SIAPA BUNUH JFK
Aku masih ingat lagi pagi Senin 25 November 1963. Pagi itu aku bersama kawan-kawan murid darjah enam duduk di bangku panjang di tuck shop Goverment English School Kuala Klawang Jelebu. Kami berhenti rehat – jam 10 - menunggu loceng berbunyi.
‘ Presiden Amerika kena bunuh... dia kena tembak...’ Ini perbualan kami pagi itu. Entah dari mana berita ini di kutip aku tidak ingat. Tapi inilah labun kami pagi itu.
‘ President Kennedy assasinated...not killed ... assasinated ... ‘ Mister Manjet Singh guru darjah kami pagi itu memperkenalkan satu perkataan baru. Apa beza assasinated dengan killed tidak pula di terangkan.
Di rumah aku membaca akhbar Utusan Melayu tentang pembunuhan Presiden John F Kennedy. Sosok ini ialah Presiden Amerika yang ke 35. Aku pun tidak tahu kenapa ada huruf F lepas nama Kennedy.
Utusan Melayu melaporkan Presiden Amerika yang termuda ini telah di tembak mati pada Jumaat 21 November 1963. Dia di tembak oleh Lee Harvey Oswald di Dallas Texas ketika melakukan lawatan resmi.
Dua hari kemudian aku terbaca pula berita Lee Harvey Oswald - pembunuh Kennedy telah juga di tembak mati oleh seorang bernama Jack Ruby. Dari apa yang aku baca dari Utusan Jack Ruby ini penyokong setia Presiden Kennedy. Dia amat marah kepada Oswald lalu dia menembak mati Oswald.
Ini pemahaman aku pada tahun 60’an tentang pembunuhan John F Kennedy. Khalas.
Kemudian pada 30 Oktober 1966 Presiden Lyndon B Johnson dari Amerika datang melawat Malaysia. Presiden Amerika ini melawat Felda di Labu Sendayan Negeri Sembilan. Ramai penghuni Felda ini berasal dari Jelebu. Malah rumah keluarga Felda yang dilawati oleh Johnson itu ialah rumah orang dari kampung aku - Kampung Amar Penghulu Jelebu. Selepas Johnson melawat Felda Sendayan nama Felda ini beralih menjadi Kampung LBJ.
Kemudian pada tahun 1968 aku terbaca pula berita Robert Kennedy adik kepada John F Kennedy di tembak mati oleh anak muda Palestin bernama Sirhan Bishara Sirhan. Robert Kennedy ini pada ketika itu sedang berkempen untuk menjadi calon Presiden dari Parti Demokrat.
Aku juga membaca berita dua pemimpin Negro – Malcolm X di tembak mati pada tahun 1965 dan Martin Luther King di tembak mati pada tahun 1968.
Apa yang terus menarik perhatian aku ketika ini ialah berita Janda Cun bernama Jaqueline Kennedy. Ini janda Presiden Kennedy. Aku tidak akan ketinggalan untuk terus membaca untuk mengikuti apa saja berita tentang Janda Cun ini.
Malah bila Janda Cun ini berkahwin dengan Aristotle Onassis aku di Jelebu merasa amat kecewa. Ini kerana Janda Cun ini telah sanggup berkahwin dengan jantan gemuk muka berkedut yang 23 tahun lebih tua darinya. Tetapi Jantan Gemuk ini dilaporkan ini amat kaya.
Ketika semua ini berlaku aku belum memiliki kesedaran politik. Apa yang di tulis oleh Utusan Melayu dan apa aku dengar dari Radio Malaya pada ketika itu adalah berita dan maklumat kebenaran untuk aku.
Bila aku memasuki Universiti Malaya dan menjadi ahli Kelab Sosialis pada tahun 1971 baru aku sedar kenapa Presiden Johnson datang melawat Malaysia. Rupa-rupanya Presiden Amerika ini mahu melobi Perdana Menteri Tungku Abdul Rahman untuk menghantar askar membantu Amerika dalam Perang Vietnam.
Aku juga dapat tahu juga ketika Johnson melawat Sendayan ada demo di Seremban di susun oleh Parti Buruh dan Parti Rakyat yang menentang Amerika. Dari Kelab Sosialis aku mendapat pemahaman tentang apa itu imperialis.
Aku diberi kesedaran bahawa Amerika dan Britain – Anglo-American - ialah negara imperialis dan musuh rakyat dunia. Hingga ke hari ini kuliah pencerahan di Kelab Sosialis menjadi pedoman politik aku.
Aku menimbulkan kembali kes pembunuhan JFK ini kerana ketika Donald Trump berkempen dia telah membuat janji jika dia menang dia akan membuka kembali siasatan kes kematian John F Kennedy.
Dalam masa yang sama Robert F Kennedy Junior anak buah arwah JFK juga telah ikut sama membantu Trump berkempen. Ayah sosok ini - Robert F Kennedy - juga mati kena tembak.
Dari apa yang aku baca kes pembunuhan JFK ini tidak pernah reda. Setakat tahun 2022 lebih dari 22 buah buku non-fiksyen telah ditulis tentang kes pembunuhan ini. Lebih dari 11 dokumentari dan filem telah di buat tentang kes ini. Pada tahun 1991 Oliver Stone dari Holywood telah mengarahkan sebuah filem bernama JFK. Filem kontroversial ini menolak teori JFK ditembak mati oleh seorang penembak sahaja.
Hampir ke semua buku dan filem menolak naratif resmi bahawa JFK dibunuh hanya oleh satu sosok yang bernama Lee Harvey Oswald.
Enam puluh tahun selepas Presiden John F. Kennedy dibunuh, sebilangan besar rakyat Amerika terus percaya bahawa Lee Harvey Oswald tidak bertindak sendirian tetapi sebaliknya, ada orang lain terlibat dalam konspirasi untuk membunuh presiden.
Dari kajian terakhir tahun 2023 terdapat 65% warga dewasa Amerika menganggap Oswald bekerja secara bersama dengan orang lain. Hanya 29% warga Amerika yang percaya bahawa Oswald membunuh JFK sendirian.
Hari ini Donald Trump telah menang dan kembali menjadi Presiden. Robert F Kennedy Junior kini dalam kabinet Trump. Maka kini Trump telah mengotakan janji kempennya.
Pada 17 Mac 2025 Trump mengumumkan bahawa "semua fail Kennedy" akan dikeluarkan pada keesokan harinya. Jabatan Kehakiman wajib melunaskan Arahan Eksekutif Trump. Mengikut kiraan Arkib Negara Amerika, sebanyak 2,182 rekod dikeluarkan mengikut arahan Trump dalam bentuk PDF, dengan jumlah hampir 64,000 muka surat.
Tapi ini masih bukan kesemua fail. Masih ada lagi fail bersama CIA dan FBI yang belum muncul. Malah ada juga maklumat yang masih di tutup dengan dakwat hitam
Justeru siapa dan mengapa JFK di bunuh ?
Kajian pungutan suara 2013 dari Gallup telah mendapati bahawa ramai percaya pembunuhan Kennedy adalah kerja berbilang pelakon. Antaranya Kerajaan Federal pada masa itu, lembaga CIA dan FBI juga terlibat. Malah 11% pula percaya Mafia juga memainkan peranan yang penting.
Secara keseluruhannya kajian 2013 ini mendapati 38% berpendapat Oswald tidak bertindak bersendirian. CIA, FBI, Perkhidmatan Rahsia dan Naib Presiden Lyndon Johnson -- sebagai terlibat.
Naratif yang besar cukup mudah untuk menunjukkan ada kerjasama antara para pelakon ini. Pertama Presiden Kennedy telah marah dengan CIA. Mengikut fail yang di buka kemarahan JFK ini berpunca dari kegagalan episod Bay of Pigs.
Pada tahun 1961 CIA telah mencadangkan kepada Kennedy bahawa rakyat Cuba akan bangun memberontak jika Presiden JFK menghantar satu pasukan soldadu ke Cuba.
Maka pada 17 April 1961 - soldadu Amerika bersama gerila anti Castro telah masuk menyerang Cuba di Bays of Pigs. Serangan ini gagal kerana tidak apa pun rakyat Cuba yang bangun sama membantu soldadu Amerika seperti yang di war warkan oleh CIA. Hasilnya 118 soldadu Amerika tewas. JFK di malukan oleh Fidel Castro Presiden Cuba.
Presiden Kennedy amat marah dengan CIA. Akhbar The New York Times pada 25 April 1966 mengutip kata-kata JFK : "Shatter the CIA into a thousand pieces and scatter it to the winds - "Saya akan memecah CIA menjadi seribu keping dan menghamburkannya ke angin."
Fail JFK yang baru dibuka menunjukkan James Jesus Angelton – Pegawai Tertinggi CIA – telah lama mengenali Lee Harvey Oswald. Malah intipan telah berjalan lama terhadam sosok ini. Selama ini naratif yang disebarkan ialah Oswald ini pro-Komunis dan anti-Amerika. Tidak ada sangkut paut dengan CIA. Justeru berniat untuk membunuh JFK.
Dalam buku The Man Who Killed Kennedy yang muncul pada tahun 2013 penulisnya oleh Roger Stone telah menuduh Presiden Johnson terlibat sama.
Melalui kajian mendalam penulis Roger Stone yakin bahawa Lyndon Johnson membunuh Presiden John F. Kennedy. Lyndon Johnson yang ketika itu Naib Presiden Amerika telah memanipulasi keadaan di Dallas pada 22 November 1963. Mengikut buku ini LBJ akan berhadapan dengan tuduhan rasuah. Tuduhan ini akan dibuka oleh Kennedy.
Dalam masa yang sama Presiden Kennedy juga menghalang Israel dari membuat bom nuklear. Dari sudut ini di lihat Israel juga memiliki kepentingan untuk menjimatkan Presiden Kennedy.
Dimana pula peranan Mafia. Pada hemat aku aku peranan Mafia ini amat menarik. Sila tunggu minggu hadapan. (TT)
TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI
https://www.malaysiakini.com/columns/740338