelum itu memetik ayah Benjy, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi mengesahkan berita kematian anaknya.

Pada Oktober 2017, mahkamah di Indonesia menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun ke atas Benjy selepas didapati bersalah menyeludup dadah jenis kristal methamphetamine dalam duburnya ketika berkunjung ke Sumatera, pada April sebelumnya.

Benjy ditahan bersama 4.5 gram dadah jenis methamphetamine di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, dekat Medan.

Mahkamah juga mengenakan hukuman denda AS$74,000  atau lebih kurang RM313,000. – 11 Julai, 2021.



Tiada ulasan: