Ahad, 21 Disember 2014

BERSIH -JANGAN TIPU




SPR tidak boleh mengenepikan rakyat dalam proses persempadanan semula dan mengambil alih kuasa Parlimen dalam penambahan kerusi

 

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengutuk keengganan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Abdul Aziz Mohd Yusof untuk bertemu dengan kami dan kumpulan masyarakat sivil yang lain tentang isu persempadanan semula dan penambahan kerusi parlimen, seperti yang dilaporkan oleh The Malaysian Insider semalam.
 
Perkara 114(2) dalam Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan kepentingan keyakinan orang ramai terhadap tugas SPR. Keyakinan ini begitu penting sehingga ia menjadi kriteria tunggal yang menentukan pelantikan keahlian SPR oleh Yang di-Pertuan Agong.
 
Keyakinan ini hanya dapat diperoleh melalui rundingan bersama masyarakat sivil. Kedegilan Abdul Aziz dalam isu penglibatan masyarakat sivil dapat dilihat dalam pengendalian proses persempadanan semula yang tidak telus dan tidak mempunyai kebertanggungjawaban, yang mengecualikan masyarakat sivil dan kerajaan negeri (Penang) tetapi berunding secara selektif dengan parti politik yang tertentu. Kedegilan inilah yang membuat BERSIH 2.0 berulang-kali menggesa beliau dan pesuruhjaya yang lain untuk meletakkan jawatan mereka.
BERSIH 2.0 ingin mengingatkan SPR tentang rekod dalam proses persempadanan pada tahun 2003 dan 2005 yang amat mengejutkan, di mana peruntukan perlembagaan dalam Jadual 13 tidak dipatuhi langsung dalam situasi yang melibatkan parti politik BN dan ahli politik yang tertentu.
 
Di sini, kami ringkaskan contoh yang dipetik daripada laporan persempadanan semula SPR untuk Semenanjung Malaysia,[1] yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat pada 3 April 2003:
  • SPR telah menerima bantahan daripada individu bersendirian seperti pemimpin UMNO tempatan, walaupun Jadual 13 menyatakan bahawa pembantah hanya boleh terdiri daripada kerajaan negeri, majlis perbandaran tempatan atau kumpulan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 100 pengundi dari kawasan pilihanraya yang terlibat.
  • Di mana alasan bantahan adalah berdasarkan faktor politik—seperti kebarangkalian pengundi menyokong atau menolak parti BN—SPR akan menerima bantahan tersebut tetapi menunjukkan initiatif dalam menyediakan alasan yang serasi dengan Perlembagaan (Seksyen 2, Bahagian 1 dalam Jadual 13 menyatakan bahawa that proses persempadanan mesti mengambil kira ketersediaan kemudahan pentadbiran, mencapai pembahagian yang lebih kurang sama dan mengekalkan pertalian tempatan, yang bermaksud mengambil kira sempadan pentadbiran, fizikal, infrastruktur dan sosio-budaya-ekonomi. Peluang kemenangan parti yang berkuasa pada masa itu tidak pernah disebut sebagai pertimbangan yang sah.)
SPR tidak pernah meminta maaf atas pelanggaran peruntukan Perlembagaan Persekutuan mahupun berjanji bahawa salahlaku sebegini tidak akan diulangi.
 
BERSIH 2.0 menggesa Abdul Aziz supaya membetulkan kesalahan yang lepas dengan berunding secara giat dan profesional bersama semua pihak yang berkepentingan dalam persempadanan semula, mengemukakan maklumat terperinci tentang operasi proses bantahan dan pendengaran bantahan serta mengumumkan jadual proses. SPR tidak boleh menjadikan tarikh permulaan persempadanan semula sebagai satu permainan teka-teki—ia telah ditangguh dari tahun 2011 ke 2012, 2013, bulan Mac yang lalu hingga hujung tahun ini.
 
Bagi isu penambahan kerusi Parlimen, yang berlainan tetapi berkaitan dengan persempadanan semula, BERSIH 2.0 menekankan bahawa isu ini adalah di bawah bidang kuasa Parlimen dan SPR tidak boleh mengambil alih kuasa Parlimen dengan memasukkan cadangan penambahan kerusi ke dalam cadangan persempadanan semulanya, seperti yang telah dibuat pada tahun 2003 dan 2005. SPR tidak boleh terus menganggap penambahan kerusi sebagai sebahagian daripada tatacara biasa (standard operating procedure), seperti yang dibuatnya dalam nota taklimat yang diberi kepada parti-parti politik baru-baru ini. BERSIH 2.0 akan mencabar tindakan tersebut dari segi keserasiannya dengan Perlembagaan jika ia diulangi. SPR tidak mempunyai hak untuk mencadangkan penambahan kerusi.
 
Sebaliknya, penambahan kerusi merupakan bidang kuasa Jawatankuasa Pemilih Parlimen untuk meneliti fungsi badan perundangan, yang seterusnya menentukan saiz optimum dan agihan kerusi antara negeri untuk memastikan pembahagiannya adil dan serasi dengan Perlembagaan Persekutuan. Jawatankuasa inilah yang harus mengemukakan cadangan, sekiranya diperlukan, meminda Perkara 46 dalam Perlembagaan, yang telah menetapkan jumlah kerusi Parlimen pada masa kini pada 222. Hanya selepas pemindaan tersebut dibuat, barulah SPR boleh membuat proses persempadan semula berdasarkan jumlah baharu kerusi.
Jika Jawatankuasa Pemilih tidak didirikan, SPR hanya boleh menjalankan persempadanan semula berdasarkan 222 kerusi parlimen sekarang seperti yang tertakluk dalam Artikel 46.
 
Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0

---------

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apa kata ketua sprm yg baru atas kenyataan bekas ketua sprm yg lalu....adakah kenyataan yg dibuat oleh bekas ketua sprm yg lalu tu fitnah atau ada kebenarannya? Hanya ketua yg tau apa yg berlaku dlm rumah sprm....atau takut nk beritahu atau nk tunggu time bila dh retire baru nk buat kenyataan.......