Kes pelajar maut dirempuh polis, Ketua Polis Kedah jamin siasatan telus
BALING: Polis Kedah memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh berhubung kematian seorang pelajar lelaki yang dirempuh kenderaan dipandu anggota polis dalam kejadian di Guar Chempedak, baru-baru ini.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah, berkata pihaknya amat kesal dengan insiden berkenaan dan bersimpati kepada keluarga mangsa.
"Semalam kami melakukan lawatan ke rumah keluarga mangsa, saya sendiri amat kesal dan simpati dengan kejadian ini... kita tidak akan bertolak ansur atas kecuaian ini. Kita akan buat siasatan secara menyeluruh tanpa kompromi, termasuk siasatan dalaman oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
"Pihak polis sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.
"Sebelum itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42(1), namun diklasifikasi semula selepas mangsa meninggal dunia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Taman Angkat AMANITA Kontinjen Kedah Tahun 2025 di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil di sini, hari ini.
Adzli berkata, anggota polis terbabit sudah ditahan untuk siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis namun masih belum digantung tugas.
Bagaimanapun katanya, pihak polis akan menilai keperluan berkenaan bergantung kepada perkembangan siasatan.
Terdahulu media melaporkan, pelajar bermotosikal yang parah akibat dirempuh kereta dipandu anggota polis yang dikatakan melanggar isyarat lampu merah di Pekan Guar Chempedak pada Isnin lalu, meninggal dunia malam kelmarin selepas hampir tiga hari bertarung nyawa.
Pelajar Tingkatan Empat, Muhammad Nur Iman Danial Mohd Roshidi, 16, meninggal dunia malam kelmarin selepas hampir tiga hari di Unit Rawatan Tapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan