Khamis, 21 Ogos 2008

TERKINI - MENTERI PELAJARAN JUMPA AKADEMIA

Pagi Khamis ini Hishamudin Hussein telah bertemu dengan para akademia dan guru-guru. Pertemuan ini diadakan di Institut Perguruan Tuanku Bainun.

Di padang Institut ini jugalah telah diadakan proses penamaan calon tempoh hari.

Sehingga berita ini ditulis belum diketahui isi perbincangan.

GADUH SESAMA SENDIRI

Berita telah mula muncul tentang perselisihan antara 'klik dan camp' dalam United Malays National Organisation di Permatang Pauh.

Calon BN Ariff Shah Omar yang dikatakan fasih berbahasa Cina itu tidak mendapat sokongan penuh daripada para gedebe Permatang Pauh.

Hasil 'gaduh' ini dapat dilihat jelas hinggakan poster, kain rentang dan Bilik Gerakan Barisan Nasional menjadi malap.

Bekas ketua bahagian Permatang Pauh, Mat Saat telah menjual sebahagian daripada harta tanahnya untuk dijadikan berjuta-juta ringgit modal. Mat Saat bercita-cita untuk kembali berkuasa di Permatang Pauh.

Dalam masa yang sama gerombolan yang pro Dato Jalil tidak mengerakkan tenaga mereka.

Ezam Mat Nor yang juga ingin bertanding untuk melawan 'boss lamanya' terbukti sebagai pemain politik kecilan sahaja di Permatang Pauh, malah tidak pun termasuk dalam team 'reserve'.

PEMANTAU TIMBUL BANTAHAN

Sebuah badan pemantau National Institute for Electoral Integrity -NIEI - yang memiliki jaringan antarabangsa telah memberikan pandangan awal terhadap beberapa perkara yang dianggap tidak seharusnya berlaku di pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Antaranya :

1 - Kehadiran helikopter PDRM dalam setiap ceramah Anwar Ibrahim.

2 - Penyalahgunaan 'outriders' untuk membawa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri untuk berkempen.

3 - Kehadiran FRU dan anggota polis yang yang ramai sebagai satu ancaman.

NIEI telah mendatangkan 16 pemantau ke Permatang Pauh. Dua belas orang dari Malaysia, 4 wakil dari Taiwan, Thailand, Indonesia dan Amerika Syarikat.

Ketika ini NIEI masih lagi menjalankan pemantauan.

BANGUN PAGI

Pagi ini saya lakukan satu perkara yang amat susah untuk dilakukan - saya bangun pagi

Hasilnya, ketika minum pagi saya ternampak pemain bulu tangkis Malaysia yang baru pulang dari Beijing minum di tempat yang sama. Dia diiringi oleh Menteri Belia & Sukan.

Pemain ini telah didatangkan ke Permatang Pauh atas anjuran Kementerian Belia dan Sukan. Malam kelmarin pemain bulu tangkis yang gagal untuk mendapat pingat emas ini telah diberi jamuan makan malam di Seberang Jaya.

Jika ini sebahagian dari kempen Barisan Nasional maka warga Permatang Pauh wajib bertanya di Parlimen - bajet membawa pemain bulu tangkis ini dari mana datangnya? Kalau berkempen bajet wajib datang dari parti politik.

KHAIRY JAMALUDDIN DI TENGGIRI

Malam Rabu 20 Ogos 2008 saya sempat menghadiri ucapan perasmian Gerak Gempur Putera United Malays National Oganisation.

Berpusu-pusu orang di tepi sebuah banglow berwarna merah di Tenggiri, Seberang Jaya. Hampir 200 orang telah berhimpit-himpit berdiri di tepi jalan, kebanyakkan mereka berseluar hitam dan berbaju putih lengan pendek.

Dalam ucapan, KJ ( nama manja Khairy Jamaluddin) telah mencabar Anwar Ibrahim agar turut sama bersumpah seperti Saiful Bukhari. KJ juga telah memperlekehkan Saiful Bukhari sebagai 'budak kopi'.

KJ merasa hairan kenapa seorang 'budak kopi' boleh dibawa oleh Anwar Ibrahim ke luar negara.

“.....ini pastilah kerana dia buat kopi yang kau kau...” lawak KJ yang disambut oleh gelak Putera United Malays National Organization.

KJ juga meminta ahli United Malays National Organisation agar berhemah ketika berkempen.

' Kita gentlemen. Yang samseng ialah Parti Keadilan...' Ini lah kata-kata nasihat dari KJ sebelum dia merasmikan Gerak Gempur dengan memberikan baju t kepada Putera United Malays National Organisation.

SUMPAH LAKNAT


Sumpah Laknat Saiful Bukhari telah tidak begitu difahami oleh masyarakat Cina dan India di kawasan kelas menengah Seberang Jaya, kawasan yang diwakili oleh YB Ariff Shah.

Justeru, Khairy Jamaluddin telah cuba menerangkan makna 'sumpah laknat'. Untuk masyarakat bukan Melayu mereka menganggap semua ini hanya sebahagian daripada kempen politik. Malah orang Melayu juga tidak begitu faham akan makna Sumpah Laknat Saiful.

SUMPAH SERANAH EZAM MUHAMAD NOR

Beberapa vcd Ezam Muhamad Nor yang penuh dengan sumpah seranah terhadap United Malays National Organisation telah mula muncul semula.

Malah di YouTube klip Ezam menyumpah seranah United Malays National Organistion telah melonjak tinggi.

TERSEREMPAK DENGAN ARIFF SHAH

Saya secara tidak sengaja telah terserempak dengan calon Barisan Nasional Ariff Shah. Dia sedang berkempen dari rumah ke rumah di Siakap.

Ariff yang berambut putih memakai baju kuning berlengan pendek dan berpantalon hitam telah memasuki sebuah rumah yang di hadapannya ada menjual burger.

Sebelum ini Ariff Shah telah berceramah di Seberang Jaya. Dia berucap dalam Bahasa Cina.

ANWAR IBRAHIM TAK SINGGAH KEDAI BUNDLE

Pada malam Rabu pula Anwar Ibrahim telah datang ke kawasan Medan Selera Seberang Jaya. Dia telah merayau-rayau sambil berkenalan dengan bakal pengundi yang ramai di sana kerana di sebelah tempat makan ini ada Pasar Malam.

Anwar telah sempat menerima dan merasa sup yang dihadiahkan oleh seorang penjaja Pasar Malam.

Anwar yang merayau-rayau ini telah dikerumuni oleh bakal-bakal pengundi, anak-anak muda peminat Anwar Ibrahim dan juga para penyokong dan 'groupie' yang tidak semestinya datang dari Permatang Pauh.

Ada beberapa buah kedai Bundle anak-anak muda di Pasar Malam ini. Sayangnya Anwar tidak singgah di kedai Bundle ini. Mungkin 'oldtai Anwar Ibrahim ' tidak mengetahui bahawa kedai Bundle adalah tempat 'shopping yang paling cool dan trendy' untuk anak muda.

Malah ada berbelas-belas kedai Bundle dalam kawasan parlimen Permatang Pauh. Ini membuktikan anak-anak muda di Permatang Pauh ingin dilihat 'cool dan trendy' dan tidak mahu dilihat skema dan belia.

LEE CHONG WEI DIUSUNG KE PERMATANG PAUH

Pemain bulu tangkis Malaysia yang gagal mendapat pingat emas di Peking telah diusung ke Permatang Pauh.

WAN AZIZAH MENEMUI KEMBALI PENGUNDI

Wan Azizah telah berceramah di Tenggiri pada malam Rabu. Dalam ucapannya Wan Azizah telah menerangkan bahawa pada bulan March yang lalu dia telah memberitahu para pengundi di Permatang Pauh bahawa dia sebenarnya menjadi ahli politik kerana suaminya ditangkap dan dipenjara.

'Saya tidak perlu dikasihani'. Dia juga tidak mahu dituduh 'berdusta' kepada pengundi Permatang Pauh. Ini kerana dia telah menerangkan sejelas mungkin bahawa dia bertanding pada bulan March 2008 kerana suaminya Anwar Ibrahim masih belum dibenarkan bertanding.

Kerusi parlimen di Permatang Pauh ini bukan milik sesiapa tetapi milik penduduk Permatang Pauh.

Dari tahun 1999 hingga 2008 penduduk Permatang Pauh telah memberikan kepercayaan kepada Parti Keadilan Rakyat.

Justeru di pilihanraya kecil 26 Ogos ini Wan Azizah yakin penduduk Permatang Pauh akan memberikan kepercayaan yang sama kepada Parti Keadilan Rakyat.

AMARAN ANWAR IBRAHIM

Dalam beberapa siri ceramahnya pada malam Rabu, Anwar Ibrahim telah memberi amaran kepada pihak United Malays National Organisation agar berkempen secara telus.

Anwar telah memberitahu warga Permatang Pauh yang dia telah di fahamkan bahawa beberapa syarikat talipon dan komunikasi telah diarahkan untuk memutuskan semua talian talipon di beberapa kawasan di Permatang Pauh dalam beberapa hari lagi.

Anwar Ibrahim juga telah membocorkan berita bagaimana ahli-ahli United Malay National Organisation telah dan sedang meneruskan kempen mengumpulkan kad pengenalan bakal pengundi.

Apa tujuan operasi ini masih belum jelas.

TERSEREMPAK DENGAN FRU

Setiap malam akan kelihatan angota FRU berkeliaran di kawasan kampung-kampung di Permatang Pauh.

Dua malam dahulu saya terserempak dengan tiga landrover, tiga black maria, sebuah van dan sebuah kereta penembak cecair FRU di lebuhraya menuju ke Kulim.

HELIKOPTER BERLEGAR-LEGAR


Setiap kali Anwar Ibrahim mengadakan ceramah besar pasti akan muncul helikopter yang menyuluh ke bawah ke arah para pendengar.