Jumaat, 23 November 2018

MALAM KELMARIN DI UIA





Kerajaan patut bincang dulu isu ICERD, kata Forum Telawi

KERAJAAN sepatutnya berbincang dengan semua pihak berkepentingan sebelum mengumumkan hasrat mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang sekarang jadi polemik, kata ahli panel sebuah forum malam tadi.

Mereka berpendapat perkara sensitif seperti ICERD wajar diputuskan secara rundingan kerana ia melibatkan persoalan identiti, yang masih belum selesai di negara ini sejak lebih empat dekad lalu.

Aktivis sosial Hishamuddin Rais berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy sepatut mengambil pengajaran daripada langkah VT Sambanthan dulu semasa cuba menyelesaikan isu perpaduan selepas tragedi berdarah 13 Mei, 1969.

“Apa yang dilakukan dulu mereka bincangkan, bukannya hendak meluluskan dulu baru buat mesyuarat meja bulat.

“Ini proses demokrasi, kena faham ini,” katanya, mengimbau penglibatannya dalam perbincangan itu dulu sebagai wakil mahasiswa.

Hishamuddin berkata sebelum Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada 1971 pun, ada perbincangan dibuat dengan pihak yang berkepentingan.

“Inilah cara sepatutnya ia (isu ICERD) dilakukan. Ini penting kerana kita semua adalah pemegang taruh.

“Saya tidak melihat Waytha Moorthy sebagai menteri perpaduan tetapi menteri perpecahan,” katanya dalam forum Apa Perlunya ICERD Untuk Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Acara dianjurkan Forum Telawi, sebuah kumpulan percambahan idea dengan kerjasama Komuniti Artport dan sukarelawan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM.

Pada 26 Oktober lalu, Waytha Moorthy dilaporkan berkata kerajaan Persekutuan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia, termasuk ICERD pada suku pertama tahun hadapan.

Bagaimanapun Isnin lalu, ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2019 pada peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, beliau berkata kerajaan hanya akan meratifikasikan ICERD jika ada keperluan, selepas mengambil kira pandangan semua pihak.

Pendapat yang sama dikongsi ahli panel Amir Abd Hadi dari Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang menyifatkan suasana tegang sekarang timbul kerana kerajaan gagal menjelaskan mengenai ICERD kepada rakyat dan pihak berkepentingan, termasuk Majlis Raja-Raja.

Kesilapan kerajaan itu memberi ruang kepada kelompok yang selama ini berpaut pada isu agama dan kaum untuk kekal relevan dalam arena politik negara dengan memainkan isu berkenaan.

“Saya rasa perlu dan penting untuk kerajaan buat perbincangan dan penerangan apa itu ICERD sebelum ia ditandatangani dan diratifikasi seperti yang dimaklumkan oleh menteri.

“Saya rasa perbincangan ini perlu dilakukan segera kerana keadaan sekarang ini sudah menjadi kacau bilau dan menakutkan,” katanya.

Dua parti terbesar Melayu Islam, PAS dan Umno bergabung untuk mengadakan Himpunan Bantah ICERD secara besar-besaran pada 8 Disember depan di Kuala Lumpur. Sebelum itu, beberapa perhimpunan dijadual diadakan di beberapa tempat di seluruh negara hari ini selepas solat Jumaat.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam beberapa kenyataan menggesa semua pihak menolak cadangan kerajaan mengiktiraf ICERD, manakala Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran orang Melayu akan mengamuk jika ia dimeterai.

Meskipun melihat tindakan Umno dan PAS itu sebagai ekstrem, penulis dan penganalisis politik, Hasmi Hashim merasakan pemimpin kerajaan Pakatan Harapan juga bersalah kerana tidak faham dengan agenda perubahan dan reformasi.

“Ada (pemimpin) yang hendak merampas perubahan untuk pandangan yang dia faham sebagai menguntungkan pihak tertentu. Kita kena ikhlas dan jujur.

“Semua tahu Umno jahat tetapi kita ini macam mana? Benar dan suci semuakah? Faham agenda perubahan dan reformasi? Tidak,” katanya.

Hasmi berkata tindakan pemimpin yang tidak sensitif dengan perasaan orang Melayu menimbulkan kemarahan mereka kerana merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

“Ini bukan soal orang Melayu faham Perlembagaan (Persekutuan) atau tidak. Tetapi mereka tahu ada hal yang tidak kena.

“Hendak faham macam mana kalau kita latarkan ICERD ini dengan surat menteri yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan. Makcik di kampung terasa apabila papan tanda nama jalan bukan bahasa kebangsaan. Jadi ada hal yang belum selesai,” katanya. – 23 November, 2018.




-----------------

Tiada ulasan: