Nurul Izzah Aidilfitri

selangorku 1

.

Ahad, 14 Julai 2013

SELAMAT BERPUASA DAN BERAMAL




SELAMAT MERAYAU
DI BAZAR RAMADAN


LAPAR DAN PUASA

 
Wajib disedari, merayakan puasa ini bukan hanya amalan penganut agama Islam. Penganut agama Hindu sebelum membayar niat membawa Kavadi di Batu Caves juga akan berpuasa. Penganut agama Yahudi juga berpuasa untuk menyambut hari kebesaran Yom Kippur. Dalam pelbagai mazhab, agama Kristian ada ritual berpuasa. 

Ada arahan agama yang melarang makan dari subuh hingga senja. Ada yang berpuasa setelah makan tengah hari seperti amalan harian para rahib dan sami yang tinggal di Pagoda. Ada berpuasa yang hanya menolak daging dan makanan berdarah. Dari semenjak zaman kuno lagi, amalan berpuasa ini telah wujud. Manusia merasa bersyukur dan berterima kasih kepada Yang Maha Esa kerana telah memberikan mereka nikmat makanan.

Dari segi teorinya, jika kita tidak makan dan kita berlapar, maka kita akan merasakan betapa nikmatnya makanan yang ada disekeliling kita. Dari segi teorinya, apabila kita berlapar, maka sang penganut agama akan berupaya untuk merapati Tuhan. Dari segi teorinya dikatakan jika kita berpuasa, maka kita akan sama merasakan bagaimana kelaparan selalu menyerang fakir miskin yang tergelincir makan.

Semua hujah dari teori-teori  ini telah saya dengar ketika saya membesar. Teori ini makin banyak kedengran ketika bulan Ramadan. Teori-teori ini semuanya dilihat indah dan suci jika kita memandang sekali imbas.  Paling tepat pandangan teori ini ialah, apabila berpuasa kita akan merasa lapar. Apakah kelaparan berpuasa, ini akan membuka kesedaran hakiki untuk memahami makan, makanan, lapar dan kelaparan.

Kita sering melihat imej-imej kelaparan. Imej-imej ini atau lebih tepat lagi imej kebuluran di Ethiopia telah sama-sama kita lihat pada tahun-tahun 80-an dahulu. Kini, imej-imej ini telah beralih pula ke Somalia dan ke Sudan. Imej rangka anak-anak kecil yang kebuluran tidak makan ini tidak ada sangkut paut dengan amalan agama atau berlapar untuk mencari ketenangan hidup. Apa yang berlaku ialah kemarau yang melanda dan telah memusnahkan tanaman.

Keadaan ini diburukkan lagi oleh kacau bilau politik atau perang. Justeru, saya ingin menimbulkan satu jalur wacana tentang lapar. Dari mana lapar datang? Kenapa ada yang lapar tanpa makanan? Kenapa ada pula yang ditimbuskan oleh bertimbun-timbun makanan. Rasa saya pada bulan Ramadan ini adalah masa ketika yang tepat untuk kita semua memahami kenapa ada yang lapar, ada yang berlapar, ada yang sengaja nak lapar.

Kita selalu terbaca bagaimana kemarau berpanjangan yang mengakibatkan kebuluran. Imej dan kisah-kisah kebuluran ini sering kita ketahui datangnya dari Afrika. Pada tahun-tahun 90-an dahulu, warga dunia juga telah mendengar tentang kebuluran yang telah menimpa Korea Utara.

Kalau di Ethiopia dan Somalia punca kebuluran ialah kemarau, manakala di Korea Utara puncanya ialah banjir. Kering-kontang akan membunuh semua tanaman. Bumi yang subur akan menjadi kering berdebu. Bila diampuh oleh air, tanaman juga akan mati. Tak ada air manusia akan kebulur tak makan. Terlalu banyak air pun, manusia akan kebulur tak makan. Lihat betapa paradoksnya perjalanan hidup manusia ini.

Sebenarnya, kebuluran yang wujud dalam dunia hari ini adalah hasil kraftangan manusia sendiri. Tidak betul apabila dikatakan bahawa dunia hari ini kekurangan makanan. Ini satu pembohongan. Dengan teknoloji tercanggih, dengan teknik pertanian moden - manusia seluruh dunia tidak perlu puasa untuk kebulur. Pengeluaran makanan dalam dunia ini mencukupi untuk warga dunia - ini kenyataan dari FAO - lembaga makanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Untuk memahami kenapa ada lapar mari kita lihat Sudan. Negara di selatan Mesir ini dilintasi oleh Sungai Nil. Ini menjadikan Sudan wilayah bumi yang subur. Mengikut kajian, penghasilan makanan di Sudan sahaja telah cukup untuk memenuhi keperluan makanan untuk semua negara Arab. Tetapi ini hanya kajian. Hakikatnya, kebuluran sering menyerang Sudan.

Kebuluran di Sudan ini bukan kerana Tuhan murka. Bukan kerana warga Sudan dilaknati. Memang betul ada bencana alam. Tetapi bukan ini yang menyebabkan kebuluran - tetapi perang merebut 'wilayah minyak' yang tidak diumumkan kepada dunia - sedang membulurkan warga Sudan.

Kemudian kita beralih ke India. Dari India kita selalu terlihat imej anak kecil yang tulang-tulang rangka tidak terbarai kerana diikat oleh kulit badan. Dengan mata buntang Sang Ibu yang mengendong anak ini sedang  menghulur tangan, meminta-minta serpihan makanan. Kadang-kala kita melihat imej ratusan orang-orang kampung kurus kering sedang duduk mencangkung kerana telah berpuasa berbulan-bulan tanpa sahur atau tanpa jemputan ke bufet Ramadan.

Apa yang jelas disini bukan dunia kita ini kekurangan makanan. Tetapi hakikatnya pengagihan makanan ini tidak adil. Ketidakadilan pengagihan makanan inilah punca utama yang menimbulkan kebuluran. Bencana alam dan kacau bilau politik hanya rempah rampai untuk menambahkan lagi kebuluran itu.

Imej ibu dan anak-anak yang kurus kering dari India atau Afrika itu sebenarnya tidak menggambarkan apa yang sebenarnya terjadi. Gambar kebuluran di Darfur tidak menceritakan bagaimana orang-orang kampung telah dihalau keluar kerana dibawah tanah pertanian mereka terdapat telaga minyak. Begitu juga di India, orang-orang kampung ini dipaksa pindah kerana tanah-tanah pertanian mereka kini diperlukan untuk dijadikan wilayah perindustrian. Atau tanah pertanian mereka di rampas tuan tanah atau tergadai kerana hutang.

Kaum tani ini bergantung hidup kepada tanah. Walaupun mereka tidak memiliki tanah yang luas, tetapi mereka boleh bercucuk tanam untuk mendapat bahan makanan. Ramai pula yang tidak bertanah - mereka ini menjual tenaga bekerja mencari makan menjual tenaga sebagai buruh tani di ladang dan sawah. Apabila tanah-tanah pertanian ini diubah suai untuk dijadikan bandar baru atau kawasan perindustrian, maka disinilah munculnya bibit kelaparan.

Untuk memahami bagaimana miskin dan lapar datang, mari kita lihat apa yang sedang berlaku di Johor. Pada ketika ini, seramai 30,000 orang kampung - nelayan dan petani - di Pengerang sedang diancam. Sebanyak 18 buah kampung dengan keluasan 22,500 ekar tanah pertanian akan diambil alih oleh kaum pemodal untuk dijadikan loji, takungan dan tempat penapisan minyak. Orang orang kampung di Pengerang sedang dipaksa untuk menjualkan tanah kampung mereka.

Kalau di India atau di Sudan, orang-orang kampung ini akan hanya dihalau keluar. Tanah mereka akan dirampas. Di Malaysia ini, kalau mengikut hati sanubari para Towkay dan Si Pemaju, orang-orang kampung di Pengerang ini juga wajib dihalau dan tanah mereka wajib dirampas. Ini untuk mengurangkan kos pembinaan dan mengurangkan duit pampasan.

Pak Tani yang telah beratus tahun bekerja mengeluarkan makanan kini wajib dipindah entah kemana. Nelayan yang sebati dengan laut kini dinaikan ke darat. Pak Tani dan Sang Nelayan ini menghasilkan makanan. Mereka tidak pernah lapar. Mereka tidak pernah kebulur. Tetapi apabila punca penghasilan makanan mereka dirampas, maka dari sinilah punca kelaparan dan kebuluran bermula.

Kita jangan merasa angkuh untuk berbangga dan mendabik dada berkata - tidak ada kebuluran di Malaysia.  Jangan lupa dengan detik sejarah. Pada bulan Disember tahun 1974 dahulu, ribuan orang-orang kampung, warga di Baling, Kedah telah keluar ke jalan raya kerana kebuluran. Mereka lapar tak makan kerana mereka miskin.

Justeru, pada anggapan saya, ceramah-ceramah Pak Lebai dan Pak Ustaz yang cuba menerangkan hikmah berlapar dalam bulan puasa ini - tidak mencukupi. Merasakan kelaparan para fakir miskin setahun sekali tanpa memahami kenapa mereka lapar dan bagaimana lapar datang adalah kuliah setengah jalan. Kelaparan fakir miskin yang kita rasakan ketika kita berpuasa pada bulan Ramadan ini tidak lengkap. Kita bukan hanya berkongsi merasa lapar tetapi seharusnya kita juga tidak mahu lagi sesiapa pun terus merasa lapar.

Berpuasa di bulan Ramadan  ini juga seharusnya membukakan fikrah kita untuk menjangkau lebih mendalam. Berupaya untuk melihat satu-satu fenomena itu bukan hanya dikulit  atau dibaju. Kelaparan yang sedang dirasakan ketika berpuasa seharusnya menenangkan fikrah untuk berupaya melihat alam secara menyeluruh.

Melihat alam ertinya melihat bagaimana bencana alam - banjir, taufan, kemarau - sebenarnya lahir dari rekacipta manusia itu sendiri. Bencana alam yang melahirkan kebuluran itu juga adalah hasil tanda kerakusan manusia merobek alam. Jika ketenangan fikrah yang dicari oleh penganut Islam dalam bulan Ramadan ini gagal untuk memaksa kita bertanya diri - kenapa ada yang lapar? Atau mencari jawapan kenapa ada yang lapar - walhal makanan bertimbun-timbun. Maka berlapar itu hanya dilakukan untuk berlapar kerana mengekor  semua warga Islam  yang berlapar pada bulan ini.

Jika warga Islam berpuasa hanya untuk merasakan lapar tanpa memahami agenda kemiskinan, maka berlapar sedemikian hanya ritual. Para ritualis yang lapar ini adalah mangsa terbaik untuk tuan empunya hotel yang sedang menyediakan 'Buffet Ramadan 100+++' yang telah mendapat tauliah 'halal' dari Jakim.


NOTA
tulisan ini telah pernah disiarkan
dalam yahoo international
pada 26 julai 2012

-------

UNITED MALAYS NATIONAL ORGANISATION GADAI NEGARA





Perjanjian TPPA Merosak Ekonomi Rakyat,
 Menggadai Kedaulatan Negara !

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menggesa semua pihak bersatu menentang perjanjian TPPA yang disifatkan sebagai satu bentuk penjajahan baru. Lebih malang apabila penjajahan baru ini dihalalkan oleh pemerintah di atas kepentingan tertentu yang tidak menyebelahi rakyat.

Perjanjian multilateral terikat TPPA yang melibatkan negara Asia Pasifik seperti Australia, AS, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile, Brunei, Malaysia dan Vietnam juga berkisar tentang liberalisasi pasaran di mana negara ahli bebas berniaga di pasaran negara ahli secara terbuka. Persoalannya, sejauh manakah industri perkhidmatan kita bersedia untuk berdepan syarikat gergasi super multinasional barat?

Dari pengamatan SAMM, kesan TPPA sangat besar dan menyeluruh khususnya terhadap rakyat yang berpendapatan sederhana. Ianya lebih dari soal globalisasi perdagangan, ia turut meliputi penggubalan undang-undang bagi memberi laluan kepada agenda tersembunyi Amerika dan konglomerat dunia untuk terus menjarah negara, tanpa sempadan. Namun walaupun punya impak yang besar, perjanjian yang bakal ditandatangani pada Oktober nanti telah dibincangkan secara senyap dan penuh kerahsiaan. Apakah yang cuba disorokkan? 

Apakah melihat Perjanjian TPPA ini agak teknikal maka rakyat tidak berhak untuk mendapat penerangan dan memberi maklumbalas?

Kita amat yakin banyak pemain industri tempatan masih memerlukan bantuan kerajaan dalam meletakkan perniagaan mereka ke landasan maju dan berdaya saing terutama golongan bumiputera sedangkan TPPA dilihat tidak mesra kepada dasar yang membezakan antara pemain tempatan dan antarabangsa. Bagaimanakah kerajaan memastikan kedaulatan Malaysia akan dijaga dan bukan dijadikan bahan belasahan Konglomerat Kapitalis di Tribunal Timbangtara Antarabangsa kelak? 

Contoh, di Australia, Kerajaan mereka disaman oleh Philip Morris Tobacco Company hanya kerana mereka mahu implement kotak rokok plain. Belum pun TPPA dilaksanakan sepenuhnya, konglomerat kapitalis sudah mula menunjukkan sikap sebenar mereka walaupun perundangan yang ingin dilaksanakan itu sebenarnya memberikan kebaikan untuk rakyat tetapi ia merupakan kemusnahan kepada konglomerat kapitalis. Justeru, konglomerat bertindak menafikan kedaulatan sesebuah negara dalam melaksana tindakan berlandas dasar dan perundangan negara tersebut.

Kesedaran rakyat tentang isu TPPA amatlah penting. Maka SAMM bersama sekutu NGO dan front anak muda mahasiswa telah bertekad memastikan kefahaman tentang TPPA diperluas dan seterusnya melakukan beberapa aksi bagi menghalang kerajaan sewenang-wenangnya memetrai perjanjian yang menjahanamkan kehidupan rakyat negara ini. 

Bagi menambah momentum perlawanan terhadap perjanjian TPPA, beberapa siri demonstrasi telah disusun dan dijadualkan berlangsung pada 19 Julai 2013 bertempat di Masjid Wilayah. Demonstrasi 19 jun ini juga akan menyaksikan perarakan dari Masjid Wilayah ke ibu pejabat MITI untuk disampaikan sebuah memorandum. SAMM gesa warga lembah klang khususnya anak muda yang berkesempatan untuk hadir menyatakan bantahan terhadap perjanjian TPPA.

Rundingan rahsia TPPA yang mengheret Malaysia harus dihentikan segera. SAMM tidak menolak kemungkinan mesyuarat perjanjian TPPA pusingan ke-18 yang akan berlangsung di Kota Kinabalu bermula 15 Julai ini digagalkan oleh rakyat. Ia sekaligus menunjukkan kepada dunia bahawa masih ada penentangan dari rakyat bagi menjamin negara ini tidak dijajah kembali dalam bentuk ekonomi global.

Harus semua ingat, kesan TPPA terhadap rakyat adalah sangat besar dan cukup radikal, maka untuk melawan perjanjian dan persekongkolan penuh rahsia TPPA ini juga perlu bersifat radikal agar dunia tahu rakyat Malaysia tidak semudah diperkotak-katikkan.

che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)


-------