PKR hari ini menuntut penjelasan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagaimana seorang bekas pegawai tinggi polis dapat membeli sekurang-kurangnya empat rumah pangsa kos rendah di Miharja di pusat bandar Kuala Lumpur.

Ketua biro hak pengguna PKR, Yahya Sahri mendakwa maklumat itu diperolehinya melalui carian hartanah dengan DBKL.

Menurutnya, carian itu dibuat pada tahun 1999 sebaik sahaja selepas pegawai bersara.

"Flat itu dimiliki oleh beliau dan isterinya.

"Orang awam yang layak terutamanya yang tinggal di bandar terpaksa menunggu giliran tetapi pegawai polis ini yang turut memiliki aset lain dapat membeli flat kos rendah ini dengan begitu mudah," katanya.

Selain empat flat di Taman Miharja, bekas pegawai tertinggi polis itu juga didakwa memiliki rumah di Desa Kira, Seputeh, Sri Rampai, Wangsa Maju dan Setapak.