Ahad, 4 Januari 2026
LAWAN MUSUH UTAMA
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh tanpa berlapik lagi menggesa parti itu meninggalkan kerajaan perpaduan dan menjadi pembangkang bagi membina kembali kekuatan parti mereka.
Berucap pada Konvensyen Khas Pemuda Umno yang membincangkan hala tuju Umno dalam kerajaan perpaduan di Kuala Lumpur, dia mengingatkan ahli dan pemimpin partinya untuk tidak gentar menjadi pembangkang.
Apatah lagi katanya, “garis merah” yang ditetapkan Umno telah dilanggar oleh pihak tertentu dalam kerajaan perpaduan khususnya DAP.
"Apabila prinsip kerjasama mula dicabuli, maruah kita tak dihormati, maka cukuplah Umno (bersama kerajaan perpaduan), biar mereka tadbir kerajaan ini, kita jadi pembangkang.
"Hei orang Umno bukan penakutlah (untuk jadi pembangkang)... abang-abang saya jangan takut jadi pembangkang, biarlah setapak ke belakang untuk kita melompat lebih tinggi ke hadapan," katanya.
Akmal turut mendakwa hasrat meninggalkan kerajaan perpaduan disuarakan oleh akar umbi Umno.
"Insya-Allah dalam dua tahun kita rampas kembali kerajaan," tambahnya.
Malaysiakini difahamkan konvensyen hari ini adalah sebahagian dari proses ke arah keputusan mengenai hala tuju Umno dalam kerajaan perpaduan menjelang Perhimpunan Agung Umno pada pertengahan Januari ini.
Agenda penyatuan Melayu
Akmal dalam ucapannya menegaskan bahawa penyatuan Melayu perlu dimulakan oleh Umno dan PAS sebagai dua parti terbesar orang Melayu.
"Penyatuan orang Melayu perlu dimulakan oleh parti Melayu terbesar, Umno dan PAS perlu menjadi pelopor.
"Jika penyatuan Umno dan PAS, saya percaya orang Melayu akan kembali bertaut semula," katanya.
Katanya, orang Melayu sebagai kaum majoriti di negara ini hanya tinggal angka jika mereka terus berpecah tanpa usaha penyatuan.
"Apabila dua parti Melayu berpecah yang rugi bukan gol elitis, yang rugi kita diakar umbi," katanya lagi.
Pada 25 Dis lalu, Akmal mencadangkan agar Perikatan Nasional (PN) dibubarkan berikutan kemelut terbaru dalam gabungan itu, terutamanya berkaitan isu jawatan Menteri Besar Perlis.
Akmal dalam satu hantaran di Facebook sebelum ini membangkitkan bahawa sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 Umno telah menggesa PAS supaya memperkasakan Muafakat Nasional dan bukan PN.
“Hari ini, baru nampak belang masing-masing, kena tikam belakang,” katanya, merujuk kepada lapan Adun PN yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis sebelum ini, Shukri Ramli dari PAS - yang seterusnya digantikan oleh Abu Bakar Hamzah dari Bersatu.
“Alang-alang bubar sekalilah Perikatan Nasional, kita wujudkan semula Muafakat Nasional. Amacam?” tambahnya.
Cadangan itu disambut Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari dengan memberikan syarat untuk Umno keluar daripada PH terlebih dahulu.
"Saya sangat setuju dengan cadangan hidupkan semula Muafakat Nasional ini. Inilah kunci kekuatan dan kebangkitan semula Perpaduan Ummah. Tahniah Ketua Pemuda Umno. Hidupkan kembali rundingan, tubuh JK Perunding.
"Sebaik sahaja Umno/BN isytihar keluar dari gabungan bersama PH, kita lancarkan terus Muafakat Nasional," katanya.
MN ditubuhkan oleh Umno dan PAS pada 2019, yang menandakan satu pencapaian dalam mengukuhkan kerjasam politik Melayu selepas beberapa dekad persaingan antara kedua-dua parti.
Bagaimanapun, selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri pada 2020, PAS memilih untuk bekerjasama dengan Bersatu dan membentuk PN — satu langkah yang dianggap Umno sebagai pengkhianatan.
PAS juga menggesa supaya Bersatu dimasukkan dalam MN, namun ditentang oleh Umno.
Pakatan itu berakhir pada Disember 2022 apabila Umno menyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim, sebagai perdana menteri.
Pemimpin PAS berulang kali mengutarakan idea untuk menghidupkan semula MN, walaupun Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menyatakan ia tidak boleh melibatkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
DALAM PERANG
JANGAN BUKA
BANYAK MEDAN
AMIN
HANYA SATU
MUSUH UTAMA
AMIN
MUSUH KEPADA
MUSUH KITA
ADALAH KAWAN
UNTUK KERJASAMA
KHALAS
PARTI PAS BUKAN MUSUH
Seorang bekas ahli parlimen Amanah mengingatkan para pemimpin partinya untuk berhati-hati ketika menyuarakan kritikan terhadap PAS, terutamanya jika kritikan itu kekurangan kandungan yang bermakna.
Secara khususnya, bekas Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, mengulas kenyataan Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil awal hari ini mengenai kekuatan PAS dalam pergelutan dengan Bersatu.
“Faiz mendakwa PAS kelihatan kuat hanya dalam partinya sendiri, tetapi gagal memimpin gabungan, apatah lagi untuk mengemukakan calon perdana menteri.
“Mungkin ia adalah komen yang adil dan munasabah. Tetapi PAS mungkin akan membalas ‘bagaimana dengan Amanah?’” kata Hanipa.
“Nampaknya Amanah - pada pandangan PAS - kelihatan rapuh dalam semua aspek dan lebih teruk lagi dalam partinya sendiri.
“PAS juga mungkin bertanya bahawa dalam rombakan kabinet baru-baru ini, ‘adakah Amanah berjaya meyakinkan Anwar untuk mana-mana pemimpin dalam parti itu memegang sebarang jawatan menteri?’,” kata bekas timbalan menteri di jabatan perdana menteri itu.
Disember lalu, ahli jawatankuasa Pemuda Amanah, Ahmad Azri Abdullah, mencadangkan agar Anwar melantik seorang ahli parlimen daripada parti komponen PH itu sebagai timbalan menteri hal ehwal agama yang baru, dan bukannya Marhamah Rosli, yang mengangkat sumpah sebagai senator bagi menggalas jawatan itu.
Barisan kabinet baru itu juga mengekalkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, sebagai menteri pertanian dan keterjaminan makanan, naib presiden Dzulkefly Ahmad sebagai menteri kesihatan, naib presiden Adly Zahari sebagai menteri pertahanan, dan Ketua Wanita Amanah, Aiman Athirah Sabu sebagai timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
Mengulas lanjut, Hanipa berkata, “Apa-apa pun, adakah ahli parlimen baru daripada Amanah, dengan penuh hormat, diketahui umum?
“Pada pandangan saya, Amanah harus serius dalam menjadi juara isu-isu kepentingan negara yang memerlukan pertimbangan yang serius dan mendalam.
“Amanah tidak boleh dilihat seolah-olah ia hanya diperlukan untuk menentang PAS. Tidak lebih daripada itu,” tegasnya.
Dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15, Amanah bertanding di 54 kerusi atas tiket PH dan memenangi lapan kerusi, dengan ahli parlimen semasa terdiri daripada Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan, Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof, Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan, dan Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat yang mengekalkan kerusi itu dalam pilihan raya kecil yang diadakan susulan kematian bekas penyandang, Salahuddin Ayub.
“Setakat ini ramai orang berpendapat bahawa pemimpin Amanah hanya perlu mengeluarkan kenyataan yang mengkritik PAS. Noktah.
“Dan kenyataan sedemikian diperlukan untuk meyakinkan rakyat bahawa parti itu masih wujud dan relevan walaupun sesetengah orang cenderung menganggap Amanah tidak lebih daripada nota kaki dalam jurnal akademik,” kata Hanipa,
“Sejujurnya, saya harap itu adalah persepsi yang salah,” tambahnya.
Awal hari ini, Faiz telah mengkritik ketidakupayaan PAS untuk menamakan pengganti bagi jawatan pengerusi PN yang dikosongkan oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Dia juga menyamakan situasi itu seperti program realiti TV dengan penonton menunggu minggu demi minggu untuk mengetahui siapa yang akan tersingkir, sedangkan, dalam keadaan biasa, presiden parti akan bertindak sebagai ketua gabungan dan seterusnya dinamakan sebagai calon perdana menteri.





