SARA RM100 beri nyawa baru kepada jenama berdepan boikot anti-Israel?
Beberapa jenama runcit luar negara yang terkesan dengan pergerakan boikot anti-Israel sedunia seolah-olah mendapat nyawa baru melalui program Sumbangan Asas Rahmah, atau SARA, bantuan universal kerajaan bernilai RM100 yang diedarkan kepada setiap rakyat Malaysia untuk membolehkan pembelian barangan asas.
Malah, pemeriksaan MalaysiaNow di beberapa pasar raya popular mendapati jenama import berdepan boikot disebabkan pengeluarnya mempunyai pelaburan di Israel, turut mendapat keutamaan dalam promosi SARA.
Ia mengundang kritikan beberapa pengguna, yang mempersoalkan mengapa jenama alternatif tempatan tidak didahulukan selaras dengan dasar kerajaan mengutamakan produk tempatan.
Selain isu boikot Israel, tidak kurang juga yang mempersoalkan keutamaan kepada barangan makanan yang diproses, dan bukan bahan mentah seperti ayam, ikan, sayur dan buah-buahan.
Aktivis pengguna Nadzim Johan, yang memberikan dua contoh jenama minuman malt coklat dan mi segera, berkata selain aspek kemanusiaan, pihak yang terlibat turut mengabaikan kesihatan rakyat.
"Produk sebegini tidak sepatutnya dimasukkan dalam SARA. Saya bimbang hal ini berlaku kerana kerajaan sendiri tidak mempunyai kefahaman yang jelas, termasuk dalam usaha memartabatkan produk PKS tempatan,” kata Nadzim, presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia, kepada MalaysiaNow.
"Dalam isu kemanusiaan, bila kita bercakap tentang kempen boikot Palestin, ramai masih tidak jelas kategori mana yang perlu diutamakan. Seolah-olah boikot ini tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh kerana dasar itu sendiri dari awal tidak jelas."
Beberapa jenama antarabangsa, khususnya francais seperti Starbucks, KFC dan McDonald's, menjadi sasaran penyokong perjuangan Palestin sejak meletusnya pengeboman besar-besaran Israel di Gaza yang sehingga kini mengorbankan hampir 100,000 orang awam.
Penyokong boikot berkata ia kerana syarikat-syarikat tersebut bertapak di Amerika Syarikat, dan hasil yang disumbang kepada ekonomi negara itu menjadikan mereka terpalit membiayai bantuan ketenteraan Washington kepada Israel.
Gerakan boikot itu didalangi Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) yang menyeneraikan syarikat yang terpalit dengan ekonomi Israel.
Sara100_supermarket3_Mnow_060925Bagaimanapun, beberapa syarikat besar lain yang tidak disenaraikan turut menerima tempias boikot, termasuk Nestle, pengeluar makanan terbesar dunia yang terkenal dengan produk seperti Nescafe, Maggi, KitKat dan Milo.
Bantahan terhadap syarikat itu berkisar pemilikan penuh Osem, sebuah gergasi barangan makanan Israel. Malah seawal tahun 2006, pertubuhan Liga Arab pernah memasukkan Nestle dalam senarai syarikat yang perlu diboikot atas dakwaan hubungan ekonomi dengan Israel.
Tahun lalu, Nestle Malaysia melaporkan penurunan keuntungan yang ketara, dengan keuntungan bersih susut 36% kepada RM85.14 juta pada suku ketiga 2024, dan susut 36% kepada RM415.62 juta bagi tahun kewangan 2024.
"Sentimen boikot yang berterusan dan tekanan kos akan terus mempengaruhi keuntungannya," menurut analisis HLIB Research awal tahun ini.
Bagaimanapun, Nestle Malaysia berkata ia mencatatkan keuntungan bersih RM112 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025, pertumbuhan dua angka berbanding suku sama tahun lalu.
Dalam menangkis dakwaan berkait Gaza, syarikat itu berkata ia "menentang sebarang bentuk keganasan".
Nadzim berkata ketiadaan kesungguhan membela nasib Palestin di pihak kerajaan menyebabkan rakyat akhirnya memilih produk yang sama dan usaha boikot hanya tinggal slogan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berdepan kecaman penyokong Palestin yang menyifatkan beliau sekadar menyorak slogan meskipun berkompromi dalam aspek ekonomi.
Ia termasuk keputusan Anwar membawa masuk Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah syarikat milik BlackRock yang terpalit dengan jenayah perang Israel, dalam sebuah konsortium menguruskan lapangan terbang di seluruh negara, termasuk KLIA.
Salah seorang yang menebus kredit SARA, Maryam Hat, kurang senang dengan barangan yang dimasukkan di bawah program tersebut.
Maryam, 66, berkata keluarganya sudah lama mengelak beberapa jenama barangan mi segera dan kopi, tetapi kecewa apabila ia ditawarkan di bawah program SARA.
"Bagi kami memang dari dulu kami persoalkan sebab kita dah elok-elok boikot," katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya.
"Jadi orang ramai dari yang dulu boikot mereka akhirnya beli," katanya.
Bagi Nazirah Azmin, 33, kerajaan sepatutnya memberikan wang tunai RM100 dalam e-wallet dan bukan mengehadkan barangan daripada produk tertentu sahaja.
"Saya tak faham kenapa hanya dihadkan kepada barangan daripada jenama tertentu sahaja, sebab duit itu kan dari kerajaan, ia bukan percuma, jadi bukalah plihan kepada semua jenama dan kita nak juga produk PKS, tapi tak banyak pilihan untuk produk PKS."
Nazirah, ibu kepada tiga anak, turut menolak penglibatan jenama yang menjadi sasaran boikot.
Ditanya mengenai perkara itu, Pengarah Urusan pasar raya Mydin, Ameer Ali Mydin, berkata pemilihan barangan SARA perlu mendapat kelulusan daripada MyKasih terlebih dahulu.
"Senarai produk ini dicadangkan oleh pihak pasar raya dan kemudiannya ditapis oleh MyKasih mengikut kategori yang dibenarkan," katanya kepada MalaysiaNow, sambil menambah produk seperti minuman berkarbonat tidak dibenarkan.
"Tapi ada minuman coklat, jadi Mydin cadanglah semua jenama yang ada untuk minuman coklat, tapi keputusan bukan di tangan kita, hanya cadang sahaja,” katanya.
Tambahnya, beliau memahami sentimen boikot anti-Israel melibatkan pengguna Islam dalam menyokong kempen Palestin, tetapi Mydin mengamalkan perniagaan terbuka dengan menyediakan semua pilihan produk.
"Dasar perniagaan kami ialah memberi pilihan. Kalau pelanggan mahu produk PKS, ia ada. Kami tidak sekat, kerana setiap pengguna berhak membuat pilihan sendiri,” jelasnya.
Katanya, realitinya, produk multinasional masih mempunyai permintaan besar dalam kalangan rakyat.
"Yang penting ialah keseimbangan kita sokong produk tempatan pada masa sama kita juga memenuhi kehendak semua pengguna. Akhirnya,yang paling utama adalah rakyat mendapat manfaat daripada program SARA ini,” katanya.


2 ulasan:
gua beli milo. minum milo jadi kuat dan sihat. kah kah kah!
celaka maDAPnon..celaka maDAPfaka
Catat Ulasan