Jumaat, 18 Oktober 2024

AL- FATIHAH YAHYA SINWAR



Siapa sebenarnya pemimpin Hamas, Yahya Sinwar


BAITULMAQDIS: Pemimpin Hamas, Yahya Sinwar, yang dipercayai salah seorang dalang utama serangan kumpulan itu terhadap Israel pada 7 Oktober 2023 dan lelaki paling dikehendaki Israel, terbunuh di Gaza pada hari Rabu, menurut tentera Israel.

Sinwar tidak kelihatan sejak serangan pada Oktober 2023, mungkin terselamat daripada kepungan Israel di Gaza dengan berlindung dalam rangkaian terowong bawah tanah yang luas.

Pada Ogos, beliau dilantik menjadi salah seorang pemimpin paling kanan Hamas selepas pendahulunya, Ismail Haniyeh, dibunuh di Tehran, ibu kota Iran.

Namun, beliau sudah lama menjadi pemain utama dalam kumpulan pejuang itu, selepas menyertai Hamas pada akhir 1980-an dan cepat meningkat dalam kepimpinan kumpulan itu.

Yahya mengasaskan cabang keselamatan perisikan antarabangsa Hamas yang ditakuti, Majd, dan terkenal kerana menggunakan kekerasan terhadap sesiapa yang disyaki bersekongkol dengan Israel.

Beliau juga dilihat sebagai pemimpin politik pragmatik oleh sesetengah pihak dan pada 2017, Hamas memilih Sinwar sebagai ketua politik bagi badan keputusan utamanya, Biro Politik, di Gaza.

Yahya dilahirkan di kem pelarian pada tahun 1962 di Khan Younis, selatan Gaza. Keluarganya dipindahkan dari kampung Al-Majdal di Palestin – kini bandar Ashkelon di Israel – semasa perang Arab-Israel.

Sinwar mendaftar di Universiti Islam Gaza pada awal 1980-an, di mana beliau mempelajari bahasa Arab, terlibat dalam pertubuhan pelajar nasionalis Palestin, dan ditahan kerana terbabit dalam aktivisme anti-penjajahan.

Pada tahun 1985, sebelum Hamas ditubuhkan, beliau membantu menubuhkan Majd, sebuah rangkaian belia Islamis yang mendedahkan pemberi maklumat Palestin bekerja dengan Israel.

Kumpulan itu kemudian menjadi sebahagian daripada cabang keselamatan Hamas dengan nama yang sama.

Yahya dipenjarakan di Israel dengan empat hukuman penjara seumur hidup pada 1988, atas tuduhan merancang pembunuhan dua tentera Israel dan empat warga Palestin yang disyaki bekerjasama dengan Israel.

Semasa dipenjarakan, Yahya dilaporkan menyalahgunakan dan mempengaruhi rakan banduan, menghukum mereka yang disyaki sebagai tali barut Israel dan memaksa yang lain menyertai mogok lapar.

Sinwar berkata, beliau menghabiskan masa di penjara dengan cuba memahami musuhnya, termasuk belajar bahasa Ibrani melalui Universiti Terbuka.

Pada 2011, beliau dibebaskan sebagai sebahagian daripada pertukaran tawanan yang menyaksikan lebih 1,000 tahanan Palestin ditukar untuk Gilad Shalit, seorang tentera Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang ditahan di Gaza selama lima tahun.

Pada masa itu, Yahya menyifatkan pertukaran itu sebagai 'salah pencapaian strategik besar dalam sejarah perjuangan Hamas'.

Pembebasan Yahya dikaitkan dengan hakikat bahawa abangnya adalah salah seorang penculik Shalit, yang mendesak Yahya turut dimasukkan dalam senarai perjanjian itu.

Selepas dibebaskan, beliau kembali ke Gaza di mana beliau mula meningkat dalam perubuhan pejuang itu, menjadi terkenal kerana tindakan kejam terhadap mereka yang disyaki bekerjasama dengan Israel.

Walaupun ada yang melihat yahya sebagai pejuang tegar, yang lain melihatnya sebagai ahli perancang strategi yang bijak.

Sepanjang 15 tahun dalam hukuman penjaranya, beliau menggunakan kemahiran bahasa Ibrani untuk mendesak rakyat Israel menyokong gencatan senjata dengan Hamas dalam satu temu bual dengan penyiar Israel.

"Kami tidak akan mengiktiraf Israel, tetapi kami bersedia melakukan gencatan senjata jangka panjang dengan Israel, yang akan membawa keamanan dan kemakmuran ke rantau ini," katanya.

Dalam satu wawancara yang jarang diadakan dengan wartawan Itali pada 2018, Yahya menyatakan bahawa kumpulan itu bersedia mencari penyelesaian politik, dengan berkata: "Perang baharu tidak memberi manfaat kepada sesiapa".

Beliau juga merujuk kepada hakikat yang dihadapinya dan penduduk Gaza di bawah sekatan Israel, berdasarkan pengalamannya di penjara Israel.

"Saya tidak pernah keluar – saya hanya bertukar penjara," katanya mengenai kehidupan di Gaza.

Pada 2018, di bawah kepimpinan Yahya, Hamas melancarkan kempen 'Perarakan Kembali', yang menyaksikan penduduk Gaza mengadakan protes mingguan berhampiran sempadan Israel.

Mereka menuntut Israel menamatkan sekatan dan memberi hak kepada warga Palestin untuk kembali ke kampung halaman nenek moyang mereka.

Demonstrasi itu mendapat perhatian antarabangsa dan sokongan daripada kumpulan hak asasi manusia, malah pada salah satu protes, Yahya memuji mereka yang berhadapan 'musuh yang mengepung kita'.

Sebagai ketua politik kumpulan itu, Yahya memberi tumpuan kepada hubungan luar Hamas, menjalin hubungan penting dengan kuasa-kuasa Arab serantau.

Beliau bertanggungjawab memulihkan hubungan Hamas dengan pemimpin Mesir yang curiga dengan sokongan kumpulan itu terhadap Islam politik, dan terus mendapatkan pembiayaan ketenteraan dari Iran, menurut kajian Majlis Hubungan Luar Eropah (ECFR).

Israel secara terbuka menuduh Sinwar sebagai 'dalang' di sebalik serangan pengganas Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober – walaupun pakar berkata beliau mungkin salah seorang daripada beberapa perancang – menjadikannya salah satu sasaran utama perang Israel di Gaza.

Ia menjadi serangan paling berdarah dalam sejarah Israel, di mana Hamas dan kumpulan bersenjata Palestin yang lain membunuh lebih daripada 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, dan juga menawan sekitar 250 orang sebagai tebusan ke Gaza.

yahya dianggap sebagai pembuat keputusan penting dan kemungkinan besar menjadi titik perhubungan utama dalam Gaza semasa rundingan tegang mengenai pemulangan tebusan yang dibawa ke dalam Gaza oleh Hamas dalam serangan 7 Oktober.

Rundingan itu melibatkan tokoh kanan dari Israel, Hamas, Amerika Syarikat (AS), Qatar, dan Mesir.

Sepanjang peperangan, Sinwar menyatukan kepimpinan Hamas dan menjadi tokoh paling penting dalam kumpulan itu.

Pengaruhnya semakin meningkat selepas pembunuhan pemimpin kanan Hamas lain, termasuk Mohammed al-Masri, yang dikenali sebagai Mohammed Deif, komander Briged Al-Qassam, sayap ketenteraan Hamas, dan timbalan Deif, Marwan Issa.

Pada 2015, Yahya disenaraikan sebagai pengganas global oleh Jabatan Negara AS serta Kesatuan Eropah (EU) dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau turut disekat oleh United Kingdom (UK) dan Perancis. - AGENSI

AL-FATIHAH

UNTUK

YAHYA SINWAR

AMIN

PATAH TUMBUH

HILANG BERGANTI

KHALAS

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

diipersilakan kalau kau nak ganti. kata israel dah serah kalah, angkat bendera putuh serta bermacam lagi. cakap bohongkah? macam mana pula dia boleh dibunuh? dia terjun bangunan atau disambar kilat ? Kah kah kah!