Pakar gesa Putrajaya ketat kawalan sempadan kekang Omicron
KETIKA varian Omicron mula berkembang pesat di seluruh dunia, pakar kesihatan menyeru agar kawalan sempadan diperketatkan bagi menghalang strain baharu itu bertapak di Malaysia.
Menurut kajian baru-baru ini oleh saintis Jepun Hiroshi Nishiura, profesor kesihatan dan sains alam sekitar di Universiti Kyoto dan penasihat Kementerian Kesihatan Jepun, varian Omicron berkemungkinan empat kali lebih mudah berjangkit berbanding varian Delta.
Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan tidak mungkin varian ini akan merebak kepada penduduk di Malaysia pada masa ini.
Tetapi kawalan sempadan, yang sedang dilonggarkan secara beransur-ansur apabila negara dibuka semula, perlu lebih ketat terutamanya melibatkan kemasukan secara haram, tambahnya.
“Kami sudah berbincang dengan KKKM. Pada ketika ini, kita perlu memperketatkan kawalan sempadan dan menambah baik ujian saringan komuniti. Jika terdapat jangkitan dalam komuniti, ia boleh menjadi tidak terkawal,” kata Lee kepada The Malaysian Insight.
Tambahnya, buat masa ini, orang ramai tidak perlu panik dengan varian Omicron.
Varian itu kini menular di Eropah, Afrika, Australia dan negara lain, tetapi jika wabak berlaku di negara jiran seperti Filipina, Indonesia dan Thailand, maka ia boleh merebak ke dalam komuniti di sini, terutamanya jika kawalan sempadan terhadap kemasukan secara haram tidak diketatkan.
Malaysia berkongsi sempadan yang poros dengan negeri Kalimantan Indonesia di pulau Borneo; dengan selatan Thailand di semenanjung, dan melalui laut di Sabah dengan pulau-pulau di selatan Filipina.
Varian Omicron baru-baru ini dikesan di Malaysia pada seorang warga Afrika Selatan berusia 19 tahun, seorang pelajar di universiti swasta yang memasuki Semenanjung Malaysia dari Singapura, tetapi segera dikawal.
Malaysia kini mengenakan larangan terhadap pelancong yang masuk dari lapan negara Afrika.
Lee memuji KKM kerana bertindak pantas dan proaktif dengan mengasingkan pelajar dan mengesan serta menyaring kontak rapat individu itu, dan mengasingkan mereka juga.
Malaysia kini membenarkan perjalanan tanpa kuarantin kepada mereka yang sudah divaksin dengan Singapura bagi laluan perjalanan udara dan darat, dan merancang memulakan inisiatif yang sama dengan Indonesia selepas ini tetapi ditangguh kerana varian Omicron.
Majlis Pemulihan Negara juga mencadangkan agar sempadan negara dibuka semula kepada penggembara asing pada 1 Januari 2022, bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi khususnya bagi sektor pelancongan.
Lee berasa ia akan bergantung kepada situasi melibatkan wabak Omicron. Beliau juga menegaskan Malaysia mesti menyelesaikan pemberian dos penggalak kepada penerima vaksin Covid-19 yang sudah menerima dua dos pertama mereka.
Beliau berkata KKM perlu membenarkan mereka yang mendapat dua suntikan Sinovac menerima vaksin yang sama sebagai dos penggalak dan bukannya Pfizer.
“Ia (Sinovac) perlu disediakan sebagai pilihan bagi dos penggalak,” kata Lee.
Pendekatan bersasar
Dekan Pusat Pengajian Perubatan dan Sains Hayat Universiti Sunway Dr Abhi Veerakumarasivam menentang lebih banyak larangan perjalanan walaupun terdapat kebimbangan mengenai Omicron.
“Hakikatnya, Omicron sudah pun merebak ke banyak negara, membuatkan kita mempersoalkan kesahihan larangan yang disasarkan dari negara tertentu.
“Pendekatan lebih bersasar seperti pendekatan kesihatan awam yang betul dengan memfokuskan campur tangan pada masa yang tepat kepada populasi yang betul - berpandukan bukti dan data yang kukuh - adalah penting,” kata Abhi.
Penutupan sepenuhnya sempadan dan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan tidak akan bertahan, tambah profesor genetik itu, terutamanya memandangkan majoriti penduduk sudah diberi vaksin dan hanya individu sedemikian dibenarkan melancong ke peringkat antarabangsa.
Beliau juga berpendapat larangan perjalanan yang menyasarkan negara tertentu boleh memberi kesan negatif dengan tidak menggalakkan perkongsian data mengenai virus itu.
“Cara di mana negara di seluruh dunia mengenakan larangan perjalanan ke beberapa negara di Afrika selepas laporan pertama varian Omicron, pastinya akan menghalang lebih banyak negara daripada melabur dalam lebih banyak pengawasan genomik dan perkongsian terbuka maklumat mengenai varian yang menjadi kebimbangan pada masa depan,” katanya.
Langkah baru-baru ini untuk menyokong ujian lebih ketat dan bersasar, kuarantin dan pemantauan pengembara, adalah strategi yang tepat untuk bergerak ke depan, tambahnya.
Pakar imunopatologi Dr Sibrandes Poppema berkata, prosedur ujian saringan dan kuarantin bagi pengembara yang masuk ke negara ini, yang kini dilaksanakan berfungsi dengan baik, ditunjukkan dengan tindakan pantas diambil terhadap kes Omicron yang dikesan.
“Kes positif bagi individu sudah mendapat vaksinasi lengkap dan dikenal pasti melalui ujian saringan dan penjujukan serta diletakkan di bawah kuarantin, menjadikan risiko penularan minimum,” kata presiden Universiti Sunway itu.
Bagaimanapun, beliau menambah kita “tidak tahu apa yang kita tidak tahu” dan tidak mungkin menutup Malaysia sepenuhnya daripada varian baharu itu.
“Tetapi kita mesti mengehadkan kesannya,” tambah beliau. – 14 Disember, 2021.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan