Penunjuk perasaan mula bakar bangunan Dewan Perwakilan Rakyat
JAKARTA: Penunjuk perasaan di Indonesia bertindak membakar bangunan Dewan Perwakilan Rakyat di tiga wilayah ketika demonstrasi berterusan hari ini selepas tiga orang terbunuh dalam keganasan yang menjadi ujian besar kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sejak menjawat jawatan.
Media tempatan melaporkan, bangunan Dewan Perwakilan Rakyat di Nusa Tenggara Barat, Pekalongan di Jawa Tengah dan Cirebon di Jawa Barat dibakar oleh penunjuk perasaan.
Portal Detik.com melaporkan, penunjuk perasaan turut merosakkan peralatan pejabat parlimen di Cirebon manakala polis melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka di Pekalongan dan Nusa Tenggara Barat.
Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan laporan berkenaan dan pihak berkuasa juga masih belum memberikan sebarang komen.
Protes bermula di ibu negara Indonesia, Jakarta baru-baru ini berhubung isu elaun ahli parlimen, sebelum memuncak pada semalam selepas sebuah kenderaan polis merempuh dan membunuh seorang penunggang motosikal e-hailing.
Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo berkata, presiden mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penunjuk perasaan yang melanggar undang-undang.
Serangan bakar terhadap bangunan Dewan Perwakilan Rakyat itu berlaku selepas protes berdarah di Makassar, ibu kota wilayah Sulawesi Selatan, yang mengorbankan sekurang-kurangnya tiga nyawa dan mencederakan lima orang.
Media tempatan, metrotvnews.com, melaporkan satu lagi kematian berlaku akibat kebakaran di bangunan Dewan Perwakilan Makassar, namun perkara itu tidak dapat disahkan secara telus.
Agensi pengurusan bencana dalam kenyataannya awal tidak memberikan butiran mengenai jumlah korban kebakaran pada semalam, namun agensi berita negara Antara melaporkan mangsa terperangkap dalam bangunan yang terbakar itu.
Agensi berkenaan memaklumkan, dua orang cedera selepas terjun keluar dari bangunan bagi menyelamatkan diri.


1 ulasan:
elok bakar.. kala parlimen tak boleh nak bantu rakyat elok bakar je... kita wakilkan mereka untuk tolong suarakan masalah kita... kalau setakat nak tambah gaji nak bagi elaun nak pencen wakil rakyat baik tak payah..
Catat Ulasan