Indonesia hantar pulang nenek British, terlepas hukuman mati dalam kes dadah
JAKARTA: Indonesia menandatangani perjanjian pada 21 Oktober lalu untuk menghantar pulang dua warga United Kingdom (UK) yang sedang menjalani hukuman berkaitan dadah.
Salah seorang daripadanya ialah Lindsay Sandiford, nenek berusia lewat 60-an yang dijatuhi hukuman mati di Bali pada 2013.
Sandiford disabit kesalahan selepas pegawai kastam menemukan kokain bernilai AS$2.14 juta (kira-kira RM10.14 juta) di dalam beg miliknya ketika tiba dari Thailand pada 2012.
Dia mengaku membawa dadah itu namun mendakwa dipaksa selepas sindiket mengugut mahu membunuh anak lelakinya.
Seorang lagi banduan, Shahab Shahabadi, 35, sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup selepas ditangkap pada 2014.
Dalam pada itu, Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yusril Ihza Mahendra berkata, perjanjian pemindahan banduan itu ditandatangani bersama Menteri Luar UK, Yvette Cooper.
"Kami bersetuju untuk memberikan kelulusan pemindahan mereka ke UK," katanya pada sidang media di Jakarta.
Menurutnya, kedua-dua banduan akan diserahkan selepas urusan teknikal selesai dalam tempoh kira-kira dua minggu.
Sementara itu, Yusril berkata, Sandiford disahkan sakit tenat oleh doktor Indonesia dan konsulat UK di Bali.
Shahabadi pula dilapor menghidap pelbagai penyakit serius termasuk masalah kesihatan mental.
Difahamkan, lebih 90 warga asing kini berada dalam barisan hukuman mati di Indonesia, semuanya atas kesalahan dadah.
Pentadbiran Presiden Prabowo Subianto kini giat memulangkan beberapa banduan berprofil tinggi ke negara asal masing-masing.
Indonesia kali terakhir melaksanakan hukuman mati pada 2016, namun kerajaan memberi bayangan akan menyambung semula pelaksanaannya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan