.

Selasa, 23 September 2014

SELANGOR DAN REALPOLITIK






SELANGOR - KRISIS DEMOKRASI


Ketika tulisan ini digarap perlantikan Menteri Besar Selangor masih belum tuntas. Nama-nama yang dicadangkan kelihatan 'bertaburan' disebut-sebutkan oleh media baru dan lama. Ada yang saheh dan ada yang 'angin-angin'.

Dilaporkan oleh media bahawa Presiden Pas Haji Hadi Awang telah menghantar tiga nama ke Istana. Kesemua nama dari partinya. Nama siapa ini? Hanya Hadi Awang sahaja yang tahu. Manakala DAP – telah menghantar hanya satu nama : Wan Azizah Wan Ismail. Parti Keadilan Rakyat juga telah menghantar satu nama: Wan Azizah Wan Ismail.

Satu nama lagi yang disebut media ialah nama Azmin Ali. Nama ini TIDAK disenaraikan oleh PKR. Tidak disenaraikan oleh DAP. Tidak ada parti politik dalam Pakatan Rakyat yang mengajukan nama Azmin Ali kepada Istana. Maka nama yang TIDAK disenaraikan ini sedang dan pasti akan menimbulkan permasalahan besar.

Pekara besar inilah yang wajib difahami dan disedari oleh rakyat Malaysia. Lebih besar dari nama Azmin Ali. Pekara-pekara ini bukan hanya melibatkan ahli PKR atau penyokomg Pakatan Rakyat. Pekara-pekara ini amat fudumental yang melibatkan kesedaran seluruh rakyat Malaysia – tanpa mengira parti dan mazhab.


Pekara ini ialah tentang demokrasi. Demokrasi di Malaysia ini berkait rapat dengan Raja Berpelembagaan. Justeru tulisan ini akan cuba memberi pencerahan tentang demokrasi dalam konteks raja berpelembagaan.

Pertamanya tulisan ini menolak kesah-kesah karut marut tentang asal usul raja atau sultan. Sultan dan raja muncul dalam evolusi perkembangan tamadun manusia. Raja muncul merata-rata diseluruh dunia. Kemunculan mereka ini sama sahaja bentuk dan labonnya. Raja lahir ketika masyarakat pertanian masih dalam tahap paling awal. Sosok ini menjadi raja untuk memimpin kaum tani, kawasan pertanian dan menjaga kepentingan kampong.

Justeru – hari ini - tidak masuk akal kalau raja masih dianggap mewakili tuhan. Atau dianggap jelmaan tuhan diatas muka bumi ini. Ini hanya mistos yang muncul dalam zaman 'gelap'. Pencerahan telah membuka minda ummat yang boleh mentakrifkan apa yang tahyul, apa yang karut dan apa yang rasional masuk akal.


Di Tanah Melayu , saperti di negara-negara lain dalam dunia ini – raja dan sultan wujud. Zaman feudal ini bukan satu yang memalukan. Ini sebahagian dari sejarah tamadun bangsa. Tidak ada tamadun bangsa-bangsa dalam dunia ini yang dapat melarikan dari evolusi kemunculan kaum feudal ini – kecuali bangsa-bangsa yang tahap tamadunnya belum enap stabil dalam bentuk ekonomi pertanian dan mereka dilaggar penjajah yang membawa moden.

Apabila Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris datang ke Tanah Melayu - raja memainkan peranan kepimpinan yang gemilang. Kuasa ekonomi Raja Melayu kini dicerbohi oleh 'orang luar' i.e penjajah. Maka kita lihat Dato Bahaman, Mat Kilau, Maharaja Lela, Dol Said, Tok Gajah – bangun mengangkat senjata melawan penjajah. Mereka ini adalah ''kaum kerabat orang Istana' sebahagian dari struktur feudal.

Penjajah Belanda dan Portugis – kuasa penjajah awal telah 'melutu dan menggasak' kaum feudal. Ini membawa penentangan hebat dari anak tanah jajahan. Kuasa kolonial fascist Jepun ganas – justeru dapat tentangan dari semua kelas dan gulungan.

Pengalaman kuasa penjajah awal ini telah dikumpulkan oleh British. British menggunakan taktik - pecah dan perentah. Dengan licik kuasa kolonial British telah menggunakan sistem feudal ini untuk menampong dan membantu kuasa penjajah merampok dan menjarah hasil kekayaan tanah jajahan. Ada raja dinobatkan oleh British. Ada raja yang melawan British  dihalau keluar negeri atau dihantar ke Lautan Hindi. Inilah yang berlaku di Tanah Melayu.

Sistem feudal – raja dan sultan – tidak diganggu gugat. Berperang dengan Bahaman dan Maharaja Lela membawa belanja yang amat besar. East India Company datang ke Tanah Melayu untuk mencari laba bukan datang berziarah untuk mengembangkan silatul rahim beramal jariah.

Apabila mengundur kuasa kolonial British telah meninggalkan satu Perlembagaan yang menyerupai sistem pentabiran Parlimen Raja Berpelembagaan – saperti yang wujud di England. Baginda Queen telah digantikan dengan Yang DiPertuan Agong. Adat istiadat Melayu dan agama Islam telah diwakafkan kepada raja dan sultan. Ahli Parlimen – dewan rakyat dan dewan negeri - membuat hukum dan undang-undang. Para YB ini dipilih melalui pilihanraya.

Jika kita baca semuanya nampak cun dan bergetah. Tetapi dalam realpolitik hakikatnya ialah apa yang sedang kita perhatiklan berlaku di Selangor. Ini realpolitik dalam negara Dunia Ketiga.

Apa yang sedang berlaku adalah contoh terbaik dimana sistem raja berpelembagaan telah terpesong dan menjadi lucah. Untuk memahami ini kita kembali melihat apa yang telah berlaku di Perak 2009. Kes Perak ini telah dijadikan rujukan atau 'precedent' dalam bahasa undang-undang. Nizar Jamaluddin - Menteri Besar dari Pakatan Rakyat telah digantikan dengan Zambry Kadir dari Barisan Nasional.

Ini berlaku diatas hujah bahawa Zambry memiliki sokongan terbanyak dalam Dun Perak. Sokongan terbanyak ini diyakini oleh sultan maka Zambry Kadir dilantik sebagai MB Perak. Kes tutup. Perlembagaan ditaati.

Di Selangor kita lihat pekara yang sama berulang. Khalid Ibrahim hilang kepercayaan dari partinya. Khalid gugur sebagai MB Selangor. Dr. Wan Azizah mendapat sokongan 30 Adun Selangor. Jumlah Adun Selangor ialah 56 orang – justeru 30 Adun adalah angka majoriti. Maknanya Wan Azizah pemilik suara majoriti.

Seharusnya jika mengikut raja berpelembagaan dan mengikut rujukan Kes Perak – Wan Azizah adalah MB Selangor yang baru. Ini TIDAK berlaku. Kong kalikong terjadi. Putar alam belit membelit berlaku. Dari kedegilan Khalid Ibrahim hingga ke dulak dalik Hadi terserlah. Maka masuk pula sosok yang bernama Azmin Ali.

YB Azmin Ali – di ulangi sekali lagi - namanya TIDAK ada dalam senarai. PKR – partinya sendiri TIDAK mencalonkan dirinya. Malah si Azmin ini adalah salah seorang dari 30 Adun yang menyokong Dr Wan Azizah. Malah Azmin telah menanda tangani surat Akuan Bersumpah untuk menyokong Wan Azizah.

Jika Azmin Ali dipilih oleh Istana maka ini adalah pilihan Istana. Maka jelas dilihat, jelas dibaca bahawa Azmin bukan pilihan PKR. Bukan pilihan Pakatan Rakyat. Azmin TIDAK mewakili kepentingan PKR atau Pakatan Rakyat - jauh sekali rakyat. Azmin akan dilihat dan dibaca sebagai mewakili sultan. Timbul persoalan untuk kurun ini : dari bucu mana Istana mengutip nama Azmin. Inilah yang menjadi persoalan hakiki.

Hakikatnya - jika Istana boleh mengutip nama – maka TIDAK perlu Selangor malah Malaysia juga TIDAK perlu mengadakan pilihan raya. Mungkin saban tahun , atau lima tahun sekali atau bila-bila masa sahaja si sultan boleh memilih sesiapa sahaja – malaon mana pun - untuk menjadi Menteri Besar atau Menteri Kabinet waiama Perdana Menteri sekali pun.

Justeru, pada hemat saya - apa yang sedang kita lalui ini bukan hanya tentang Selangor, tentang PKR atau tentang Azmin atau Wan Azizah. Diakui – mereka semua ini adalah pemain utama tetapi dibelakang nama-nama ini ada yang lebih penting.

Pada hemat saya yang paling penting ialah pemahaman kita semua tentang apa itu demokrasi. Apa itu suara ramai. Apa maknanya suara majoriti. Apa maknanya parlimen. Sebagai anak semua bangsa – apakah yang kita fahami tentang raja berpelembagaan.

Untuk saya ini lebih penting kerana ianya membawa implikasi yang maha jauh. Sesudah Azmin atau Wan Azizah atau Hishamuddin Rais mati – negara yang bernama Malaysia ini akan terus wujud. Ahli politik pergi dan datang. Kemenangan jangka pendek hanya kemenagan pendek.

Apa yang berlaku di Selangor ini adalah penglucahan proses demokrasi. Kesongsangan akidah dalam pemahaman apa itu suara majoriti. Para politikus mendahulu kepentingan diri. Ini dibantu pula oleh kegagalan kita semua sebagai warga untuk bersuara dan menyatakan apa yang benar dan apa yang salah. Nilai salah benar kita menjadi lucah. Paling sedih adalah kegagalan lembaga feudal yang dinobatkan oleh Perlembagan dalam bentuk Sultan.

Kegagalan yang saya maksudkan ialah kegagalan lembaga feudal untuk melintasi yang duniawi. Melihat dari mata hati Ratu Adil. Membawa keadilan bukan sahaja ke Selangor malah ke atas muka bumi ini.

Kini anak semua bangsa melihat lembaga feudal ini bertentangan dengan konsep demokrasi. Kegagalan feudal untuk menghormati suara majoriti akan membawa implikasi yang maha lama. Pada ketika ini kegagalan lembaga ini semakin dilihat jelas. Buruknya sistem feudal ini terserlah. Terbukti - krisis Selangor membuka ruang dimana raja atau sultan boleh memilih sesiapa sahaja.

Saya yakin dari keburukan ini pasti akan muncul satu sistem yang dapat menghormati dan menobatkan rasa hati dan pilihan majoriti rakyat.

EPILOK

Ketika tulisan ini tamat ditulis nama MB Selangor yang baru masih dirahsiakan. Ini adalah tanda-tanda zaman.

Pada satu ketika dahulu – dalam hikayat-hikayat Melayu lama - sebelum Menteri dilantik canang dan tabuh telah dipalu. Rakyat saentero negeri dijemput bertandang menyambut kedatangan Sang Menteri.

Yang capek datang bertongkat
Yang buta tertanya tanya
Yang pekak membakar meriam
Yang bisu bertunda-tunda

Nasi mendidih menganak sungai
Kerak nasi membusut jantan
Hampas kelapa menutup pandang
Tujuh hari tujuh malam
Sultan kenduri gegak gempita
Menyambut Menteri baru dikata

Sekarang ini:

Yang majoriti ditolak pergi
Yang rasuah dipanggil mari
Yang kelentong dijemput datang
Yang dulak dalik imam sembahyang
Nama MB masih rahsia lagi. (TT)












--------------

SELANGOR KINI







KENYATAAN MEDIA

Selangor Kini tuntut lebih kebebasan media

Selangor Kini sebagai sebuah akhbar rasmi Kerajaan Selangor merakam ucapan terima kasih kepada bekas Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim atas sumbangannya dalam memajukan media.

Pentadbirannya mengangkat nilai kebebasan media ke tahap lebih baik berbanding akhbar negeri ketika zaman pemerintahan Umno BN yang menggunakan nama Era Jaya.

Namun, tahap kebebasan media perlu dipertingkat - tanpa mengikut telunjuk mana-mana pemimpin mahupun parti politik baik pemerintah mahupun pembangkang, sebaliknya menjadi saluran suara rakyat akar umbi.

Ini penting kerana operasi media negeri dijana melalui wang rakyat, sama sekali berbeza dengan penerbitan akhbar kepartian seperti Harakah dan Suara Keadilan. Semua media negeri yang ditadbir Umno BN juga harus mengambil langkah ini

Selangor Kini berharap pentadbiran Menteri Besar yang baharu - walau sesiapapun - bersedia untuk memerdeka akhbar negeri ini dari sudut editorial dengan tiadanya campur tangan politik sebaliknya tertumpu kepada suara rakyat selain menjulang dasar kerajaan negeri.

Oleh itu, usaha tertentu harus dibuat tanpa menjejaskan kebajikan kakitangan sedia ada supaya proses kemajuan media negeri terus berlanjutan melalui pentadbiran baharu.

Fazallah Pit
Ketua Pengarang Selangor Kini
22 September 2014
















------------

INGAT CARA MEMBACA UTUSAN





]


KOMENTAR

ingat
jangan lupa
cara membac utusan

Perkasa sokong pilihan Sultan

PETALING JAYA: Yang DiPertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya menerima apa-apa sahaja keputusan yang diputuskan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam soal perlantikan Menteri Besar baru bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurutnya, Perkasa percaya keputusan yang dibuat oleh Sultan Selangor adalah keputusan yang terbaik dan pastinya Sultan telah mengambil kira kepentingan rakyat Selangor dan keseluruhannya.

KAH KAH KAH

i rest my case
i've nothing to add
my lord
kah kah kah

----------

SARAWAK BANGGA?





 | September 22, 2014
taib-mahmud-new
"Perpaduan yang telah menjadi batu asas yang telah Taib letakkan ini membolehkan kerajaan di bawah pimpinan beliau memberi kebanggaan... More ››


KAH KAH KAH

woit
kalau malaon ini
menjadi kebanggan 
ya ampoon
selamatkan lah
ular lidi di sarawak

KAH KAH KAH





------------

SURAT PAGI INI






DARI BUCU MANA
Timbul persoalan untuk kurun ini : dari bucu mana Istana mengutip nama Azmin. Inilah yang menjadi persoalan hakiki. ini serius cool......xramai yg akan terfikir tentang benda ni. on SELANGOR DAN REALPOLITIK
Publish | Delete | Spam
Anonymous
on 9/22/14


------------

KENYATAAN RESMI





RESOLUSI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN BERHUBUNG PERLANTIKAN MENTERI BESAR SELANGOR
Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN (MPP) telah mengadakan satu mesyuarat tergempar pada hari ini, 22 September 2014 berikutan perkembangan terbaru perlantikan Menteri Besar Selangor.

Berikut adalah resolusi yang telah diluluskan sebulat suara di dalam mesyuarat tersebut:

1.      MPP mengambil maklum bahawa pada 22 September 2014, pihak Istana telah mengutuskan satu surat memaklumkan kepada Saudara Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN akan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan ke atas perlantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor. Beliau telah juga dijemput untuk upacara angkat sumpah pada 23 September 2014.

2.      MPP melahirkan rasa yang amat kesal dengan layanan yang telah diberikan oleh pihak Istana terhadap pencalonan Dr Wan Azizah Wan Ismail yang telah memenuhi kehendak Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dengan sokongan majoriti 30 ahli Dewan Negeri. MPP juga tidak bersetuju dengan cara pihak Istana menangani proses pencalonan yang melibatkan Dr Wan Azizah Wan Ismail sehingga beliau langsung tidak dipanggil mengadap walaupun mempunyai sokongan majoriti yang jelas.

3.      Oleh itu, MPP berpendapat bahawa proses memperkenan lantikan Menteri Besar Selangor yang baru ini tidak mengikut kehendak Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan bertentangan dengan amalan prinsip demokrasi berparlimen. Ia juga menjejaskan kemuliaan institusi raja berpelembagaan.

4.      Walau bagaimana pun, MPP juga mengambil kira keperluan menyelesaikan isu perlantikan Menteri Besar Selangor ini secepat mungkin demi menjaga kepentingan rakyat. 

5.      Makanya, MPP telah memutuskan untuk menghormati permintaan Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk beliau menarik diri dari dicalonkan agar isu ini dapat diselesaikan segera. Berikutan itu, MPP juga bersetuju dengan cadangan yang dibawa oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail agar Saudara Azmin Ali dikemukakan sebagai calon Menteri Besar supaya pencalonan Saudara Azmin Ali itu adalah dari parti mengikut tuntutan amalan demokrasi.  

6.      Ini selaras dengan pendirian MPP bahawa kemuliaan perlembagaan dan keluhuran undang-undang perlulah dipertahankan sepanjang masa. MPP menegaskan juga bahawa proses yang tidak menepati kehendak undang-undang ini tidak boleh dijadikan satu duluan (precedent) di masa hadapan. 

MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
22 September 2014






-----------