PENCERAHAN
SILA BACA
AMIN
Jangan belajar agama lain daripada ulama PAS
JARANG sekali agamawan yang mengkaji perbandingan agama mengkritik terhadap tafsiran agama mereka sendiri dalam kajiannya itu.
Sebaliknya, mereka mengkaji untuk mencari kebenaran agama sendiri sekaligus mengkritik agama orang lain.
Sikap seperti ini bermasalah dalam kajian perbandingan agama. Mereka tidak jujur mencari titik temu antara agama lain.
Justeru dengan yakin, kajian mereka lakukan itu adalah yang paling benar. Tiada sanggahan kerana kata mereka, kajian itu daripada Quran, hadis, tafsir dan kitab agama.
Sikap eksklusif beragama ini banyak terdapat dalam diri kebanyakan agamawan atau pengkaji perbandingan agama hari ini.
Saya anggap sikap sebegini menyebabkan bermasalah dalam kehidupan beragama di Malaysia.
Termasuklah kejadian di Dewan Rakyat pada minggu lalu (26 Ogos 2020) apabila Ahli Parlimen PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh mengeluarkan kenyataan biadab tentang ajaran Kristian.
Zawawi mendakwa kitab suci umat Kristian itu terpesong atau diubah, sementara mendakwa dirinya seorang pakar dalam perbandingan agama.
Kenyataannya menyebabkan saya meragui kejujuran beliau dalam mengenai kajian perbandingan agama.
Jangan berasa tahu, padahal tidak melakukan kajian yang sebetulnya.
Saya yakin, perbuatan tidak hormat itu hanya keluar daripada pemikiran yang gagal dalam memahami ajaran agama tersebut – kehidupan kepelbagaian agama.
Malah, sudah menjadi satu budaya, atau metodologi sebahagian agamawan atau pengkaji perbandingan agama yang gemar mengajarkan akidah agama orang lain dengan mengikut perspektif kajian keislaman yang mundur.
Akhirnya, keluasan sejarah, budaya, kefahaman agama lain dikelirukan dengan tafsiran konservatif yang dibawa oleh kelompok agamawan ini.
Contoh, ceramah tentang mengenali Jesus berdasarkan cerita dalam Quran. Menyamakan Nabi Isa dengan Jesus, malah menghukumi ketauhidan ajaran Kristian melalui kaca mata wahyu Quran. Perkara ini jelas mengelirukan.
Sebenarnya, tafsiran agama Kristian tidak sama, dan jauh sekali berbeza seperti yang kita sangkakan wujud dalam Quran dan kitab tafsir.
Namun, pengkaji agamawan ini juga ada hujah. Melalui kajian keislaman klasik, mereka dengan angkuh berkata mereka juga melakukan kajian terhadap kitab agama Kristian demi mengukuhkan hujah tentang terpesongnya kitab agama Kristian.
Kitab apakah yang dikaji oleh mereka sehingga menyimpulkan Kristian sebuah agama terpesong?
Gagal memahami ketauhidan Kristian
Bayangkan hal ketauhidan dalam Kristian yang sungguh sulit difahami, di tangan para ustaz ini akan menjadi agama yang terpesong dan ditentang habis-habisan.
Mereka membaca kritikan Quran terhadap ajaran Kristian yang mereka anggap terpesong itu, tanpa memahami konteks kritikan yang betul.
Kerana itu, kita akan keliru memahami ketauhidan Kristian sekiranya kita membaca Quran secara literal. Ini yang terjadi kepada kefahaman majoriti kaum Muslimin. Seperti Zawawi.
Mereka membuka Quran, mereka akan menjumpai kesyirikan ajaran Kristian. Khususnya tentang ketauhidan seperti triniti (keesaan dari tiga wujud Tuhan: Bapa, Anak dan Roh Kudus)
Hakikatnya, tidak ada orang Kristian yang mengimani tiga Tuhan. Bahkan yang dikritik Quran itu ditujukan kepada kelompok Kristian tertentu yang menganggap Maryam sebagai Tuhan.
Mereka digelar sebagai pengikut Maryam “Maryamiyyun”.
Hal ini boleh disemak pada tafsir yang dikarang oleh Jamal al-Din al-Qasimi.
Begitu juga dalam tafsiran Ibnu Arabi dalam kitab al-Futuhat al-Makkiyyah yang menyebutkan doktrin triniti yang diyakini umat Kristian itu adalah tauhid tarkib yang masih dikategorikan sebagai umat bertauhid yang layak mendapat keselamatan di akhirat sebagaimana ketauhidan umat Islam hari ini.
Walhal, terma Tuhan dalam Kristian tidak sama dengan apa yang digambarkan dalam Quran.
Gambaran Isa dalam Quran dan Jesus dalam Perjanjian Baru adalah berbeza sama sekali. Maka, Tuhan dalam Kristian berbeza pengertiannya dengan Tuhan dalam takrifan Islam.
Dalam Kristian, mengenali Tuhan melalui Jesus Kristus yang bukan dalam pengertian yang disembah. Sedangkan dalam Islam, Tuhan dapat difahami melalui wahyu Quran.
Maka kerana itu, kita tidak boleh bermudah-mudah menghukumi tafsiran agama Kristian berdasarkan tafsiran Quran. Apatah lagi mahu mengatakan ajaran tersebut terpesong.
Justeru, kenyataan yang dilontarkan oleh ulama PAS ini bertentangan dengan apa yang diyakini oleh penganut besar agama Kristian itu sendiri.
Bahkan, kritikan Quran terhadap ajaran Kristian tersebut bukan menandakan ajaran tersebut terpesong, sebaliknya sebahagian kritikan bersifat khusus yang diakui oleh ramai pengkaji perbandingan agama merujuk kepada kelompok tertentu yang gagal memahami ketauhidan.
Demikian selama ini, kita memandang agama lain seperti apa yang digambarkan Quran dan kitab tafsir dalam agama kita.
Di situ, kita telah gagal dalam memahami metodologi dalam kajian perbandingan agama.
Jangan berhenti belajar dan memahami agama lain
Sikap semberono yang dilakukan oleh ulama PAS ini bertentangan dengan prinsip keharmonian hidup beragama yang wujud di Malaysia.
Sebagai negara yang kaya dengan pelbagai budaya dan agama, kita seharusnya menjauhi daripada menganuti sikap bermudah-mudah mengatakan agama orang lain tidak betul atau terpesong.
Hal ini kerana, kejahilan kita ini menyebabkan ramai orang yang akan terluka hati. Khususnya penganut agama Kristian.
Tidak kira mempunyai sarjana atau “Doktor Falsafah” sekalipun, bukan lesen untuk kita memesongkan kepercayaan agama orang lain.
Bahkan, pemikiran ekstrimis beragama ini menjadi musibah terhadap keretakan keharmonian hidup bermasyarakat beragama hari ini.
Malangnya, banyak agamawan “level Phd” seperti ini yang mengajarkan kefahaman songsang kepada masyarakat kita, khususnya di masjid perihal agama lain.
Budaya memusuhi apa yang tidak diketahui ini banyak terjadi dalam kehidupan masyarakat beragama hari ini.
Pepatah arab berbunyi, “al-nasu a‘dau ma-jahilu” (manusia cenderung memusuhi apa yang tak diketahuinya). Kerana itu kita payah untuk hidup dalam damai – berkongsi keimanan di tengah rencam silang kebudayaan dan keagamaan.
Polemik yang terjadi ini, mengajarkan kita untuk menjadi seperti padi, makin tunduk makin berisi, bukan mendabik dada menjatuhkan semberono hukum tentang hal yang di luar kemampuan batas kita – agama.
Demikian, banyak perihal keagamaan yang menuntut kita untuk terus saling belajar dan tidak berhenti berdialog mencari titik kesatuan bersama. Bukan titik pemisahan.
Rukun keamanan hidup dalam kepelbagaian agama di Malaysia adalah dengan saling belajar dan hormat menghormati antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama.
Rukun ini yang harus kita perjuangkan! – 1 September, 2020.
Mohd Syazreen Abdullah
adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan