242 juta kanak-kanak terjejas akibat perubahan iklim tahun lalu - UNICEF
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan sesi pembelajaran kira-kira 242 juta kanak-kanak di 85 negara tahun lalu, terganggu akibat cuaca melampau.
Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF) menerusi laporannya semalam, berkata ia menjejaskan hampir satu pertujuh pelajar, selain mengakui kesal dengan keadaan yang disifatkan sebagai aspek 'diabaikan' dalam krisis iklim.
Berdasarkan laporan itu, jumlah 242 juta berkenaan adalah 'anggaran konservatif', merujuk kepada kekurangan dalam data.
Katanya, gelombang haba memberi kesan terbesar, manakala Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell, dalam kenyataan memberi amaran kanak-kanak lebih 'terdedah' kepada cuaca melampau.
"Pemanasan badan dalam kalangan kanak-kanak berlaku lebih pantas, mereka berpeluh secara kurang cekap, selain penyejukkan pula lebih perlahan berbanding dewasa.
"Kanak-kanak tak dapat beri tumpuan di kelas kerna tidak dilengkapi sistem pengudaraan yang mampu mengatasi panas terik, selain gagal ke sekolah jika laluan dilanda banjir ataupun fasiliti berkenaan dihanyutkan bah," katanya.
Aktiviti manusia, termasuk pembakaran bahan api fosil tanpa sekatan selama beberapa dekad, mengakibatkan pemanasan bumi dan mengubah corak cuaca.
Suhu purata global mencatatkan rekod tertinggi pada 2024, selain julung kalinya melepasi nilai ambang kritikal bagi pemanasan sebanyak 1.5 darjah Celcius sejak beberapa tahun lalu.
Keadaan itu menyebabkan hujan semakin lebih lebat dan tempoh kering menjadi lebih lama, haba dan ribut turut memuncak, sekali gus menjadikan penduduk lebih terdedah kepada bencana.
Mengikut data tersedia, murid tadika hingga sekolah menengah mengalami penangguhan kelas, pindaan jadual pembelajaran, pembukaan semula sesi pesekolahan tertunda, jadual waktu diubah, dan sekolah rosak atau musnah sepanjang tahun akibat perubahan iklim.
Sekurang-kurangnya 171 juta kanak-kanak terjejas akibat gelombang haba, termasuk 118 juta hanya pada April lalu, apabila suhu meningkat di Bangladesh, Kemboja, India, Thailand dan Filipina.
Di Filipina khususnya, ribuan sekolah tidak dilengkapi penyaman udara terpaksa ditutup dan kanak-kanak berisiko mengalami hipertermia iaitu peningkatan suhu badan jauh lebih tinggi berbanding paras normal. - AFP
1 ulasan:
manusia sendiri lalai melampaui batas sampai bila? makin terlewat x mau berubah tunggu saat binasa dengan lebih malapetaka terus malapetaka iklim & ALAM semuanya sekarang wajib berubah!!
Catat Ulasan