Rafizi: 'Oportunis' cuba rampas PKR melalui kem Izzah
Penyandang jawatan timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli menamatkan Jelajah Hiruk di Johor Bahru malam tadi dengan kenyataan tegas — memberi amaran kepada anggota parti mengenai kehadiran golongan yang “menangguk di air keruh.”
Dia mendakwa kumpulan ini cuba mengambil alih parti dengan menumpang pengaruh pencabarnya, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.
Rafizi mendakwa kumpulan yang mengambil kesempatan ini terdiri daripada muka baru yang diberikan laluan pantas ke posisi kuasa, termasuk ditawarkan kerusi selamat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan kemudian diberi jawatan.
"Pemilihan kali ini adalah pertembungan antara kumpulan reformis asal- jiwa kita jiwa reformis…Ini satu kumpulan. Satu kumpulan lagi kumpulan ‘menangguk' (di air keruh),” kata ahli parlimen Pandan itu.
Rafizi juga merujuk ‘Langkah Sheraton’ pada 2020 yang menyaksikan 11 ahli parlimen PKR diketuai oleh timbalan presiden ketika itu, Azmin Ali keluar parti.
"Kami fikir selepas Langkah Sheraton, saiz kumpulan ini akan menjadi semakin kecil... tetapi ternyata bilangan mereka telah makin besar," katanya.
Dalam kritikan tersirat terhadap kempen Nurul Izzah yang diberi jenama Damai, Rafizi turut membidas pemilihan lokasi acara dan mendakwa tarikan kebendaan digunakan untuk menarik kehadiran.
Rafizi mendakwa jelajah Nurul Izzah dilihat lebih menumpukan kepada “tempat mewah di hotel” dan pemberian jamuan percuma kepada hadirin.
"Kita pernah menolak taktik kempen sedemikian apabila dilakukan oleh pesaing politik kita. Tetapi kini sekumpulan pemimpin tertentu cuba untuk membenarkan amalan itu.
"Saya kesian pada Izzah sebab dia kena tanggung beban nepotisme sampai bila-bila. Orang yang dulu duduk di sekeliling Azmin, sekarang jadi kumpulan utama sokong Izzah.
"Satu-satunya kesalahan saya ialah saya menjadi batu penghalang kepada budaya yang telah kita tolak pada masa lalu.
“Jadi, jangan sekali-kali membenarkan parti kita diambil alih oleh golongan sebegini,” dakwa Rafizi lagi


Tiada ulasan:
Catat Ulasan