Gencatan senjata: Tentera Israel arah penduduk berpindah di tengah, pinggir selatan Lubnan
BAITULMAQDIS: Tentera Israel pada Rabu mengarahkan pemindahan penduduk di kawasan tengah Beirut dan pinggir selatan ibu kota Lubnan, beberapa jam sebelum gencatan senjata yang dipersetujui antara Israel dan Hizbullah.
"Amaran segera kepada penduduk di kawasan Beirut," kata jurucakap tentera, Avichay Adraee dalam satu siaran di X, memberitahu orang ramai di kawasan Bachoura di pusat bandar supaya beredar serta semua penduduk di kawasan pinggir bandar selatan", khususnya di Ghobeiry.
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, mengumumkan gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah di Lubnan akan berkuat kuasa hari ini.
Kesepakatan itu dicapai selepas kedua-dua pihak menerima perjanjian dengan AS dan Perancis sebagai pengantara.
Biden berkata, pertempuran di sempadan Israel-Lubnan akan berakhir pada jam 4 pagi waktu tempatan.
Katanya, perjanjian itu yang membuka jalan untuk menamatkan konflik yang meragut ribuan nyawa sejak tercetus perang di Gaza tahun lalu, bertujuan menjadi titik noktah kepada permusuhan secara kekal.
"Ini direncanakan sebagai titik noktah permusuhan secara kekal.
"Kumpulan Hizbullah dan organisasi lain tidak akan dibenarkan lagi mengancam keselamatan Israel," katanya dalam ucapan di Rumah Putih.
Pada masa sama, Biden berkata, Israel juga akan mengundurkan angkatan tenteranya secara berperingkat dalam tempoh 60 hari, manakala tentera Lubnan akan mengambil alih kawalan kawasan berhampiran sempadannya dengan Israel untuk memastikan Hizbullah tidak membina semula infrastruktur di situ.