ICJ keluar pendapat perundangan berhubung perubahan iklim
THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) buat pertama kali akan mengeluarkan pendapat perundangan berhubung perubahan iklim malam ini.
Mahkamah dunia itu sudah meneliti ribuan hujahan bertulis dan hujahan lisan mengenai perubahan iklim dalam prosiding yang terbesar pernah disaksikan di institusi itu.
Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah usaha untuk mahkamah dunia itu menyeragamkan pelbagai undang-undang alam sekitar dari serata dunia ke dalam satu piawaian antarabangsa yang muktamad.
ICJ dijangka mengemukakan penghakimannya sekitar jam 13 GMT (9 malam waktu Malaysia) hari ini.
Negara yang menghasilkan banyak pencemaran merasakan langkah itu (undang-undang dunia baharu) tidak perlu.
Sebaliknya, mereka berpendapat peruntukan undang-undang di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) sudah mencukupi.
Namun, ada pihak berpendapat ICJ harus menggunakan kayu ukur yang lebih luas, termasuk undang-undang hak asasi manusia dan undang-undang laut.
Persoalan yang lebih kontroversi yang perlu dipertimbangkan oleh hakim ialah apakah kesan undang-undang, jika ada, bagi negara yang menyumbang secara ketara kepada krisis iklim global?
Banyak negara yang menghasilkan pencemaran berjumlah besar mengatakan adalah mustahil untuk mempersalahkan negara individu untuk fenomena global dengan kesan yang tidak sama rata.
Negara-negara itu menunjukkan prinsip asas undang-undang antarabangsa iaitu 'ubi jus, ubi remedium' yang secara umumnya bermaksud, di mana ada kesalahan, di situ ada tuntutan.
Satu lagi perkara penting dalam perkara itu ialah isu undang-undang rentas sempadan, yang sering dikenali sebagai peraturan tidak membahayakan.
Selain itu, konsep ekuiti antara generasi ialah satu lagi permintaan asas golongan muda pejuang keadilan iklim, yang membantu membawa kes ini ke mahkamah tertinggi dunia.
Namibia berkata kesan perubahan iklim tidak dibatasi oleh masa. Wakil negara itu berkata kesan terburuk hanya akan melanda manusia selepas beberapa dekad atau mungkin berabad-abad kemudian.
Kenyataan itu bagaimanapun ditentang negara maju dengan menyatakan hak orang yang belum lahir tiada tempat atau kuasa di bawah undang-undang antarabangsa.
"Manusia yang masih hidup sekarang tidak boleh menuntut hak bagi pihak generasi akan datang," kata wakil Jerman
Secara ringkasnya, prinsip utama undang-undang antarabangsa itu bermakna mana-mana negara tidak seharusnya membenarkan aktiviti yang boleh menyebabkan kerosakan kepada negara lain di wilayahnya.
ICJ dijangka akan mengeluarkan pendapat pertamanya mengenai perubahan iklim, yang dilihat oleh umum sebagai detik bersejarah dalam undang-undang antarabangsa.
Barisan hakim telah meneliti puluhan ribu muka surat hujahan bertulis dan mendengar hujahan lisan selama dua minggu sepanjang prosiding kes terbesar ICJ.
Pendapat ICJ itu dijangka mengandungi beberapa ratus halaman muka surat kerana ia akan menjelaskan kewajipan terperinci negara untuk mencegah perubahan iklim dan kesan akibat pencemaran yang berlaku. - AGENSI


1 ulasan:
Baru buat undang-undang, baru buat peraturan kah kah kah memang terbaik, selepas semuanya dijarah memang kena buat undang-undang, terbaik
Catat Ulasan