BILIK SULIT
Akta Pencegahan Penjenayah: Satu Mainan
Media dan Kuasa
2
Oktober, 2013 – Di mana-mana Negara di dalam dunia ini, ada sang penguasa yang
menggunakan media arus perdana untuk “membina persetujuan” (manufacturing
consent) di antara golongan elit dengan masyarakat massa agar kekal berkuasa.
Bermula daripada Perang Dunia Pertama dan Kedua, Perang Vietnam sehingga ke
konflik di Asia Tengah hari ini, jika dianalisa secara kritis, media arus
perdana mendukung agenda mereka yang berkuasa untuk mengawal politik dan
ekonomi dunia.
Di
Malaysia, para pengkaji media kritikal akan bersetuju bahawa analisa media
tidak dapat dipisahkan daripada kuasa, mahupun sebaliknya. Misalnya setelah
Wawasan 2020 dilancarkan oleh Mahathir pada tahun
1991, dua masalah sosial yang dianggap serius di kalangan anak muda secara
tiba-tiba menjadi isu hangat lagi heboh dalam media arus perdana sekitar tahun
1993 – “budaya lepak” dan “bohsia”.
Media
arus perdana melabelkan “budaya lepak” sebagai kegiatan merayau di kalangan
pemuda pemudi, dan “bohsia” sebagai gadis remaja yang terdedah kepada pergaulan
bebas. Malah, media arus perdana juga mengaitkan “budaya lepak” dan “bohsia”
sebagai punca segala penyakit sosial lain seperti penagihan dadah, merokok,
masalah displin, pelajaran dan kesihatan. Penglabelan ini mengukuhkan persepsi
bahawa anak muda terjebak dengan gejala sosial yang tidak sihat dan perlu
diatasi dengan segera demi mencapai Wawasan 2020.
Akhirnya
media arus perdana berjaya mewujudkan budaya takut lagi mengukuhkan hegemoni di
mana rakyat cenderung “bersetuju” (consent) dengan program kerajaan seperti
Karisma, Rakan Sukan dan Briged Muda bagi “menyelamatkan” para pemuda pemudi.
Secara tidak langsung masyarakat umum “disatupadukan” di atas kedua-dua masalah
sosial itu dan seterusnya menyokong dasar kerajaan di bawah agenda Wawasan 2020,
maka sebarang suara yang mempersoalkan dasar sang penguasa dipinggirkan sama
sekali.
Hari
ini kami menyaksikan satu lagi adegan baru dengan skrip lama – Pindaan Akta
Pencegahan Jenayah (PCA). Bacaan pertama pindaaan PCA dibacakan oleh Menteri Dalam Negeri Ahmad
Zahid minggu lalu di Dewan Rakyat bertujuan mengukuhkan kedudukan untuk menahan
penjenayah tanpa bicara sehingga dua tahun. Penahanan tanpa bicara merupakan
intipati utama dalam akta zalim – Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang
telahpun dimansuhkan, namun kini dihidupkan semula dalam PCA yang sedang
dipinda.
Biarpun aktivis sosial dan politik
yang progresif kuat menyanggah pindaan PCA, pandangan masyarakat umum
kemungkinan besar berbeza dalam isu ini. Hal ini kerana sang penguasa mula
“membina persetujuan” dengan laporan kes tembakan demi kes tembakan dalam media
seawal Julai sehingga ke Ogos. Bekas Ketua Polis Ismail Omar pernah
berkata, peningkatan kadar jenayah adalah disebabkan oleh pemansuhan ISA dan
Akta Darurat, di mana sejumlah 1,473 tahanan dibebaskan.
Projek “membina
persetujuan” ini diikuti pula dengan babak-babak: pertama, laporan berita rumah
terbuka hari raya Menteri Dalam Negeri sendiri diganggung samseng pada 24hb
Ogos; kedua, nama dan ciri-ciri khas 52 individu dan 49 pertubuhan haram
disiarkan dalam semua media arus perdana pada 27hb dan 29hb Ogos; ketiga,
laporan mengenai tangkapan besar-besaran dijalankan di seluruh Negara mulai
akhir Ogos; akhirnya, pembentangan pindaan PCA di Dewan Rakyat pada akhir
September. Walaupun Ahmad
Zahid berkata kerajaan masih terbuka untuk membincangkan penambahbaikan
terhadap pindaan PCA selepas bacaan kedua, dia turut memberi amaran kepada
peguam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar tidak menyebelahi penjenayah
dalam menentang pindaan ke atas PCA.
Kisah “budaya lepak” dan “bohsia”
dikongsi lebih awal untuk memperlihatkan persamaan skrip “membina persetujuan”
dalam kedua-dua adegan ini:
Pertama,
merekacipta sebab musabab, iaitu penyakit sosial di kalangan pemuda pemudi
menjadi batu penghalang kepada Wawasan 2020, dan keselamatan masyarakat terancam
kerana mansuhnya ISA dan Akta Darurat serta kewujudan pertubuhan haram;
Kedua,
mewujudkan matlamat utama, iaitu mencapai Wawasan 2020, dan mengembalikan kuasa
menteri dengan menghidupkan semula intipati utama ISA iaitu penahanan tanpa
bicara;
Ketiga,
menjalankan propanganda media, iaitu “menyatupadukan” rakyat melalui krisis
moral di kalangan anak muda bagi menyokong agenda Wawasan 2020; “menyatupadukan”
rakyat melalui krisis keselamatan Negara bagi menyokong penahanan tanpa bicara.
Persoalannya, adakah kadar jenayah hanya meningkat
selepas ISA dan Akta Darurat dimansuhkan? Apakah motif sebenar pelaporan media
yang hanya fokus krisis keselamatan Negara hasil daripada pemansuhan ISA dan
Akta Darurat, tanpa menyelami isu integriti dan kebertanggungjawaban polis, isu
peluang pendidikan dan pekerjaan semua lapisan masyarakat, dan jurang
kemiskinan yang kian melebar dalam masyarakat? Siapakah sebenarnya yang
mendapat manfaat daripada penahanan tanpa bicara – rakyat, atau sang penguasa?
Sesungguhnya,
media tetap tidak bebas dan dikawal oleh kerajaan meskipun Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan telahpun dipinda tahun lalu, di mana media cetak masih perlu memohon
permit penerbitan daripada kerajaan dan menteri berkuasa menggantung permit
penerbitan.
Maka
jelasnya agenda media yang tidak bebas merupakan agenda sang penguasa; agenda
sang penguasa – BN pula merupakan agenda Umno yang bakal mengadakan Perhimpunan
Agung Umno pada Disember akan datang.
Hakikatnya
agenda Umno bukan lagi Wawasan 2020, tetapi survival
politik masing-masing. Pindaan PCA bukan lagi setakat disasarkan kepada
pertubuhan haram mahupun parti pembangkang dan NGO, malah brangkali ia turut
digunakan oleh individu tertentu untuk menghapuskan musuh politik dalam Umno
sendiri menjelang Perhimpunan Agung Umno.
Rujukan:
Zaharom Nain, and Wang , Lay Kim (1999) “Much ado about nothing? Mainstream research, Malaysian media and moral panics”. Jurnal
Komunikasi, Vol 15, 1999 (pp. 21-38).
Edward S. Herman,
(2000), “The Propaganda Model: A Retrospective”. Journalism Studies, Vol 1 (1),
2000 (pp. 101-112).
GINIE LIM
Penolong Pengarah Penyelidik
INSTITUT RAKYAT
2 ulasan:
" EXPLOITATION DE' L' HOMME PAR L' HOMME DAN EXPLOITATION NATION PAR NATION.'........ini revolusi .......ini yang kami mahu.
Tanpa bicara maknanya akan ada penipuan dan penganiayaan...
Catat Ulasan