SURAT TERBUKAPuan Presiden
Parti Keadilan Rakyat
Saya ingin membuat rayuan terakhir kepada Puan demi masa depan Parti kita.
Perkembangan-perkembangan mutakhir di KEADILAN amat membimbang dan menyedihkan. Bukan sahaja ahli-ahli Parti, malah penyokong-penyokong kita amat hampa dengan cara pemilihan parti dijalankan.
Memang kita mempunyai niat yang murni apabila kita bercadang untuk mengadakan pemilihan terus di mana setiap ahli diberikan hak demokratik untuk memilih pucuk pimpinan.
Walaubagaimanapun, kita harus ingat, kita tidak akan dinilai dengan niat tetapi dengan hasil usaha kita. Kita mesti melakukan perkara yang betul dengan cara yang betul.
Justeru, suka atau tidak, kredibiliti dan imej KEADILAN kini telah jatuh merudum. Ini merupakan satu krisis kepada Parti.
Saya faham amat sukar untuk Puan menggantung pemilihan parti yang sedang berlangsung. Tetapi, tak kira siapa yang memenangi peraduan, yang menang jadi abu, yang kalah jadi arang. Kita semua akan rugi akhirnya. Setelah membuat pertimbangan mendalam, saya ingin membuat satu cadangan kepada Puan.
Kini, banyak keraguan telah timbul tentang integriti proses pemilihan Parti. Saya percaya kita berupaya membuktikan keikhlasan kita untuk memperbetulkan apa jua kejangalan, sama ada benar atau tidak, dengan mengambil langkah pertama untuk menyelamatkan maruah KEADILAN yang telah tercalar.
Saya bercadang untuk mengambil insiden yang paling meragukan sebagai ujian litmus untuk membuktikan bahawa pemilihan Parti bebas dari kepincangan. Saya merujuk kepada keputusan pemilihan di Libaran yang mempunyai 60 peratus ahli keluar mengundi.
Jika mendapat persetujuan dari Puan Presiden, saya secara peribadi akan mendapatkan biaya untuk melantik sebuah firma audit yang profesional dan bebas untuk menyemak keputusan pemilihan di Libraan. Saya percaya ramai penyokong KEADILAN yang mengharapkan kita untuk membuat perkara yang betul akan menyumbangkan wang untuk menjalankan tugas yang mustahak ini.
Jika keputusan di Libaran disahkan sebagai bebas dari sebarang kepincangan dan salahlaku, saya akan menerima semua keputusan keseluruhan pemilihan Parti tanpa berbelah-bagi. Saya percaya calon-calon lain juga akan berbuat sedemikian. Tetapi, jika keputusan audit membuktikan sebaliknya, satu resolusi harus diluluskan pada Kongres Kebangsaan yang akan datang untuk membatalkan keseluruhan keputusan pemilihan Parti.
Kita sekarang berada di ambang yang paling kritikal dalam sejarah Parti. Kita mesti menunjukkan KEADILAN benar-benar dilaksanakan seperti dalam nama parti. Keadilan bukan sahaja mesti dilakukan, tetapi mesti dilihat sebagai dilaksanakan.
Puan Presiden, Parti kini amat memerlukan tindakan dan pimpinan Puan dalam mengharungi tempoh yang mencabarkan ini.
Terima kasih.
JONSON CHONG
Keahlian No. B130001542