Ahli Parlimen PJ cetus persoalan mengenai
kemungkinan khidmat Azam disambung lagi
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung hari ini mencetuskan persoalan mengenai kemungkinan tempoh perkhidmatan Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal disambung lagi.
Beliau berkata Azam sebelum ini sudah dilantik semula ke jawatan berkenaan sebanyak tiga kali berturut-turut dengan terakhir pada 13 Mei 2025 bagi tempoh setahun, selepas bersara pada 2022.
Katanya, pelantikan berulang individu sama mewujudkan persepsi yang boleh menjejaskan integriti institusi pencegahan rasuah selain melemahkan kepercayaan awam terhadap komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi institusi secara menyeluruh.
"Lanjutan tempoh Azam Baki sebanyak beberapa kali oleh Persuruhjaya SPRM menjadi tanda tanya. Bayangkan, beliau dilantik mula pada sekitar Mac 2020 dan sepatutnya tamat pada tahun 2022.
"Beliau sepatutnya secara rasmi tamat perkhidmatan sebagai pegawai kerajaan kerana sudah capai umur persaraan wajib. Tapi sehingga kini sudah tiga kali lanjutan tempoh perkhidmatan dan beliau terus kekal menerajui SPRM.
"Adalah tidak wajar untuk melanjutkan tempoh seorang buat beberapa kali. Ianya akan memberi tanggapan bahawa tiada lagi orang lain yang berbakat, tiada pelapis SPRM serta campur tangan pihak tertentu.
"Langkah yang lebih telus dan terbuka adalah melalui JKPK (Jawatankuasa Pilihan Khas) Parlimen Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Parlimen. Saya ingin bertanya apakah pendirian kerajaan berkenaan dengan perkara ini?," katanya pada Perbahasan Usul Menjunjung Kasih di Dewan Rakyat, hari ini.
Azam, 63, dilantik semula buat kali ketiga sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 13 Mei 2025 bagi tempoh setahun.
Beliau sebelum ini dua kali dilantik semula bagi memegang jawatan itu masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025.
Azam terdahulu menggantikan Latheefa Koya yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.
Chean Chung berkata pembanterasan rasuah tidak boleh bersifat terpilih atau tertumpu kepada jabatan awam semata-mata.
Sebaliknya, beliau berkata ia perlu dilaksanakan tanpa kompromi dan bebas daripada sebarang pengaruh politik bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan