Rabu, 21 Oktober 2020

USULPERCATA PADA MUHYIDDIN

 


TAK DAPAT BUTA

UNDI TAK CAYA

BUAT UNDI CAYA

AMIN

SENANG CERITA



Tiba masanya 

ahli Parlimen kerajaan 

bawa usul percaya PM

KEDUDUKAN Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam persimpangan selepas Anwar Ibrahim mendakwa beliau mendapat sokongan majoriti meyakinkan pada 23 September 2020.

Beberapa ahli Parlimen telah menghantar usul undi tidak percaya kepada perdana menteri susulan ketempangan Muhyiddin menguruskan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), khususnya sikap Jemaah Menteri PN yang cuai sehingga berlaku gelombang kedua Covid-19.

Undi tidak percaya bukanlah satu perkara baharu. Dr Mahathir Mohamad telah mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin. Usul tersebut telah diletakkan di nombor 27 dalam kertas Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat pada 13 Julai 2020 dan ia tidak pernah dibahaskan sehingga hari ini. 

Persoalannya, apakah signifikan ahli Parlimen pembangkang menghantar usul undi tidak percaya sekiranya ia tidak dapat diputuskan oleh Parlimen? Apakah kerajaan PN berani menyokong usul ini untuk dibahaskan?

Ahli Parlimen kerajaan perlu mulakan dahulu

Hakikatnya, undi tidak percaya kepada perdana menteri tidak pernah berlaku dalam sejarah Parlimen Malaysia. Sudah menjadi amalan Parlimen Malaysia bahawa usul ahli Parlimen pembangkang sukar untuk dibahaskan di Parlimen. Walaupun ketua pembangkang membawa undi tidak percaya kepada perdana menteri di Dewan Rakyat, tetapi ia  tidak menjamin usul tersebut akan dibahaskan. 

Ini pernah berlaku pada 5 November 2015, usul undi tidak percaya kepada Najib Razak yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang waktu itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail hanya diterima Speaker Dewan Rakyat sebagai usul nombor 31 dalam kertas Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat. Tetapi, undian tersebut tidak pernah berlaku.

Bagi mengatasi limitasi ini, bukankah lebih baik ahli Parlimen yang menyokong (backbencher) kerajaan PN membawa usul undi percaya kepada perdana menteri?

Undi percaya terhadap perdana menteri pernah berlaku pada tahun 1976 apabila Dewan Rakyat mengemukakan usul undi percaya kepada Hussein Onn yang baru mengambil alih jawatan perdana menteri selepas Abdul Razak Hussein meninggal dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan pernah menyatakan bahawa PAS akan membawa usul undi percaya bagi menunjukkan kepada perdana menteri pada sidang Parlimen 13 Julai yang lalu. Ini bukti undi percaya lebih mudah dan pragmatik untuk menguji sokongan terhadap perdana menteri kerana ia dibawa pihak kerajaan.

Usul undi percaya daripada ahli Parlimen kerajaan amat berkesan berbanding pembangkang. Desakan mereka akan memberi tekanan langsung kepada perdana menteri dan Jemaah Menteri di Parlimen.

Jika Jemaah Menteri gagal membawa usul undi percaya di Parlimen, maka risiko perdana menteri hilang sokongan agak tinggi dan boleh menyebabkan kerajaan akan tumbang atau pilihan raya akan diadakan secepat yang mungkin.

Dalam perkara ini, Majlis Ahli Parlimen PN (PNBBC) yang dipengerusikan Shahidan Kassim, perlu mendesak perdana menteri bersetuju untuk membawa undi percaya bagi membuktikan sokongan Parlimen terhadap kerajaan PN.  Langkah ini wajar kerana terdapat beberapa ahli Parlimen yang menyokong PN juga telah mengkritik pentadbiran Muhyiddin Yassin, khususnya ahli Parlimen Umno.

Pada 13 Oktober 2020, Biro Politik Majlis Tertinggi Umno membuat pertimbangan menarik diri daripada PN dan akan memberi syarat baharu kepada perdana menteri jika ingin mengekalkan sokongan Umno kepada PN. 

Malangnya, hanya seorang ahli Parlimen kerajaan yang menghantar usul undi tidak percaya, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah. Tindakan ini amat mengecewakan kerana ahli Parlimen kerajaan, termasuk ahli Parlimen Umno yang agak lantang dengan perdana menteri, lebih menekankan rundingan dan tawar-menawar politik berbanding hadir ke Parlimen bagi membuktikan Muhyiddin masih mempunyai sokongan.

Jika separuh daripada 113 orang ahli Parlimen kerajaan PN mendesak agar undi percaya ini dikemukakan oleh Jemaah Menteri di Dewan Rakyat, tentunya ia akan mengikat perdana menteri untuk tunduk dengan permintaan tersebut atau kerajaan akan tumbang.

Menjadi penentu kerajaan bertaggungjawab

Sekiranya Muhyiddin survive dalam undi percaya, beliau tidak boleh cepat selesa kerana terdapat cara lain untuk ahli Parlimen menunjukkan undi tidak percaya kepada perdana menteri, seperti undian menolak Belanjawan 2021 dan Rang Undang-Undang yang akan dibentang oleh kerajaan.

Hakikatnya, ahli Parlimen penyokong kerajaan perlu mengalami fasa perubahan dalam sistem demokrasi Malaysia. Daripada sebuah blok ahli Parlimen yang sentiasa dikawal dan menjadi pak turut kepada Jemaah Menteri kepada ahli Parlimen kerajaan yang lantang dan kritikal kepada pemimpin untuk memastikan kerajaan lebih bertanggungjawab.

Ahli Parlimen kerajaan juga perlu terbuka dan mendesak perdana menteri membuktikan sokongan di Parlimen, bukan lari dan hanya memainkan polemik politik kurang matang. Mereka ini sebenarnya yang menjadi penentu kestabilan kerajaan di Parlimen.

Tidak salah sekiranya ahli Parlimen penyokong kerajaan memberi sokongan kepada perdana menteri sekiranya kerajaan benar-benar meyakinkan. Tetapi, jika kerajaan disokong gagal dalam menguruskan negara, maka mereka perlu menjadi “rotan” (Whip) untuk menghukum Jemaah Menteri yang diketuai perdana menteri.

Faktanya, undi percaya selari dengan peruntukan perlembagaan persekutuan dan Parlimen seharusnya diberikan ruang untuk menentukan kedudukan kerajaan PN. Ahli Parlimen menyokong kerajaan dan Jemaah Menteri perlu mempertimbangkan undi percaya ini bagi mengakhiri kemelut politik yang tidak berkesudahan.

Realitinya, ketika pemimpin politik sedang mencatur langkah siapa yang mendapat angka dan bakal perdana menteri, rakyat pula sudah merasa kurang senang dan kecewa dengan kemelut politik Malaysia yang kian berpanjangan.

Malaysia perlukan sebuah kerajaan yang mempunyai legitemasi dan mandat yang kukuh di Parlimen bagi menempuh era krisis Covid-19 yang sedang kritikal dan ekonomi rakyat yang hampir tenat. – 20 Oktober, 2020.

*Fakhrurrazi Rashid adalah koordinator penyelidik Research for Social Advancement (Refsa).


MUHYIDIN

WAJIB BUKITKAN

OPPS...

BUKTIKAN 

DIA ADA

SOKONGAN

AMIN



Tiada ulasan: