Jumaat, 25 September 2026

GANJA , ROKOK DAN TELEFON BIMBIT


GANJA , ROKOK

DAN TELEFON BIMBIT 


Pada minggu ini kita heboh dengan berita Yasin di bebaskan dari penjara dan tahanan.  Berita ini  adalah  sambungan kesah Yasin yang bermula empat tahun dulu.

Penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman ditangkap oleh pihak polis pada 24 Mac 2022. Dia  ditahan dalam satu serbuan di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Yasin dihadapkan dengan tiga pertuduhan berkaitan dadah termasuk menanam 17 batang  pokok  ganja.

Portal berita RTM pada 2 Ogos 2024 melaporkan  bahawa Yasin dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi. Tuduhan bersangkutan dengan ganja.   

Berita Yasin ini jadi heboh. Sosok ini   seorang penyanyi dari kumpulan Brothers  yang membawa  genre nasyid.

Seleberiti dan ganja pasti jadi heboh.   Amat heboh. Lebih heboh dari Jom Heboh.   Heboh ini    bukan hanya  kerana Yasin menanam ganja dan menghisap ganja. Tapi ada cerita  di belakang pokok ganja.

Kes pokok ganja Yasin ini menjadi bandingan dengan apa yang terjadi kepada kes Anak  Vincent Tan yang juga di tuduh menanam pokok ganja.

Ini berlaku pada tahun 2019 lebih awal dari masa Yasin di tangkap. Pada 10 Februari 2020 Anak Vincent Tan ini  dijatuhkan hukuman yang lebih ringan (bukan hukuman mati atau di rotan  atau penjara seumur hidup) oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, sekali gus membolehkan beliau tidak ditahan di penjara.

Kemudian tahun 1922 anak Vincent Tan ini di bebaskan oleh Peguam Negara yang baru. Mengikut laporan media Sang  Peguam membaca laporan ini sekali lagi.

Sila ambil  perhatian  saya menggunakan nama Anak Vincent Tan kerana nama si Penanam Ganja ini tidak muncul.  Jarang muncul.  Internet yang saya godek juga menggunakan istilah: Anak Vincent Tan.

Justeru gambar si Penanam Ganja ini diapit oleh  Mata-mata ketika dibawa ke mahkamah – seperti  gambar Yasin - tidak saya temui.  

Ayah kepada si Penanam Ganja ini ialah Vincent Tan  seorang Cukong yang berpengaruh dalam badan politik Malaysia.

Justeru  saya tidak hairan malah bersetuju dengan kata-kata dari Yasin bahawa sistem penjara ini bergantung pada wang dan pengaruh. Ada wang ada pengaruh semua boleh.  Semua beres. 


Mustahil warga Malaysia minggu ini tidak mengikuti berita Datuk Seri Najib isteri Datin Seri Rosmah ... oops maaf.. suami  Datin  Seri Najib bekas Perdana Menteri Malaysia di ampunkan.   Amin.

Mustahil  warga emas  enam siri atau warga  tujuh siri  akan terlupa surah Abdullah Ang.

Untuk Gen Zee  mari sini Ambo nak royak : Abdullah Ang merupakan seorang ahli perniagaan terkemuka dan bekas tokoh korporat Malaysia yang menjadi tumpuan skandal besar berkaitan keistimewaan luar biasa di penjara pada tahun 1980-an.

Banduan ini di tahan dalam Penjara Pudu   dan kemudiannya Penjara Kajang. Banduan ini mendapat layanan amat istimewa. Malah ada yang  terserempak dengan Malaon ini di luar penjara. Siang di luar malam masuk penjara.

Malaon ini dilaporkan ada  Keistimewaan Khas: Laporan dan pihak media mendedahkan bahawa sel penjaranya dilengkapi dengan kemudahan mewah, termasuk permaidani, peti sejuk, malah sebuah katil air.

Justeru kesah dan surah ini memperkuatkan lagi  kejujuran dan kebenaran  kata-kata Yasin. 


Dengan serta merta apa yang disuarakan oleh Yasin telah  di nafikan oleh Pihak Penjara.

Jabatan Penjara Malaysia sekeras-kerasnya menafikan dakwaan tersebut, menegaskan bahawa mereka mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dan sentiasa fokus kepada program pemulihan.

Penafian  ini tidak mengejutkan saya. Malah saya akan terkejut  lagi tergamam jika ucapan dan kata-kata Yasin itu tidak di nafikan. 

Penafian keras ini pastilah ada berkait n dengan  Cerita Rakyat yang berangkutan dengan ganja dan dadah yang boleh  di dapati di penjara.

Dalam hal ehwal penjara ini saya merasa saya ada pengalaman. Saya boleh dan berani klim bahawa saya telah memasuki lebih dari 14 buah penjara , lokap  dan tempat tahanan.

Malah saya berani klim saya adalah satu-satunya warga Malaysia keturunan Sakai Biduanda  yang pernah di tahan dalam beberapa lokap dan penjara di luar negara. 

Pertama kali saya di tahan pada September 1974 di lokap  Johor Baru.  Ini bersangkutan dengan kes setinggan Tasek Utara. Kemudian berpindah ke  Penjara Air Molek  untuk tahan reman sebelum di bebaskan dengan jaminan. 

Pengalaman pertama dalam penjara ini tidak menjadikan saya bijak untuk mengenal Siapa dan Apa dalam struktur sistem penjara..


Di  Australia saya juga di tahan. Awalnya di tahan  kerana lebih masa yang dibenarkan oleh visa. Saya di kurung di Pusat Tahana Tullamarine Melbourne. 

Bila saya mengajukan suaka politik pihak berwajib Australia mengalih tuduhan. Bukan dakwaan lebih masa lawatan tapi terlibat dalam demo anti Lee Kuan Yew yang berlaku 4 bulan sebelum saya di tahan.

Satu minggu dalam lokap di Melbourne  , tidak banyak ilmu penjara yang saya pelajari. Ini sama seperti pengalaman saya di tahan di Moscow Rusia. Kesalahan saya melintas  Rusia dalam perjalanan ke Frankfurt  German dengan menggunakan pasport palsu dari Siam.

Bila saya di tahan di Bombay India maka saya belajar banyak perkara.  Duduk dalam lokap  Bombay Police Station  memberi saya kuliah asas untuk mengenal  selok belok penjara.


Bila di hantar ke Arthur Road Prison maka kuliah pengenalan naik  ke taraf ijazah.  Dalam YouTube Arthur Road Prison ini  tersenarai antara 10 buah penjara yang ganas di dunia.

Kadang-kandang saya tersenyum  bangga kerana telah berkuliah dan berijazah dari penjara ini.

Di penjara Arthur Road saya lihat ganja dan alkohol masuk. Ada duit semua jadi. Alkohol dalam tiub basikal dibaling masuk melintasi tembok penjara.

Malah Taiko dan  Kepala Samseng Bombay yang  di tahan di Blok Dua memiliki keistimewaan yang sama seperti yang di miliki oleh Abdullah Ang. Malah Sang Isteri juga boleh bercengkerama  lama. 

Mungkin semua menuduh : Ini India Bro !

Tidak . Ini bukan kerana penjara di India. Ini budaya penjara. Dimana ada kuasa disitu ada rasuah. Ada duit semua beres.
Lagi ketat kuasa lagi tebal rasuah. 

Bila saya di tahan di lokap Jinjang, Dang Wangi dan Jalan Stadium  perkara sama saya perhatikan berlaku.  Ganja dan dadah  lebih senang di temui  dalam lokap dan di Pusat Serenti dari di Brickfeilds.

Kurang yakin dengan apa yang saya tulis ini ?

Jawapannya mudah. Sila cari bekas  residen Puasa Serenti. Sila tanya  pengalaman  dan cara mendapat ganja dan dadah  ketika mereka di tahan.  


Saya  bukan graduan Pusat Serenti. Saya juga mendapat maklumat dan mendengar kuliah  dari kenalan yang berijazah dari Pusat Serenti.

Lu ada sen lu dapat abuk. Lu tak ada sen lu duduk depan besen. Lu ada sen semua pil lu boleh pesan.

Ketika saya di tahan di bawah ISA – saya masih lagi  perokok tegar. Rokok keretek Suria adalah teman rapat saya. Bila di tahan di Bilik Sulit selama dua bulan – saya tidak menghisap. Ini lokap sulit lagi ketat. Duduk sendirian dalam bilik. Cicak, semut dan lipas jadi kawan. Rokok tinggal kenangan. 

Bila saya di hantar ke Kamunting saya  menemui jalan untuk  kembali merokok. Saya berkenalan dengan tahanan dari Acheh.  Dia ditahan dalam Blok 2 dan saya dalam Blok 3. 

Tahanan dari Acheh ini ada jalan untuk mendapat rokok. Bagaimana dia dapat rokok ini saya tidak mahu tahu. Yang penting kami buat janji. Dia akan balingkan  rokok ke Blok  Tiga . Dan saya akan  balingkan bawang dan buah ke Blok Dua. 

Ilmu membaling barang larangan dalam penjara ini saya pelajari dari Arthur Road Prison.

Wajib saya rakamkan disini sebagai fakta sejarah  ketika di tahan di Kamunting selama dua tahun hanya saya Hishamuddin Rais yang tidak ada  telefon bimbit untuk berhubung dengan orang luar. 

Lima tahan ISA yang satu blok dengan saya semua menggunakan telefon bimbit.  Ini fakta  sejarah.

Malah Anwar bin Ibrahim yang ketika itu dalam penjara juga memiliki telefon bimbit. Betul ke? Atau fitnah tohmahan ?

Betul. Bukan fitnah.  Sesudah bebas  dari Kamunting satu petang di Bangsar - Ezam Mat Noor telah menalipon Anwar bin Ibrahim yang ketika  itu dalam penjara. 

Ezam dan saya  ketika  itu berada dalam  Cafe Madam  German.  Ezam telah menghulurkan talipon itu kepada saya. Saya hanya bertanya khabar itu saja.

Jika  Saifuddin Nasution Menteri Dalam Negeri membaca tulisan saya ini yakinlah apa yang di katakan oleh Yasin itu benar , semua benar belaka.

Saifuddin  yang tidak pernah masuk penjara wajib mengetahui  bahawa dalam sistem penjara ini  sapa ada  duit ada pengaruh  semua boleh di paruh. Amin. (TT)


TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI.COM
https://www.malaysiakini.com/news/885669-kolum-ganja-rokok-dan-telefon-bimbit





1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya juga percaya kemungkinan besar planta dan juboq juga dibawa masuk..

kah kah kah