Khamis, 4 Disember 2025

PERJANJIAN ANWAR-TRUMP : PAHAT DAN TUKUL MULA MELENTING


PERJANJIAN 

ANWAR-TRUMP :  

PAHAT DAN TUKUL

 MULA MELENTING


Ketika PM Anwar bin Ibrahim  mengumumkan Malaysia akan menjemput  Presiden Amerika Donald Trump datang ke Kuala Lumpur  pada 26 Oktober 2025  - perbalahan sempadan antara Siam dengan Kemboja  sedang berjalan. 

Krisis sempadan dua negara ini bermula semenjak 1907 - di zaman  kolonial Peranchis menjajah Kemboja. Siam tidak berpuas hati dengan sempadan baru  yang melibatkan Kuil Kuno yang kini menjadi wilayah Kemboja.  

Pada tahun 1962 Mahkamah Dunia telah membuat keputusan Kuil Preah Vihear menjadi milik Kemboja. Tetapi wilayah di sekitarnya tidak jelas garis sempadan. Inilah bisul yang terus menanah  dan menimbulkan perbalahan antara dua negara ini.

Untuk dilihat gedeber  sebagai kepala Asean Anwar bin Ibrahim  telah menjalankan perundingan agar  Siam dan Kemboja dapat berbaik dan  bersalaman.  Berita rundingan Siam-Kemboja ini juga tidak jelas buah butirnya.

Tertiba ketika Maharaja Trump  berada di Kuala Lumpur media   di Malaysia melaporkan  Sang Maharaja akan menjadi  orang tengah untuk mendamaikan Siam dan Kemboja. Anwar bin Ibrahim mencilok ke hadapan  kamera untuk bergambar  bersama Maharaja Trump dan pemimpin Siam dan Kemboja. Anwar bin Ibrahim menjadi  saksi Pak Pacak yang hebat  dalam  Perjanjian Damai Siam-Kemboja.

Saya yakin ketika   Maharaja Trump di kelilingi oleh tiga Perdana Menteri Asean pastilah hidung   Trump tercium aroma Bankuet Di Raja di Oslo. Raja Norway sedang merayakan Trump sebagai pemenang Hadiah Nobel  Keamanan 2026.

Trump sudah lama berangan-angan dan termimpi-mimpi untuk memenangi Hadiah Nobel Keamanan. Ke hulu ke hilir Mangkuk ini telah  klim dia telah mendamai 7 buah negara. Negara mana yang di damaikan oleh Trump hanya Guru Nanak sahaja yang maha mengetahui. 

Anwar bin Ibrahim pun ada  menyimpan  mimpi yang sama.  Mimpi untuk menerima Hadiah Nobel. Sayang nama Anwar bin Ibrahim  masih  tersenarai  ke angka  215 selepas nama Lokman bin Adam. 


Hebat. Memang hebat. Anwar bin Ibrahim sah gedeber  besar kepala Asean. Apa yang di lecok atas kertas Perjanjian Damai Siam-Kemboja ini Guru Nanak pun tidak tahu.

Bila Anwar bin Ibrahim berdiri di sebelah Maharaja Trump maka dia  di lihat gah oleh Mak Cik dan Pak Cik Felda.  Justeru jika PRU16 diadakan seminggu kemudian pasti Anwar bin Ibrahim dapat durian runtuh. 

Bayangkan  di Ceruk Tok Kun  Mak Cik  Bedah dan Lebai Budin   tersenyum melihat  Perdana Menteri Malaysia bersongkok  berjaket  berdiri di sebelah Presiden Amerika -  sosok  yang paling berkuasa dalam dunia ini.

Lalu untuk beberapa ketika   Kak Kiah dan Haji Deraman dari Ijok terlupa tentang peranan Donald  Trump yang telah membekalkan senjata  kepada Zionis Netanyahu untuk membantai  Arab Palestin di Gaza.

Gambar dalam media sosial dan klip Anwar bin Ibrahim bersama Trump telah  diputar  oleh RTM dan TV3  beratus kali. Muak mata melihat pekak telinga mendengar.  Nasib baik tidak ada bau keluar dari kaca TV. Jika ada pasti ramai  penonton yang  keluar muntah hijau.

Semua   yang di putar oleh RTM dan TV3  bertujuan untuk  memperkukuhkan lagi dongeng tentang kehebatan Anwar bin Ibrahim yang setaraf sebagai pemimpin dunia.  

Untuk seketika nama Saipol Bukhari dan Yusof Rawther  lesap  ketika Maharaja Trump mencemar duli  di Kuala Lumpur.

“ .. bila Trump sampai ... kita akan timbulkan perkara Gaza....” Ini  jawapan Anwar bin Ibrahim apabila ada sosok-sosok NGO yang mempertikai kenapa Trump di jemput mencemar duli di Kuala Lumpur.

“ ... gilo boto Tram ni... Nuar pun di jompot masuk naik kereto Merika...  hebat Nuar ini.... ‘ Komen dari    Lebai Karim  dari Rembau. 

Kehebatan Anwar bin  Ibrahim ini bertambah hebat.  Persidangan Asean 2025  di Kuala Lumpur ini   bukan macam Persidangan Asean di Jakarta tahun lepas. Di Jakarta tak ramai pemimpin dunia yang hadir.  

Persidangan  Asean 2025 sah menobatkan Anwar bin Ibrahim sebagai pemimpin bertaraf dunia. Dulu Malaysia di samakan dengan Mahathir bin  Mohamad kini sebut   Malaysia  akan muncul  Anwar bin Ibrahim. 

Heboh heboh Trump selesai. Maharaja Trump hinggap semalam di Kuala Lumpur kemudian terbang ke Tokyo  dan berakhir di Korea Selatan. 

Bila semua mengenap  reda -  Kuala lumpur kembali sedia kala. Semua selesai dua  perjanjian telah di lecok. Satu  Perjanjian Anwar-Trump untuk Malaysia. Satu lagi Perjanjian Damai Siam-Kemboja.

Rumah dah siap. Dakwat dah kering tertiba  tukul, pahat, paku mula bersuara.  Di Kuala Lumpur heboh kerana Anwar bin Ibrahim dapat pen dari Maharaja Trump.  Manakala  Maharaja Trump dapat  satu trilion  ringgit. Saya ulang bukan bilion ringgit tapi trilion ringgit. Ini janji Anwar kepada Trump.

Suara-suara heboh menuduh Anwar bin Ibrahim  menggadai Malaysia  pada  Trump. Ini  bukan  bunyi pahat dan  tukul yang menghairan.   Apa yang  menakjub dan menghairankan ialah tukul berbunyi dari Jakarta.

Kedengaran bunyi  tukul dan pahat  dari SBY - Susilo Bambang Yudhoyono. Ini bukan tukul biasa  - ini  suara tukul bekas Presiden Indonesia.   Wow – tidak di sangka  bekas Presiden ini bersuara.

‘ ..... tidak seharusnya  orang luar di jemput untuk menyelesaikan masalah Asean... kita ada pemimpin kita sendiri....’  Satu duku untuk Anwar bin Ibrahim yang menjemput Trump menyelesaikan persengketaan sempadan Siam-Kemboja.

Bunyi tukul dan pahat  dari Jakarta ini tidak di balas.  Untuk pertama kalinya Anwar bin Ibrahim  dan  Menteri Luar Malaysia senyap. Biasanya Si Anwar ini akan melompat di hadapan media. Kali ini Anwar bin Ibrahim masuk ke tempayan beras  untuk menikus.

Mungkin Anwar bin Ibrahim tidak ambil pot kerana ini tukul berkarat. Bambang ini adalah  seorang bekas bukan lagi Presiden.

Belum  pun sempat reda  pukulan pahat dari Jakarta  tertiba meledak  satu bom  dari Bangkok.  Bom ini  lebih hebat dari ledakan bom yang di baling oleh  YB Hassan Karim dalam Parlimen Kuala Lumpur.

Bom  berstatus nuklear  ini dilontarkan kepada Anwar bin Ibrahim oleh  Jeneral Rangsi Kitiyangsap. Sosok ini bukan kecik anak. Bekas Jeneral. Saya ulang ... sosok ini bekas Jeneral. Di Siam Jeneral adalah pemain politik utama.  Jika dalam tim bola Real Madrid Jeneral Rangsi bertaraf  Ronaldo. 

“ ... Anwar ini musuh dalam selimut ... dia  spy kepada Amerika.... Nuar gadaikan  hak Siam...”

Wow !!! Ini  tuduhan dari seorang bekas Jeneral  yang juga   ahli politik dari Pasukan Baju Merah. Pasukan Baju Merah ini adalah kumpulan politik  penyokong   Thaksin bekas Perdana Menteri Siam. Thaksin ini pula baru saja di umumkan oleh Anwar bin Ibrahim sebagai penasihat  peribadi.

Bisul  makin menanah apabila  Sang Jeneral menuduh Anwar bin Ibrahim musuh dalam selimut dan  sebagai ajen risik Amerika.

Jeneral  Rangsi Kitiyansap, adalah  juga bekas Ketua Radio dan Televisyen Tentera Diraja Thailand.  Kemarahan Sang Jeneral  berpunca daripada dakwaan bahawa Perjanjian Damai Siam-Kemboja  telah  itu membenarkan Amerika Syarikat memasuki dan mengganggu kedaulatan ekonomi Thailand.

Tak cukup dengan tuduhan ini Sang Jeneral melabel Anwar menggunakan situasi perjanjian tersebut untuk “angkat diri Anwar sendiri,”.

Hebat Jeneral  Siam ini. Dia  dapat membaca dengan tepat perangai dan watak  sosok yang bernama Anwar bin Ibrahim.

Klip  Tik Tok berbahasa Siam yang ada terjemahan dalam Bahasa Melayu telah menular beratus ribu kali.  Jeneral Siam  ini  juga telah menuduh Anwar  bin Ibrahim sebagai  ‘sai suek dalam Asean’. Sai suek  dalam bahasa Siam memberi makna pengintip. 

Sah dan jelas. Semua jadi  terang macam KLCC waktu malam di  hujung minggu.  Jeneral Siam secara terbuka menuduh Anwar bin Ibrahim sebagai  pengintip Amerika dan bekerja untuk Trump.

Ini bukan  bunyi tukul dari Jakarta. Ini  bunyi ledakan bom yang meruntuhkan dinding diplomasi. 
 
Pada 7 November 2025  saya petik dari laman RTM jawapan resmi Mohamad  bin  Hasan  Menteri Luar Malaysia :  Malaysia menegaskan bahawa tuduhan pengkhianat terhadap Anwar bin Ibrahim , yang dibuat oleh seorang individu di Thailand, tidak memberi sebarang kesan diplomatik kepada negara.

Tuduhan yang dibuat oleh Jeneral A. Rangsi Kitiyansap tersebut hanyalah bersifat pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian mana-mana kerajaan.

Individu yang membuat dakwaan tersebut merupakan pemimpin parti kecil yang tidak memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya Thailand, dan kenyataan tersebut tidak mempunyai nilai rasmi.

 Kah kah kah. Saya  ketawa terbahak-bahak bila   membaca  jawapan ini. Saya ketawa kerana yang di tuduh Anwar bin Ibrahim. Kenapa pula yang menjawab Mohamad bin Hasan. Kah kah kah. 

Semua kantoi mantoi.    Mat Hasan klim  ini suara tukul dari parti kecil. Ini bunyi pahat  peribadi.  

Kemarahan Sang Jeneral ini pada Perjanjian  Damai Siam-Kemboja tapi   apa butirnya. Apa yang terselit dalam Perjanjian ini? Sila tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)


TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI
https://www.malaysiakini.com/columns/762576









Tiada ulasan: