KE MANA HILANGNYA VAN JENAZAH PULAU PAMGKOR ?Assalamualaikum saudara pengarang, pada 1 Mei yang lalu, abang ipar saya telah meninggal dunia di Pulau Pangkor. Saya sekeluarga telah pulang ke kampung bagi menghadiri majlis pengebumiannya.
Apa yang ingin saya nyatakan ialah mengenai kekecewaan dan kekesalan saya terhadap pengurusan van jenazah yang sepatutnya digunakan sebagai kenderaan untuk membawa jenazah ke tanah perkuburan.
Bayangkan betapa sayunya hati saya, apabila jenayah abang ipar saya dibawa menggunakan kereta sorong sahaja. Perjalanan dari rumah ke tanah perkuburan bukanlah dekat.
Malahan perjalanan ke tanah perkuburan bukanlah senang kerana jenayah yang sorong perlu berdepan dengan jalan yang tidak rata dan bengkang bengkok.
Apabila saya bertanya kepada orang-orang kampung yang menolak jenayah ke tanah perkuburan, mengapa menggunakan kereta sorong, jelas mereka kereta jenazah rosak.
Enggan bising atau beranggapan negatif saya dan keluarga memandang perkara itu secara positif. Namun apa yang amat saya kesalkan ialah apabila keesokkan harinya, iaitu pada 2 Mei, saya bersama adik saya telah pergi ke masjid untuk membayar wang urusan pengebumian.
Bayangkan betapa luluhnya hati saya apabila terlihat van jenazah yang dikatakan rosak itu dipandu oleh pemandunya yang sedang membawa ahli keluarganya untuk bersiar-siar.
Sekiranya benar van itu rosak, sudah pasti tidak akan dapat disiapkan dalam masa terdekat serta jauh sekali akan berjaya dibaiki tidak sampai 24 jam. Sudah menjadi senario di Pulau Pangkor, apabila kereta/van yang rosak akan mengambil masa yang lebih sedikit kerana kadang kala alat ganti kereta sukar atau lambat untuk diperolehi.
Tidak tahu pula saya, kereta/van yang rosak sudah boleh diperbaiki dalam masa terdekat. Kalau difikirkan secara akal yang logik pihak bertanggungjawab juga sewajarnya menyediakan dua buah van bagi memastikan ada ‘back up’sekiranya van yang pertama rosak maka dapat digantikan dengan van yang kedua.
Melihatkan kejadian tersebut, membuatkan saya terfikir, di manakah nilai kemanusiaan serta tanggungjawab seorang insan terhadap saudara Islamnya sendiri. Saya tak minta lebih, sekadar sikap prihatin dan tanggungjawab terhadap masyarakat terutamanya golongan susah.
Kejadian ini sebegini acapkali berlaku di Pulau Pangkor, terutamanya kepada keluarga yang susah. Pinta saya pihak yang bertanggungjawab mahupun yang berkuasa tolonglah memandang serius perkara ini.
Saya amat berharap kejadian seperti ini tidak akan berlaku lagi. Ini kerana, kami yang berasal daripada keluarga yang sederhana lagi susah ini sentiasa dianaktirikan dan tidak terasa nasib kami dibela.
Sekian terima kasih.
Anak Jati Pulau Pangkor