EPILOKpara pembaca tukar tiub yang budiman
secara tidak sengaja kelmarin saya
terserempak dengan tulis lama saya
ini ditulis lebih dari 10 tahun dahulu
ketika itu saya telah cuba menerangkan
sejelas mungkin tentang penipuan dalam
sistem pilihan raya di malaysia
10 tahun adalah masa yang lama
saya rasa agak lambat sekali para pembaca
dan orang ramai memahami apa yang saya tulis
ketika tulisan ini ditulis
tidak wujud blog
tidak wujud you tube
tidak wujud faceboook
tidak wujud tukar tiub
tidak wujud mysapce
tidak wujud friendster
tidak wujud radio bangsar utama
internet mahal
pakai dail up
ini menjadikan tulisan saya
agak susah untuk tersebar
pandangan dan teori yang saya ajukan
tidak meluas dan mengampoh
saya hanya menulis seminggu sekali di malaysdiakini
malah jumlah warga yang ada internet pun terhad
ketika itu malaysia kini baru berumur satu tahun
dalam tulisan ini saya mengajukan
- pilihan raya atau pilihan jalan raya -
ini adalah slogan dan laungan saya ketika itu
ketika itu
amat payah
amat susah
untuk membuka mata orang ramai
untuk orang ramai menerima hakikat:
bahawa jalan raya adalah metod
bahawa jalan raya adalah cara
untuk membuka rung demokrasi
bahawa hanya jalan raya
yang membawa kemenangan demokrasi
hari ini saya merasa senang hati
demo telah menjadi budaya
hari ini saya senang hati
kerana semakin ramai warga
yang melihat pilihan raya ini satu penipuan
buktinya:
bersih satu
bersih dua
bersih tiga
inilah perjalanan sejarah
ini buktinya jika idea itu betul
lambat laun ianya akan mengembang dan mengampoh
hari ini - 8 may 2011
saya telah mengembangkan teori -pilihan raya atau pilihan jalan raya
teori itu telah saya panjangkan
hari teori saya ialah: kita ke jalan raya sebelum ke pilihan raya
jika kita tidak ke jalan raya
maka kita akan terus ditipu
rancangan licik untuk menipu telah tersedia
untuk para pembaca tukar tiub
saya ucapan selamat membaca
NOTA:dari tulisan ini
muncul buku saya pertama
dengan nama yang sama
di cetak oleh malaysiakini
ketika saya dalam penjara kemunting
buku - pilihan raya atau pilihan jalan raya -
tidak ada lagi dalam pasaran
sekarang ini saya sedang menyediakan buku:
ke jalan raya sebelum ker pilihan raya
sila tunggu
PILIHAN RAYA ATAU PILIHAN JALAN RAYA
TURUN KE JALAN RAYA UNTUK PILIHAN RAYA ADIL
Dari arkib Malaysiakini: Hishamuddin Rais
12:01PM Mar 9, 2001
Perkembangan dan arus perbincangan politik mutakhir ini cukup segar. Penahanan Ezam Mohd Nor, Ketua Pemuda Keadilan, pada petang menjelang Hari Raya Korban telah membuka satu wacana politik yang wajib diteliti oleh orang ramai, aktivis politik dan pucuk pimpinan parti-parti terutama komponen Barisan Alternatif.
Agenda telah terhampar luas di hadapan mata iaitu konsep dan pemahaman tentang apakah maknanya pilihanraya dalam konteks demokrasi yang wujud di Malaysia hari ini.
Untuk menilai konsep ini, maka para pemimpin politik, aktivis parti, aktivis sosial, intelektual rakyat dan orang ramai wajib melihat dan membaca kembali sejarah dan makna 'satu kepala satu undi.'
Dalam sistem demokrasi berparlimen tidak ada satu sistem yang lebih telus, adil dan baik untuk memilih kerajaan melainkan dengan cara membuang undi. Sistem ini telah, sedang dan akan terus dipakai di semua negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.
Dalam konsep demokrasi berparlimen, sistem pilihanrayalah yang terbaik dan idea ini tidak mungkin boleh dinafikan oleh golongan demokrat, orang komunis, orang agama, orang liberal ataupun oleh kumpulan anarcho-libertarian. Tetapi sebelum sistem pilihanraya ini diterima pakai sebagai sistem pemilihan kerajaan, wajib wujud beberapa ciri, syarat dan hukum-hukum yang akan membantu untuk melahirkan ketrampilan sistem ini.

Rukun pertama dalam pemilihan wakil rakyat dan ketua negara ialah: Pilihanraya wajib dikendalikan oleh badan bebas dan badan bukan dilantik oleh kerajaan yang memerintah. Hanya dengan badan yang bebas barulah pilihanraya itu dilihat adil, telus dan boleh dipercayai.
Rukun pertama ini kelihatan tidak wujud di Malaysia. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang dilihat sebagai 'budak suruhan' kepada parti yang memerintah. Bukti yang paling senang dilihat ialah penetapan tarikh pilihanraya. Tarikh ini seharusnya ditetapkan oleh SPR dan bukan oleh parti yang sedang memerintah. Penetapan tarikh pilihanraya oleh parti yang sedang berkuasa akan memberikan 'keuntungan' awal kepada parti tersebut.
Stesen TV, radio sendiri Bukti kedua, dalam piliharaya umum 1999, jelas membuktikan bagaimana SPR telah menjadi alat kepada parti yang memerintah. Tiga tuntutan rakyat menjelang pilihanraya itu: Menghapuskan undi pos, menerima pemilih baru seramai 680,000 dan mencalit dakwat hitam di jari mereka yang telah mengundi - adalah tuntutan rakyat yang adil dan jujur. Tiga tuntutan ini bertujuan mengukuhkan lunas-lunas demokrasi, bukan untuk menggulingkan demokrasi.
Semua tuntutan ini boleh ditunaikan oleh SPR dengan senang jika lembaga ini sebuah badan yang bebas. Tetapi sayangnya, SPR bersilat lidah dan bordolak- dalik untuk tidak melakukan apa-apa terhadap tuntutan ini.
Rukun kedua dalam sistem pilihanraya 'satu kepala, satu undi' ialah keperluan mewujudkan ruang-ruang demokrasi. Ruang demokrasi bermakna orang ramai bebas berkumpul, berceramah dan berkempen. Ruang-ruang ini pula wajib disokong oleh lembaga media yang bebas - tetapi ia bukan pula bermakna Barisan Alternatif mahu liputan adil daripada Utusan Malaysia, RTM atau New Straits Times. Liputan media pro-Mahathir ini tidak lagi diperlukan kerana tidak lagi mempunyai apa-apa kewibawaan dan tidak dipercayai oleh orang ramai.
Apa yang BA perlukan ialah kebebasan untuk menjalankan jaringan media sendiri tanpa undang-undang yang menghalang dan menindas. Ini bermakna setiap parti politik boleh menerbitkan akhbar sendiri, boleh memiliki stesen radio sendiri atau mengendalikan stesen televisyen sendiri - selagi mereka ada kemampuan. Semua bentuk lesen yang bersangkutan dengan pengekangan media wajib dilihat sebagai antidemokrasi dan antipilihanraya.
Kenapa semakin ramai pengundi dan anak-anak muda yang bakal mengundi tidak lagi percaya kepada pilihanraya yang dikendalikan oleh lembaga SPR?
Jawapannya cukup senang: Pilihanraya hari ini tidak adil dan tidak bergerak atas lunas-lunas demokrasi.

Contohnya, pilihanraya untuk majlis perbandaran tempatan semenjak zaman awal kemerdekaan hingga ke tahun 1960-an tidak pernah dimenangi oleh Parti Perikatan yang memerintah. Akhirnya kerajaan Perikatan yang sentiasa kalah itu telah mengharamkam pilihanraya di peringkat majlis tempatan.
Sejarah penghapusan pilihanraya majlis tempatan adalah bukti terbaik bahawa jika pilihanraya itu boleh dimenangi oleh pihak lawan, maka pemilihan itu sendiri akan dhapuskan. Dalam wacana demokrasi dan pilihanraya, sejarah penghapusan majlis tempatan ini wajib terus dipaparkan kepada orang ramai sebagai ilmu politik dan kecacatan demokrasi di Malaysia.
Walaupun menghadapi pelbagai tekanan, beberapa parti politik yang menggunakan keadah 'satu undi, satu kepala' beberapa kali berjaya mara ke hadapan untuk mencabar dan menyingkir Perikatan (kini Barisan Nasional).
Diktator tumbang, demokrasi subur Apabila kejayaan dicapai pencabarnya, Umno melalui lembaga SPR akan mewujudkan undang-undang baru untuk menyekat kemaraan tersebut. Suruhanjaya pilihanraya akan menggubal syarat-syarat, hukum, kawasan dan undang-undang baru untuk memastikan pilihanraya seterusnya akan terus di menangi oleh Barisan Nasional dan kemaraan parti lawan dapat ditumpaskan.
Sistem pilihanraya seperti yang wujud di Malaysia hari ini pernah berjalan di Iran di zaman pemerintahan diktator Shah, di Filipina di zaman diktator Marcos dan di Indonesia di zaman diktator Suharto. Akhirnya rakyat di negara-negara ini memilih jalan raya untuk menyelesaikan penindasan yang mereka hadapi sekian lama.
Bantahan atau demonstrasi adalah satu daripada lunas-lunas demokrasi berparlimen. Berdemonstrasi di jalan raya untuk menunjukkan bantahan atau sokongan merupakan sebahagian hak-hak rakyat negara ini seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Hak berdemonstrasi juga diiktiraf oleh piagam hak asasi manusia di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Masyarakat dunia hari ini melihat kegiatan berdemonstrasi sebagai asas perjalanan demokrasi yang sihat.

Jadi tidak timbul isu sama ada demonstrasi ini budaya Timur atau budaya Barat. Sama seperti elektrik yang berasal dari Amerika Syarikat, kereta yang berasal dari Britain, alkohol yang berasal dari Mesir atau almari yang berasal dari Portugal - objek-objek ini telah menjadi hak milik manusia sejagat.
Begitu juga budaya tunjuk perasaan - di London, New York, Moscow, Dubai, Baghdad, Nairobi, Santiago, Beijing atau di Kulim - hak berkumpul dan menunjukkan perasaan adalah hak asasi sejagat yang demokratik.
Sebagai contoh di Indonesia, para demokrat, anak muda, mahasiswa dan orang ramai telah bangun untuk menjatuhkan Suharto. Mereka berjuang di jalan raya kerana Suharto telah memperkayakan anak-beranak, kaum keluarga dan kroni-kronnya selama lebih 30 tahun.
Harta dan wang rakyat telah dirampok oleh anak-beranak Suharto. Rakyat bangun di jalan-jalan raya dengan kemarahan yang amat sangat. Tetapi tindakan ini bukan bermakna tidak ada pilihanraya di Indonesia.
Pilihanraya memang dijalankan di Indonesia. Tetapi ketika pentadbiran Suharto, pilihanraya demi pilihanraya diadakan, hanya parti Golkar (ketuanya Suharto) berjaya memenanginya. Untuk mencapai kemenangan ini, diktator Suharto melakukan pelbagai cara: menangkap pemimpin parti lawan, mengharamkam media bebas, menghalang parti lawan agar tidak berupaya menyusun gerakan, menghalang rakyat daripada berkumpul atau mengeluarkan pendapat.
Jurdil - jujur, telus, adil
Kemenangan Golkar secara terus-menerus sebelum ini telah dipastikan oleh lembaga suruhanjaya pilihanraya yang dilantik oleh Golkar dan Suharto sendiri.
Keadaan ini merangsang rakyat untuk menumpaskan Suharto melalui jalanraya dan bukan melalui pilihanraya.
Ini bukan pula bermakna para demokrat seperti Amien Rais, Gus Dur, Gunawan Mohamed, Megawati Sukarnoputri, Arief Budiman, anak-anak muda, mahasiswa dan orang ramai di Indonesia tidak menghormati pilihanraya.

Menjatuhkan Suharto melalui jalanraya itu adalah syarat utama untuk melahirkan sistem pilihanraya baru di Indonesia yang memakai prinsip 'jurdil' - jujur, telus dan adil.
Jelaslah di sini bahawa pilihan-jalan-raya yang diambil di Indonesia, di Iran atau di Filipina itu merupakan satu jalan demokratik untuk memperluaskan dan mengukuhkan lagi lunas-lunas demokrasi.
Demokrasi di sini bukan hanya bermakna membuang undi. Jangan salah anggap jika kita memiliki tayar bermakna kita sudah memiliki sebuah kereta. Untuk sebuah kereta meluncur maju, ia memerlukan lebih daripada sebuah tayar.
Selepas kejatuhan Suharto, selain pilihanraya yang 'jurdil', media bebas dibenarkan dan tiada lagi permit penerbitan yang menghalang. Parti-parti dibenarkan wujud dengan memakai apa-apa ideologi, bukan seperti sebelumnya parti baru dilarang dan parti sedia ada diwajibkan menganut Pancasila.
Penahanan Ezam Isnin lalu akan memperluaskan wacana mengenai dua pilihan yang sedang kita hadapi sekarang - sama ada 'pilihan-raya' atau 'pilihan-jalan-raya' (demonstrasi).
Soalan-soalan yang wajib ditimbulkan ialah: Apakah masuk akal sistem pilihanraya 'satu kepala, satu undi' yang wujud di Malaysia hari ini? Apakah kita hanya boleh menentang kezaliman dan penindasan lima tahun sekali sahaja walhal kezaliman itu berlaku setiap detik?
Apakah masuk akal bahawa kita hanya boleh menegakkan keadilan lima tahun sekali sahaja - dari pukul 8.30 pagi hingga ke pukul 5.30 petang (kerana inilah masa yang ditentukan oleh SPR untuk membuang undi)?
Dan selama 4 tahun 364 hari kita harus taat setia tunduk merelakan kepala kita digodam, diinjak, ditindas dan ditipu oleh penguasa?
Kezaliman dan penindasan di Malaysia berlaku setiap saat. Maka terpulangkan kepada kita sebagai rakyat biasa untuk membuat perhitungan: 'pilihan-raya' atau 'pilihan-jalan-raya.'
(TT)
RADIO BANGSAR UTAMAlayari radio bangsar utama
radio internet ulung
radio internet berani melawan
radio unternet yang menyokong politik jalan raya
hanya dari radio bangsar utama
pendengar dapat mendengar suara melawan