AS anggap pembangunan peluru berpandu balistik Pakistan satu ancaman baharu
WASHINGTON: Seorang pegawai kanan Rumah Putih mendakwa Pakistan yang sedang membangunkan keupayaan peluru berpandu balistik jarak jauh yang membolehkannya menyasarkan melepasi Asia Selatan, sekali gus 'mengancam' Amerika Syarikat (AS).
Pendedahan mengejutkan daripada Timbalan Penasihat Keselamatan Negara AS, Jon Finer itu dilihat mempamer kemerosotan hubungan yang dahulunya erat antara Washington dan Islamabad, susulan pengunduran tentera AS dari Afghanistan pada 2021.
Ia juga menimbulkan persoalan sama ada Pakistan sudah mengubah objektif program senjata nuklear dan peluru berpandu balistik yang selama ini khusus untuk menentang India.
Dalam temu bual dengan Carnegie Endowment for International Peace, Finer berkata Pakistan meneruskan usaha dalam 'teknologi peluru berpandu yang semakin canggih, daripada sistem peluru berpandu balistik jarak jauh kepada peralatan yang dipercayai ujian roket yang jauh lebih besar'
"Pakistan akan memiliki keupayaan untuk menyerang sasaran lebih jauh, melepasi Asia Selatan, termasuk di AS," katanya.
Namun, beliau berkata jumlah negara bersenjata nuklear mempunyai peluru berpandu yang boleh mencapai tanah besar AS adalah 'sangat kecil dan biasanya mereka yang bersifat bermusuhan', merujuk kepada Russia, Korea Utara, dan China.
"Oleh itu, secara jujur, sukar bagi kami melihat tindakan Pakistan sebagai apa-apa melainkan ancaman yang baharu muncul kepada AS," kata Finer.
Beliau berkata demikian sehari selepas Washington mengumumkan sekatan terbaharu berkaitan program pembangunan peluru berpandu balistik Pakistan, termasuk kepada agensi pertahanan yang dikendalikan kerajaan yang menyelia program itu.
Kedutaan Pakistan setakat ini tidak memberikan komen berhubung isu itu.
Islamabad sebelum ini menggambarkan program peluru berpandu balistik jarak jauhnya sebagai langkah pencegahan terhadap pencerobohan India dan bertujuan untuk mengekalkan kestabilan serantau.
Finer juga mengatakan, dirinya termasuk dalam pegawai kanan AS yang lain sudah berulang kali menyuarakan kebimbangan mengenai program itu kepada pegawai kanan di Pakistan.
Jelasnya, Washington dan Islamabad sudah lama menjadi 'rakan karib' dalam pembangunan, memerangi keganasan dan keselamatan.
"Itu membuat kami tertanya-tanya mengapa Pakistan termotivasi untuk membangunkan keupayaan yang boleh digunakan terhadap kami," tegasnya.
Pakistan melakukan ujian senjata nuklear pertamanya pada 1998 - lebih 20 tahun selepas India melancar ujian pertama - menjadikannya negara ketujuh yang berbuat demikian.
Negara itu turut membangunkan senjata berkeupayaan peluru berpandu balistik yang mampu membawa kepala peledak nuklear.
Pertubuhan penyelidikan Bulletin of the American Scientists turut menganggarkan, Pakistan mempunyai kira-kira simpanan170 kepala peledak. - REUTERS