Kedudukan Tengku Maimun masih jadi tanda tanya
KUALA LUMPUR – Persoalan sama ada Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat bersara atau diberi lanjutan tempoh perkhidmatan enam bulan lagi, masih belum terjawab hingga kini.
Hingga berita ini ditulis, masih tiada pengumuman kerajaan sama ada beliau diberi lanjutan masa selama enam bulan iaitu tempoh yang dibenarkan oleh undang-undang atau bersara secara mandatori.
Ketua Hakim Negara ke-10 itu dijadual bersara secara rasmi apabila mencapai usia 66 tahun pada 2 Julai ini (Rabu) iaitu umur persaraan wajib hakim.
Hari terakhir perkhidmatan beliau pada Selasa ini.
Berdasarkan Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada peruntukan Fasal (2) hingga (5), seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga mencapai usia 66 tahun dan boleh dilanjutkan enam bulan lagi atas perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Jika beliau tidak mendapat lanjutan masa enam bulan, perkara penting yang bakal mendapat perhatian umum adalah calon yang akan menggantikan beliau.
Ketika ditemui pihak media selepas majlis pelantikan hakim pada 20 Mei lalu, Tengku Maimun mengesahkan belum menerima tawaran untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan.
Selain beliau, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim juga dijadual bersara apabila mencapai umur persaraan wajib pada 3 Julai. Hari terakhir beliau pada Rabu ini.
Tengku Maimun yang dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan dilantik memegang jawatan tertinggi kehakiman pada 2 Mei 2019 menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang bersara wajib.
Beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 26 November 2018 selepas memulakan tugas sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Januari 2013.
Tengku Maimun merupakan hakim wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya pada 1982.
Menurut laman web Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), Tengku Maimun memulakan kerjaya dalam bidang perundangan pada tahun 1982 sebagai Pegawai Undang-Undang di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan kemudian pada tahun 1984 sebagai Pegawai Undang-Undang di Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan.
Beliau memasuki Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 1986 sebagai Penolong Penggubal Undang-Undang, Bahagian Gubalan di Jabatan Peguam Negara (AGC).
Seterusnya, beliau berkhidmat sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Port Dickson dan Peguam Persekutuan di Biro Bantuan Guaman Kuala Terengganu.
Antara jawatan lain yang dipegangnya termasuk Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada Hakim Besar Malaya dan kepada Ketua Hakim Negara selain memegang jawatan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia pada tahun 2005 hingga 2006.
Pada 2 Oktober 2006, Tengku Maimun dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Pada 5 September 2007, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam. –


Tiada ulasan:
Catat Ulasan