NAJIB DAPAT
PENGAMPUNAN
Minggu ini atau bulan atau lebih tepat lagi satu dekad ini nama Malaysia telah berjaya di hebohkan oleh Datuk Seri Najib Razak. Malah lebih tepat lagi sosok yang bernama Najib ini telah berjaya menghebohkan nama Malaysia ke seluruh dunia.
Pertama dulu Minah cun Altantuya Shaariibuu model penterjemah dari Mongolia telah mati dibunuh oleh dua pegawai polis Malaysia – Azilah dan Sirul.
Pada 17 Oktober 2019 Ketua Inspektor Azilah Hadri telah mengeluarkan Akuan Bersumpah dimana dunia telah diberitahu bahawa Altantuya ini dibunuh atas arahan Najib.
Mengikut Akuan Bersumpah Azilah kerja menjimatkan Altantuya telah dilakukan bersama Sirul Azahar Umar. Mayat Minah Cun ini telah diledakkan dengan bahan letupan C4 dalam hutan Pucak Alam di pinggir Shah Alam.
Azilah dan Sirul di jatuhan hukum mati. Sirul sempat melarikan diri ke Australia. Hukum mati Azilah telah di ganti dengan hukuman 40 tahun penjara dan 12 sebatan.
Hari ini bekas Ketua Inspektor Azilah masih di tahan di Penjara Kajang. Satu Malaysia tertanya-tanya apakah bekas Perdana Menteri Najib ada bertemu dengan Azilah dalam penjara Kajang.
Tidak cukup dengan kes pembunuhan Altantuya Si Najib ini terlibat juga dengan kes 1MDB. Ini kes pencurian moden yang klasik. Kes 1MDB ini telah menonjolkan dan menyemarakkan nama Malaysia ke seluruh dunia. Hingga ke tahun 2026 kes kleptokrasi 1MDB ini masih tercatat sebagai kes Penipuan Terbesar Dunia.
Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dianggap secara meluas oleh pihak berkuasa antarabangsa—termasuk Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ)—sebagai salah satu kes penyelewengan kewangan, pengubahan wang haram, dan kleptokrasi terbesar dalam sejarah dunia.
Ketika tulisan ini di garap Najib masih dalam Penjara Kajang kerana Kes SRC Internasional. Ini kes rasuah dan penyelewengan dana berjumlah RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd - anak syarikat 1MDB. Kes SRC ini Najib di kenakan hukuman 12 tahun penjara. Khalas.
Manakala dalam kes 1MDB Najib telah dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun dan denda berjumlah RM11.38 bilion oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Disember 2025.
Kes 1MDB ini Najib telah merayu di Mahkamah Rayuan.
Najib memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.27 bilion.
Rayuan Najib di tolak pada 14 Oktober 2026. Hukuman penjara 15 tahun terhadap Najib bermula selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara dalam kes SRC International.
Ketika dalam Penjara Kajang hukuman kes SRC Najib telah mendapat pengampunan untuk tahanan di rumah. Ini titah pengampunan dari Agong yang terdahulu - Sultan Pahang.
Jangan lupa warga Malaysia berkenalan dengan perkataan Latin Addendum . Perkataan ini jadi perbualan nasional yang heboh bersangkutan dengan arahan Agong yang mengampunkan Najib untuk di tahan di rumah : Kes SRC.
Pada 20 September 2026 Berita Harian telah melaporkan pada Jumaat 18 September 2026 , Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bersidang di Istana Negara.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim - Sultan Johor - yang mempengerusikan mesyuarat, memperkenankan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat ditetapkan.
Laporan ini amat jelas. Terang macam tengah hari musim panas bulan Jun.
Najib perlu bayar denda 50 juta kemudian pindah dari Penjara Kajang ke tahanan rumah.
Sila jangan kelam kabutkan dengan soalan remeh seperti : Bilik tahanan rumah macam mana ? Sapa boleh lawat ? Makanan dari mana ? Dan... dan... dan....kazak.. kazak.. kazak...Semua ini akan mengusutkan keadaan.
Arahan Agung cukup jelas. Najib jalani tahanan Kes SRC selebihnya di rumah.
Apa yang ingin kita cari dan guna pakai ialah keadilan. Sistem keadilan hukum hakam yang wujud dalam Perlembagaan Negara.
Jangan lupa Malaysia bukan Berunai, bukan Saudi Arabia - Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan. Amin.
Saya juga tahu apa yang telah Najib lakukan. Saya tidak menaruh simpati kepada orang jahat. Untuk saya Najib ini orang jahat. Orang jahat ini telah di dapati bersalah. Maka saya akur terhadap apa hukuman dari mahkamah terhadap Najib.
Dalam masa yang sama juga saya mempersoalkan apa yang sedang berlaku hari ini. Jelas kelihatan kekalutan dan tidak tentuan sedang berlaku dalam kes penahan Najib di rumah.
Kelam kabut ini berlaku satelah Najib berjaya membayar denda 50 juta. Saya anggap ini tidak memberi keadilan terhadap Najib Razak.
Saya pernah di dakwa di bawah Akta Hasutan. Hukum penjara 9 bulan. Saya merayu di Mahkamah Rayuan. Hukuman penjara di ganti dengan denda 6 ribu ringgit. Pagi saya jatuh hukum. Tengah hari saya bayar denda. Petangnya saya bebas. Ini keadilan.
Pada hemat saya apa yang berlaku pada Najib minggu ini tidak adil.
Jangan salah anggap saya bukan jadi penyokong Najib. Saya mahu menegak keadilan untuk sesiapa saja yang saya baca tidak mendapat keadilan.
Saya juga bukan monarkis. Saya Republikan. Tapi saya akui hak mutlak Raja Berperlembagaan yang tercatat dalam Perlembagaan Malaysia.
Dari apa yang saya fahami dari segi hukum dan perlembagaan , Raja dan Sultan dalam negara kita ini akan membuat sesuatu yang penting dengan mendengar nasihat Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.
Saya juga di fahamkan Agong hanya ada tiga perkara dimana Baginda boleh membuat tanpa nasihat dari kerajaan. Pertama : Memilih siapa jadi Perdana Menteri. Kedua : Hak membubar Parlimen. Ketiga: Memanggil Raja-Raja Melayu bersidang. Ini hak mutlak Agong.
Justeru Najib di tahan di rumah ini pastilah atas pandangan dan nasihat Kerajaan Madani hari ini.
Wajib diberitahu bukan Najib bin Razak dan Anwar bin Ibrahim sahaja yang ada kes minta ampun dari Lembaga Pengampunan. Di setiap negeri di Malaysia ini ada warga yang minta pengampunan , terutama kes bunuh dari Raja , Sultan atau Tuan Gabenor.
Raja, Sultan dan Tuan Gabenor ini pastilah akan mendapat nasihat dari Kerajaan Negeri. Mustahil Raja, sultan dan Gabenor tahu kes-kes yang meminta pengampunan.
Sistem memberi pengampunan kepada pesalah dan banduan bukan hanya di guna pakai di Malaysia. Di Amerika – Presiden Amerika bila habis tugas berhak memberi pengampunan kepada sesiapa sahaja.
Pada 1 Disember 2024, Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Joe Biden, telah memberikan pengampunan penuh dan tanpa syarat kepada anaknya, Hunter Biden.
Pengampunan ini merangkumi semua kesalahan persekutuan yang dihadapi oleh Hunter Biden, termasuk kes berkaitan kesalahan senjata api dan pertuduhan cukai persekutuan.
Manakala Donald Trump memberikan pengampunan dan peringanan hukuman kepada kira-kira 1,500 individu yang didakwa atau disabitkan kesalahan berkaitan dengan insiden serangan ke atas Bangunan Capitol pada 6 Januari 2021.
Raja Siam di Hari Kelahiran Baginda akan memberi pengampunan.
Sempena Ulang Tahun Kelahiran Raja Siam sekarang pada Julai 2021: Pengampunan diraja diberikan kepada kira-kira 200,000 tahanan penjara.
Ini termasuk kes berprofil tinggi : Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, turut memohon pengampunan diraja untuk mengurangkan hukuman.
Hasilnya, Thaksin telah dibebaskan sepenuhnya setelah menerima pengampunan diraja pada Jun 2026.
Hakikatnya Pengampunan ini bukan hanya di Malaysia.
Ketika tulisan ini selesai di garap Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengeluarkan perintah baharu yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, menjalani baki hukuman penjaranya melalui tahanan di rumah bermula 10 November 2026 hingga ke 23 Ogos 2028 berkuat kuasa serta-merta.
Jelas perintah Mahkamah Tinggi selaras dengan keputusan Lembaga Pengampunan.
Sila buka mata dan catat agar tidak kelam kabut sekali lagi. Peguam Negara, Peguam Najib dan semua warga Satu Malaysia wajib ingat Najib di tahan di rumah hanya untuk kes penjara 12 Tahun kes SRC.
Hukuman kes SRC ini berakhir 23 Ogos 2028.
Pada 24 Ogos 2028 Najib akan menjalani penjara 15 tahun kes 1MDB. Bukan lagi di tahan di Langgak Duta tetapi pulang ke penjara – Kajang atau Sungai Buluh.
Jangan ada Peguam Najib atau pihak apa pun akan memutar tarikh ini. Atau mencelarukan sekali lagi kes ini.
Kepada Peguam Negara dan pengamal undang-undang sila terangkan perkara ini dalam bahasa yang mudah di fahami oleh rakyat biasa. Jauhi bahasa Guaman yang menjadikan orang ramai keliru.
Saya akhiri degan kata-kata Albert Einstein "Jika kamu tidak dapat menjelaskannya kepada kanak-kanak berusia enam tahun, bermakna kamu sendiri tidak memahami perkara itu". Amin (TT)
TULISAN INI
DISIARKAN JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/888916-kolum-najib-dapat-pengampunan









Tiada ulasan:
Catat Ulasan