Doktor Maleeq rawat pesakit malam-malam ditahan
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia melakukan pemeriksaan tiga buah klinik di sekitar Lembah Klang yang dikendalikan oleh seorang lelaki warga Pakistan dikenali sebagai 'Doktor' Maleeq, malam kelmarin.
Operasi dibuat pada jam 11.20 malam membabitkan serbuan di dua lokasi di sekitar Selangor iaitu di Shah Alam dan Sungai Buloh serta satu lagi lokasi di Jalan Ipoh, di sini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata serbuan dibuat oleh pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, yang menjalankan pemantauan dan risikan selama dua minggu hasil maklumat awam.
"Dalam operasi ini seramai enam individu berusia antara 23 hingga 57 tahun termasuk lelaki dikenali sebagai Doktor Maleeq ditahan.
"Selain doktor Pakistan yang tidak bertauliah, turut ditahan adalah tiga wanita Myanmar berperanan sebagai pembantu klinik dan masing-masing seorang wanita warga Pakistan dan India.
"Hasil pemeriksaan mendapati 'doktor' lelaki warga Pakistan ini telah tinggal melebihi masa dibenarkan di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, dua dari tiga wanita Myanmar yang bertugas sebagai pembantu perubatan didapati menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).
Tiga lagi wanita tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
"Pasukan operasi telah menyita buku log pesakit, cop klinik, satu naskhah pasport Pakistan, satu naskhah pasport India, satu naskhah pasport Myanmar, peralatan perubatan, resit sijil sakit, telefon bimbit klinik dan baju pengamal perubatan untuk tujuan siasatan.
"Klinik yang beroperasi selama setahun itu dipercayai menggunakan doktor yang tidak bertauliah untuk melakukan pemeriksaan kesihatan pada waktu malam sahaja.
"Bayaran yang dikenakan untuk setiap pesakit warganegara asing adalah sebanyak RM90 dan hanya boleh dilakukan secara dalam talian," katanya.
Semua suspek ditahan di Depoh Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
"Sementara itu, seorang lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Filipina telah diberi notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan," katanya.


1 ulasan:
Kah kah kah lagi bahaya penguatkuasa sendiri yang makan rasuah woit, yang pendatang haram satu hal tetapi yang dibagi amanah tanggungjawab menjaga keselamatan pula lebih buruk kah kah kah jangan selalu salahkan orang lain, perbaiki diri sendiri dahulu woit kah kah kah
Catat Ulasan