HILANG ENTAH KE MANASetiap kali aku melintasi wilayah Bangsar Utama aku teringat akan Dia. Setiap kali aku melihat stesen LRT Bangsar aku akan teringat Dia. Setiap kali aku melihat bangunan bank yang tesergam di Bangsar Utama aku teringatkan Dia. Apabila bangunan yang paling tinggi selesai dibina di Bangsar Utama aku terngadah melihat – lalu hati aku basah kerana aku tahu ceritanya.
Ceritanya bagini:
Ayah Dia didatangkan sebagai buruh dari Bharat untuk membina landasan Keretapi Tanah Melayu. Sesampai di bumi Melayu ini si Ayah - sebagai kuli - telah tinggal berasak-asak di rumah kongsi yang disediakan untuk para buruh. Bertahun kemudian - sesudah berkahwin dan beranak pinak maka si ayah dapat menyewa rumah KTM - rumah berbilik satu terletak betul-betul di gigi landasan keretapi di Bangsar Utama. Disinilah sesudah perang Dia dilahirkan dan membesar.
Ayahnya keras memburuh meneroka hutan untuk membuka bumi Melayu. Kehidupan - jika dibanding – agak lebih baik dari daerah kampong asal usulnya. Walau apa pun, si ayah selalu teringatkan daerah yang telah bagitu jauh ditinggalkan. Saban malam – si ayah akan berangan-angan untuk membawa keluarganya melihat kampong sanak saudara – bermimpi untuk balik ke kampong asal.
Dengan mimpi dan angan-angan ini si ayah telah mengumpul duit dengan niat dan cita-cita satu hari nanti mereka sekeluarga akan belayar pulang melihat candi-candi kuno yang tersergam indah di Bharat.
Dia mendewasa – persekolahan gagal - tanpa ilmu yang cukup maka akhirnya Dia juga menjadi kuli seperti ayahnya. Hanya satu bezanya - dia berupaya untuk memandu kereta. Akhirnya Dia melamar kerja untuk menjadi dreber. Dari satu tuan ke satu tuan Dia memandu. Usianya bertambah dan akhirmnya Dia pun beristeri. Rumah semakin sempit maka mereka wajib mencari satu rumah yang baru.
Akhirnya dengan duit yang diangan-angankan oleh ayahnya untuk pulang ke Bharat kini digunakan untuk membeli sebidang tanah.
Di tanah baru inilah mereka sekeluarga berjanji bersetia untuk mendirikan dunia baru. Ayahnya - sehari demi sehari - semakin pudar niat dan mimpinya untuk pulang memuja Krishna dan merendamkan badan di sungai Ganga. Maka terdirilah rumah papan – bukan lumayan tetapi selesa - berselang seli dengan tetanga Melayu dan China. Akhirnya mimpi ayahnya untuk pulang ke Bharat hanya dibawa mimpi ke rumah pembakaran. Debunya ditaburkan di Sungai Klang. Berakhirlah mimpi seorang kuli.
Ketika – aku sampai ke kota kita ini - Bukit Bangsar - masih lagi kebun getah. Rumah Doshi di kemuncak Bukit Pantai masih dalam pembikinan. Ketika itu Bukit Damansara namanya masih kolonial - Bukit Guillemard. Ketika itu ada landasan keretapi melintas dari laluan yang ada sekarang untuk masuk ke dalam kawasan kilang Lever Brothers di sebelah bangunan NST. Ini bagitu lama dahulu.
Demi Zeus – aku teringat lagi ketika itu - harga sebotol air soya hanya 25 sen, sebungkus nasi lemak 10 sen, nasi campur – sayur dan lauk hanya 70 sen – kalau ditambah telor masin hanya menjadi 95 sen. Harga secawan teh susu hanya 15 sen. Sebotol Harimau hanya 1. 30 sen.
Di zaman inilah aku mula berkenalan dengan Dia yang kerja sebagai seorang driber.
Aku pernah juga berkenalan dengan anak-anak Dia. Ini kerana Dia pernah membawa anak-anaknya berjumpa aku – anak lelaki berumur 12 tahun dan anak perempuan mungkin 9 tahun. Ini hanya anggaran kerana aku tidak dapat menilai umur anak-anaknya yang bagitu kurus seperti dirinya sendiri.
Tidak jauh dari tempat Dia tinggal - di hadapan sebuah kuil kayu - ada sebuah warong menjual air nira masam. Ini adalah sebahagian dari cara kolonial untuk memastikan kuli dan buruh di tanah Melayu sentiasa setia dengan tuannya. Warong papan berpangkin kayu ini cukup dikenali oleh kuli dan buruh KTM. Di sini jugalah Dia selalu menghabiskan masanya sesudah pulang dari kerja.
Beberapa kali aku di beritahu yang Dia kadang kala gagal datang bekerja. Pelbagai sebab musabab telah diberikan. Sesekali isterinya sakit. Sesekali anaknya demam. Malah aku pernah sekali diberitahu ada bahawa Dia telalu sedih untuk datang memandu kerana kucing kesayangan telah menjadi arwah. Aku hanya tersenyum kerana telah beberapa kali aku tercium bau alkohol apabila aku bersua dengan Dia.
Mungkin ramai dari kita yang kurang faham atau memiliki pandangan moral yang tinggi – tetapi inilah sahaja jalan rentas untuk para buruh dan kuli yang ingin mencari keindahan maya dalam hidup yang semakin susah dan semakin menekan.
Aku juga difahamkan di warong papan ini – setiap petang – akan hadir seorang lelaki berdhoti putih lagi bersih membawa sekaki payung hitam dan mengepit sebuah beg kulit. Setiap petang lelaki berdhoti bersih ini – dari apa yang aku tahu - akan sentiasa bersedia untuk menghulurkan wang kepada kuli dan buruh yang keputusan modal jika mereka ingin terus belayar melayan air nira masam.
Cerita aku ini terputus disini kerana dengan tiba-tiba aku pergi jauh dari kota ini.
Demi Zeus – bila aku pulang kembali semuanya telah berubah. Kota lama aku telah meluas. Rumah KTM di tepi landasan keretapi di Bangsar telah tidak wujud lagi. Kota lama aku telah menjadi bagitu asing untuk diri aku. Bila aku mula mengenap maka aku pun bertanya-tanya tentang si anu dan si anu. Siapa kahwin dengan siapa. Siapa bercerai dengan siapa.
Dan akhirmya aku menjadikan di Bangsar Utama sebagai kampong halaman aku. Tidak dapat tidak Bangsar Utama memaksa aku untuk tertanya-tanya apa yang terjadi dengan Dia.
Kau mungkin tidak pecaya apa yang aku ceritakan ini. Warong air nira masam dan kedai-kedai arak di Brickfield dan Bangsar Utama - sepeninggalan aku - adalah tempat Dia menghabiskaan masanya. Setiap kali Dia keputusan duit maka lelaki berdhoti puteh bersih akan menghulurkan wang. Semua duit yang diberi dikatakan tercatit dalam kertas-kertas yang tersimpan di dalam beg kulit yang dikepit oleh lelaki berdhoti ini.
Pernah satu kali aku diberitahu bahawa Dia datang kembali mencari kami – kaum kiri - yang sentiasa akan membantu mereka yang tertindas – ketika itu aku entah berada di benua mana. Semuanya gagal. Maka akhirnya tanah tapak rumahnya tergadai. Semuanya lupus.
Demi Zeus – kau mungkin tidak pecaya – bila kau melihat tapak bangunan yang tersergam besar yang baru sahaja didirikan di sebelah LRT Bangsar Utama itu - yakinlah – sebahagian tanahnya pada satu ketika ada milik Dia. Aku cukup pasti hal ini kerana pada satu hari Dia telah memberhentikan van yang dipandunya dihadapan kawasan ini. Dia berhenti kerana ingin menyampai barang untuk anak lelakinya. Dan orang duduk dalam van itu adalah aku.
Hingga ke hari ini Dia telah hilang entah ke mana.
(TT)