Muhyiddin tak diundang kerana letak jawatan Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari - Takiyuddin
KUALA LUMPUR: Keputusan untuk tidak menamakan Muhyiddin Yasin dalam senarai hadir ke mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) Khamis ini susulan tindakan Ahli Parlimen Pagoh itu yang mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hasan, berkata atas sebab itu, hanya ahli MTPN yang berbaki dipanggil untuk hadir ke mesyuarat berkenaan.
Beliau berkata, Setiausaha Agung PN, Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan PN, Mohd Radzi Jidin yang turut meletakkan jawatan sebelum ini, turut tidak disenarai sebagai yang akan hadir dalam mesyuarat itu.
"Pandangan undang-undang yang kami terima ialah dari segi undang-undang, (peletakan jawatan Muhyiddin) ini sudah berkuat kuasa (mulai 1 Januari lalu).
"Tapi tak apalah, walaupun demikian, (pemakluman peletakan jawatan itu) perlu dibawa kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk diluluskan juga," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini, hari ini.
Satu surat jemputan mesyuarat luar biasa PN Khamis ini yang dikongsi gabungan itu semalam mengundang kritikan pemimpin BERSATU yang mempersoalkan mengapa nama Muhyiddin tak disenarai sebagai mereka yang perlu hadir.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan